 |
""
| LAHORE, 27 November - Bekas perdana menteri Pakistan, Nawaz Sharif, mendaftar diri sebagai calon pilihan raya 8 Januari depan, sehari selepas pulang dari buangan di Arab Saudi.
Berpuluh penyokong menunggu kepulangan Nawaz dengan bunga mawar sewaktu beliau tiba di sebuah kamar mahkamah di Lahore tempat para calon mendaftar untuk ber tanding, kata seorang wartawan AFP.
Adiknya, Shahbaz, turut mencalonkan diri.
Nawaz berkata beliau tidak akan memulaukan pilihan raya jika Presiden Pakistan, Jeneral Pervez Musharraf, memulihkan perlembaga an serta jawatan para ha kim Mahkamah Agung yang dipecat tiga minggu dulu.
“Saya tak mahu memulaukan pilihan raya. Jadi saya berharap saya tidak dipaksa berbuat begitu,” kata Nawaz kepada para penyokong di Lahore semalam.
Sementara itu, seorang lagi bekas perdana menteri, Benazir Bhutto, turut memfailkan pencalonan di bandar Larkana.
Beliau mengalu-alukan kepulangan Nawaz dan berkata keputusan untuk memulau pilihan raya akan dibuat selepas berbincang dengan Nawaz, lapor akhbar Dawn semalam.
“Mereka menggesa agar pilihan raya dipulaukan. Kami sedang meneliti sama ada mereka akan kotakannya atau menuruti jejak kami,” kata Benazir kepada para pemberita di Karachi kelmarin.
Menurut Benazir, beliau akan menimbang sebarang cadangan Nawaz bagi membentuk satu gabungan politik.
Sementara itu, Jeneral Musharraf dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden awam Khamis ini, kata Peguam Negara, Malik Muhammad Qayyum.
|