DILEMA utama dalam aktiviti perdagangan sejak dahulu ialah jarak yang jauh. Untuk mengembangkan perniagaannya, pembekal perkhidmatan perlu meluaskan pasarannya yang akan melibatkan kos yang banyak seperti pengangkutan, penyelenggaraan dan sebagainya.
Di samping itu, faktor waktu juga perlu diambil kira, lebih-lebih lagi jika melibatkan perdangangan antarabangsa diantara negara yang berbeza zon waktunya. Ini sudah tentu merumitkan bagi mereka berurusan.
E-Dagang (kini lebih popular dengan istilah dotcom) merupakan satu alat atau mekanisma yang akan membantu pembekal perkhidmatan/produk menyelesaikan masalah ini. E-Dagang merupakan satu kaedah transaksi elektronik maya tanpa sempadan jarak atau waktu. Dalam suasana maya, organisasi dapat menubuhkan pejabat maya yang dapat dikunjungi oleh pelanggan pada bila-bila masa sahaja. Contohnya, seorang penjual buku, cenderamata, memorablia dll dapat mendirikan gedungnya menerusi laman web selaku pejabat maya (lihat Amazon.com) Ini merupakan satu metodologi perdagangan yang sangat ideal dan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
E-Dagang merupakan satu metodologi perniagaan yang menggunakan perantaraan elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pembekal dan pelanggan bertemu dalam suasana virtual/maya untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan teknologi internet, digital dan lain-lain. E-Dagang melupuskan sempadan dan masa. Pelanggan dapat membeli-belah pada bila-bila masa sahaja dan di mana jua menerusi akses kepada internet. Kaedah ini amat selesa bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di kaunter.
Pembekal akan mendirikan gedung maya dan mempromosikan melalui laman web. Produk/Perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan/pengguna disenaraikan. Antara cara pengiklanan adalah dengan meletakkan sepanduk elektronik secara berbayar atau pintar seperti penukaran sepanduk dengan mana-mana laman web lain. Organisasi-organisasi lembah silikon biasanya akan menawarkan laman web percuma kepada pengguna internet dimana mereka boleh memaparkan iklan sepanduk kepada pengunjung laman web tersebut.
Pembeli/Pelanggan hanya perlu mengunjungi mana-mana tapak web E-Dagang dan membuat pemilihan produk/perkhidmatan yang dikehendaki. Produk yang dipilih pasti akan sampai dalam tempoh yang ditetapkan.
Ada pembekal yang melantik ´agen maya´ secara bebas kepada mana-mana pemilik/webmaster laman web. Pemilik laman web yang berminat akan mengisikan borang permohonan dan dalam tempoh yang singkat mereka akan dilantik menjadi agen maya setelah memasang sepanduk pembekal didalam laman mereka. Kod sumber html sepanduk berkenaan akan melibatkan nombor ID (pengenalan) perujuk (pemilik laman web) dimana perujuk akan diberikan komisyen setiap kali transaksi berlaku menerusi laman web berkenaan.
Ada juga pemilik/webmaster laman web lain yang ditaja oleh organisasi korporat untuk memaparkan produk/perkhidmatan yang dibekalkan.
Pemilik/webmaster biasanya terdiri daripada orang-orang yang bertaraf professional di bidang masing-masing dan sesuai untuk mempromosikan produk/perkhidmatan organisasi korporat dan dibayar royalti atau gaji bagi mereka yang bekerja secara rasmi dengan organisasi berkenaan, sama ada secara langsung ataupun secara maya.
Transaksi E-Dagang biasanya melibatkan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, pengeluar kad kredit dan badan-badan persijilan tertentu. Apabila pembeli membuat sesuatu pembelian, mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit mereka untuk dienkripsikan oleh komputer penjual. Kaedah enkripsi ini akan membenarkan komputer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini nombor kad kredit pembeli tidak akan dibaca oleh penjual. Di antara teknologi yang menyokong pembayaran melalui kaedah ini ialah Secure Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta Secure Socket Layer (SEL).
Selain itu, terdapat beberapa mod pembayaran yang telah diperkenalkan organisasi yang membangunkan E-Dagang seperti tunai digital (digital cash), cek digital dan teknologi sokongan seperti sistem Kriptografi PKI (Public Key Infrastructure) dan sijil digital.
Kaedah tunai digital membolehkan pembeli menghantar wang di dalam talian tanpa menggunakan nombor kad kredit. Kaedah pembayaran ini dipelopori oleh DigiCash, Net.Trader dan Cyber Cash di Amerika Syarikat. Di Malaysia, kaedah ini mula dibangunkan oleh MIMOS Berhad dan Hitechniaga Sdn. Bhd. melalui laman web Jaring´s Mall. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna ialah mengisi borang permohonan dan memilih nilai wang digital yang mereka kehendaki. Setelah proses pembayaran kepada Jaring´s Mall dilakukan anda akan diberikan nombor rahsia yang membolehkan anda melakukan pembelian.
Salah satu isu yang amat penting di dalam E-Dagang ialah kebimbangan pengguna terhadap keselamatannya. Ramai pengguna masih ragu-ragu terhadap keselamatan transaksasi melalui talian dimana terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Bagamanapun, dengan kemunculan teknologi seperti SET, SSL serta peningkatan firewall, pengguna tidak perlu bimbang lagi tentang keselamatan semasa melakukan pembayaran. Teknologi SET contohnya memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan identiti mereka semasa melakukan urusniaga.
Pengesahan ini akan dilakukan secara luar talian seperti melalui telefon, faks dan sebagainya.
E-Dagang dapat diklasifikasikan kepada dua kategori kunci iaitu diantara perniagaan dan perniagaan dan diantara perniagaan dengan pengguna. E-Dagang diantara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi diantara dua atau lebih syarikat. Biasanya ia melibatkan diantara pembekal dan organisasi penjual/pemasar. Contohnya, sebuah kilang pengeluar/pencetak buku akan berurusan dengan sebuah gedung buku. Jenis E-Dagang yang kedua pula melibatkan penjual dengan pengguna akhir sesuatu produk. Contohnya, gedung buku menjual produknya kepada pengguna melalui E-Dagang.
E-Dagang merupakan satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di seluruh dunia. Ini adalah disebabkan peningkatan yang ketara dalam Teknologi Maklumat (IT) di mana ia bertindak sebagai penyokong utama E-Dagang. Intelligent Quest´s World Wide/ Online Tracking Service, sebuah badan penyelidikan antarabangsa melaporkan bahawa 12% daripada pengguna Internet terlibat dalam E-Dagang. Sementara itu menurut Computer Intelligence pula sebanyak 2% daripada 4.8 juta perniagaan berkomputer diseluruh dunia menggunakan E-Dagang untuk menjalankan semua atau sebahagian daripada transaksi perniagaan. Ini menunjukkan peningakatan yang amat ketara dalam masa beberapa tahun sahaja.
Perangkaan terkini menyatakan bahawa pengguna internet telah meningkat kepada 200 juta melalui sambungan dail terus dan 17 juta pengguna melalui sambungan tetap. Di Asia Pasifik termasuk Jepun penggunaan Internet telah meningkat kepada anggaran 25 juta pada tahun 2000. Peningkatan ini adalah 150% berbanding tahun 1997 sebanyak 10 juta pengguna. Kecenderungan trend menunjukkan penggunaan ini berkait secara langsung dengan E-Dagang.
Dari segi pendapatan pula, E-Dagang mencatat perolehan sebanyak US$31 juta di Amerika sahaja pada tahun 1998. Jumlah ini dijangka meningkat kepada US$183 juta pada tahun 2003 iaitu peningkatan sebanyak 500%. Di Malaysia pula E-Dagang ternyata menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada tahun 1998 jumlah transaksi perniagaan melalui E-Dagang ialah sebanyak US$15 juta iaitu hampir 50% daripada perolehan di Amerika Syarikat pada tahun yang sama. Ia meningkat kepada US$46 juta pada 1999 dan pada tahun 2003 pendapatan E-Dagang dijangka mencecah US$1560 juta.
E-Dagang meliputi enam sektor perniagaan yang utama iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang profesional, peruncitan dan pelancongan. Kesemua sektor menyumbangkan pertumbuhan yang ketara terhadap perdagangan melalui talian. Pendapatan E-Dagang dalam sektor pengiklanan mencecah US$1.3 billion pada tahun 1998. Aset yang diniagakan menerusi talian oleh broker ialah US$420 bilion. Dalam bidang pendidikan, bilangan penuntut jarak jauh ialah 120,000 pada tahun 1997 dan meningkat kepada 710,000 pada tahun 1998. Sementara itu penggunaan teleperubatan meningkat kepada 300% dan lebih tiga juta orang mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut. Sementara itu, bagi sektor kewangan pembelian aplikasi perbankan bernilai US$93 juta pada tahun 1998 dan peningkatannya dijangka sebanyak US$326 juta pada tahun ini. Bagi sektor pelancongan, tempahan tiket yang diperolehi melalui internet pada tahun 1997 hanyalah US$100 juta tetapi ia dijangka meningkat kepada US$3.1 bilion pada tahun 2002.
Ini ialah berikutan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan keberkesanan urusniaga melalui talian. Pengguna yang akan merancang perjalanan menggunakan Internet dijangka meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta.
Kemunculan E-Dagang merupakan satu prospek yang pintar dan menguntungkan para usahawan. Ini kerana berdasarkan saiz pertumbuhannya E-Dagang akan menjadi satu bentuk perniagaan yang utama pada masa hadapan. Perkembangan semasa menunjukkan masyarakat semakin peka terhadap K-Ekonomi dan arus globalisasi. Kesan ini mungkin tidak begitu dirasakan di Malaysia tetapi di negara-negara maju, ia telah menjadi trend masyarakat di sana untuk melakukan pembelian online. Terdapat beberapa faktor yang mana ia boleh membantu para usahawan mengembangkan perniagaan mereka menerusi talian.
E-Dagang menggunakan teknologi Internet sebagai platform utama perkembangannya. Oleh itu, pasarannya seharusnya dilihat dari segi bilangan mereka yang menggunakan Internet. Di Malaysia sahaja, bilangan ahli yang berdaftar dengan JARING ialah seramai 100,000 orang dengan 300,000 orang dijangka menggunakan internet pada tahun 1997. Jumlah ini tidak menunjukkan pasaran yang luas tetapi jika dilihat kepada peningkatannya kepada 200,000 orang pada tahun 1998 dengan 600,000 pengguna ternyata E-Dagang mempunyai pontensi besar untuk dikembangkan. Pada masa sekarang terdapat lebih daripada satu juta pengguna yang berdaftar dengan JARING dan TMnet.
Walaupun bilangan pengguna internet untuk dijadikan peluang pasaran bagi perniagaan menerusi talian masih lagi secara perbandingannya kecil, namun ia meningkat dengan begitu cepat sekali. Disamping itu, kita perlu ingat bahawa perniagaan menerusi talian tidak akan terhalang oleh aspek geografi. Produk yang dipasarkan menerusi talian boleh dicapai oleh pengguna dari serata dunia. Inilah kelebihan pasaran bagi E-Dagang. Usaha untuk membawa produk ke pasaran antarabangsa bukan lagi terhad kepada organisasi besar malah termasuk organisasi kecil/sederhana dan orang perseorangan.
Jika halangan utama bagi seseorang usahawan menjalankan perniagaan di bandar (untuk peluang pasaran yang lebih luas) ialah kadar sewa bangunan yang tinggi, maka dengan E-Dagang masalah itu tidak wujud lagi. Dengan menempatkan perniagaan di sebuah pelayan web utama, mereka telah menempatkan diri secara global. Ini kerana teknologi web membolehkan ia diakses dari mana-mana tempat sekalipun. Apa yang menarik lagi ialah kosnya secara relatif adalah amat kecil. Contohnya, untuk menempatkan perniagaan produk/perkhidmatan di pelayan web Yahoo Geocities atau Fortunecity, dua buah pelayan web yang mempunyai komuniti berjuta-juta pengguna Internet anda hanya perlu membayar lebih kurang RM100-150 sebulan. Potensi pasaran usahawan ialah kesemua komuniti Yahoo Geocities/Fortunecity khususnya dan pengguna Internet amnya. Selain itu, usahawan turut ditawarkan khidmat penyelenggaraan perniagaan maya mereka.
Perkembangan yang pesat dalam IT telah mendorong beberapa firma korporat tempatan untuk membangunkan E-Dagang. Ini dapat dilihat daripada usaha firma-firma ini mendirikan mendirikan tapak-tapak web yang menyokong platform E-Dagang. Antara pelopornya ialah Hitechniaga Sdn.Bhd. melalui kerjasama Microsoft Corp. telah membangunkan tapak web Mybiz. Tapak web ini dibangunkan khusus untuk syarikat bertaraf IKS (Industri Kecil dan Sederhana) mendirikan perniagaan di internet.
Selain itu syarikat Mytex Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mencipta dan mempamerkan halaman web telah memperkenalkan pakej ´ringgit sehari´ untuk perniagaan tempatan. Pakej ini ditawarkan kepada sesiapa sahaja terutama daripada IKS untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka melalui laman web sendiri.
Selain itu Kumpulan Renong juga telah melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan jangkapanjang yang amat menguntungkan ramai usahawan yang terlibat sama ada kecil mahupun besar. Di papan-papan utama BSKL juga menunjukkan potensi yang amat memberangsangkan terhadap apa yang dikenali sebagai ´saham teknologi´ atau ´saham IT´ atau ´saham internet´.
Di samping organisasi korporat tempatan, firma/organisasi gergasi/bluechip asing ternyata turut berminat untuk mengembangkan E-Dagang di Malaysia. Di Malaysia, Microsoft Corp misalnya, sudah mengumumkan komitmen mereka untuk membantu pengusaha kecil agar dapat melibatkan diri dalam E-Dagang. Syarikat ini telah pun mengadakan usahasama dengan TMNet (lihat msn.com.my), GHL Technologies, Hitechniaga, Sunway Technologies dan Silicon Communication dalam membangunkan persekitaran E-Dagang berasaskan pelantar teknologinya.
Usaha kerajaan menerusi cetusan idea YAB Perdana Menteri dalam menggalakkan penyertaan industri tempatan dalam E-Dagang memang tidak dapat dapat disangkal lagi. Ini dapat dilihat daripada Pelan Utama E-Dagang Negara dan Rangka Kerja E-Dagang Negara yang diketengahkan semasa mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC di Cyberjaya yang melibatkan Microsoft, Lotus, Apple dll. Rangka kerja tersebut meliputi tiga prinsip panduan dan empat pendekatan yang strategik. Prinsipnya meliputi kerjasama pihak kerajaan, perniagaan dan komuniti, pengiktarafan ciri E-Dagang tanpa semapadan dan penciptaan peluang untuk negara memperolehi manfaat daripada inisiatif tersebut. Pendekatan strategik pula meliputi amanah dan keyakinan terhadap e-dagang, memperbaiki rangka kerja undang-undang dan peraturan,memperkukuhkan infrastruktur dan sokongan logistik untuk E-Dagang, disamping mengoptimumkan ekonomi dan faedah sosial.
Pelan utama E-Dagang negara pula terdiri daripada program dan projek khas yang meliputi tujuh kawasan untuk mencerna inovasi, meningkatkan akses pasaran, memacu pembangunan kreatif, perlindungan harta intelektual, pengedaran atau portal mengukuhkan identiti jenama dan antara muka perkhidmatan. Inilah di antara intipati dalam rangka kerja dan pelan utama E-Dagang negara yang diharapkan dapat menjana ke arah perkembangan E-Dagang di Malaysia. Usaha kerajaan ini tidak dapat di pandang remeh memandangkan rancangan ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan sebelum ini telah mencapai kejayaan. Para pengusaha tempatan seharusnya tidak ragu-ragu lagi untuk turut terlibat dalam E-Dagang berdasarkan peranan kerajaan yang begitu aktif untuk membangunkanya.
Selain itu, pelbagai skim/geran yang telah disiapkan untuk penyelidikan dan pembangunan, bantuan usahawan (termasuk latihan/pemindahan teknologi) oleh agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan MSC.
Projek MSC memberikan kesan yang kuat dalam pembangunan E-Dagang. Melalui salah satu aplikasi utamanya, iaitu pemasaran tanpa sempadan yang relevan dengan E-Dagang. Pembukaan Bandar raya pintar, iaitu Cyberjaya juga turut mempengaruhi perkembangan E-Dagang. Masyarakat di bandar ini akan menggunakan sepenuhnya kemudahan dunia IT dan e-dagang di samping aplikasi-aplikasi utama serta pecahan/perinciannya yang lain.
Boleh dikatakan perubahan dalam industri IT adalah yang paling pantas sejak bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19 dahulu. Industri IT adalah dinamik sekali apabila ia mengambil masa kurang daripada 20 tahun untuk berkembang. Bersama-sama industri IT ini adalah perdagangan elektronik atau E-Dagang yang memberi impak cukup besar dalam bidang perniagaan. Organisasi gergasi antarabangsa terutamanya yang berada di lembah silikon telah mencatat pulangan berbilion dolar melalui E-Dagang.
Kebanyakan ´raja´ perniagaan E-Dagang ini bermula secara sederhana. Yahoo! Inc contohnya, sewaktu memulakan operasinya hanya mempunyai 12 orang pekerja dengan ruang pejabat yang sempit dan tidak berhawa dingin. Tetapi dalam masa dua tahun selepas penubuhanya ia mempunyai kakitangan diseluruh dunia dengan pendapatan bernilai berbilion dolar sehingga dapat menguasai kepentingan dalam Geocities, sebuah pelayan web yang terkenal di kalangan komunitinya. Faktor penting yang mendorong kejayaan mereka ialah kemampuan kualitatif dan kuantitatif mereka memahami kehendak pelanggan/pengguna. Dengan melakukan inovasi terhadap kaedah konvensional, mereka mampu menarik minat pengguna untuk berurusan dengan mereka.
|