KEGAWATAN sektor perumahan di Amerika Syarikat telah menjejaskan banyak pihak terutama bank dan firma kewangan di Wall Street (New York), pemaju dan broker gadai janji, serta seluruh dunia.
Bagaimanapun, ada pengecualiannya. Para usahawan yang berpengalaman luas dalam bidang hartanah atau sudah membuat ´persiapan khas´ ternyata terselamat. Pendekatan para usahawan inilah yang boleh menjadi penentu masa depan hartanah Amerika kecuali ada campur tangan pemerintah negara itu.
HouseRaising of Charlotte di Carolina Utara, yang membina rumah menurut kehendak golongan kaya, merupakan yang terselamat. Jualannya dibuat di internet dan sering laris dalam sehari saja. Ia mempunyai dua pusat reka bentuk daripada apa sahaja - daripada pintu hingga kepada bejana dapur.
Sejak pertengahan 2006, syarikat ini menggunakan sistem komputer yang dipatenkan (hak cipta) untuk proses pembinaannya. Ia dapat menyelesaikan pembinaan 12 buah rumah, manakala 30 lagi dalam pembinaan serta projek bernilai AS$16.3 juta bagi membina kediaman di Tasik Norman, Carolina Utara, di utara kota Charlotte.
HouseRaising berjanji akan menyelesaikan semua projek tepat pada masanya tanpa lebihan kos. Tahun lalu, syarikat ini menggandakan tenaga kerjanya menjadi 35 orang.
“Kami akan berjaya tidak kira keadaan ekonomi kerana kami mempunyai pelanggan khusus,” kata Greg Wessling, ketua eksekutif syarikat itu.
Duffy Real Estate, firma saiz sederhana di kawasan pinggiran kota raya Philadelphia, juga dapat menakat sewaktu berlakunya kemerosotan pasaran hartanah. Bahkan firma ini berkembang pada tahun lalu.
“Setiap kali melayari internet, anda membaca mengenai 10 kota terburuk kerana penutupan projek perumahan akibat krisis pajakan, namun kami terselamat,” kata pengasasnya, John Duffy Sr.
“Pasaran hartanah menurut rantau. Saya menceburi bidang ini pada 1978, dan harga di kawasan ini tidak pernah turun. Begitu juga dengan angka jualan rumahnya,” kata beliau.
Duffy telah menambah kakitangannya daripada lapan orang kepada sembilan. Agen perumahannya bertambah empat orang menjadi 46.
Firma Ellie Mae ialah pembekal khidmat internet kepada industri pajakan di Pleasanton, California. k Sig Anderman, pengasas bersama Ellie Mae, berkata pendapatan firmanya naik ke paras AS$38 juta daripada AS$35 juta (pada 2006).
Anderman bercadang menambah kakitangannya daripada 200 menjadi 250 orang. Broker (ejen rumah) perlu mendapatkan segera laporan kredit dan sebagainya demi urusan yang mulus.
Bagaimanapun, impiannya tidak menjadi. Kini pekerjanya tinggal 164 orang. Untuk menakat, beliau memperhalusi produknya, menaikkan harga dan menjimatkan kos.
“Saya terperanjat kerana hasil yang baik. Walaupun berlaku keributan di pasaran, pasti ada peluang,” katanya.
Para pakar hartanah menjangkakan pasaran akan menguncup sebelum berkembang semula. Menurut Joel Burslem, pengasas blog Future of Real Estate Marketing dan pemasar bagi Inman News, ´sebarang krisis menampung peluang bagi usahawan´.
Pemenang ketara, katanya, profesional hartanah yang berpengalaman seperti Duffy, yang dapat menyaingi para pendatang baru. Pelabur, katanya, kini cuba memanfaatkan harga yang menjunam di Amerika dan akan memburu tawaran yang menarik.
Hujah Burslem, dengan jualan membeku kerana pembeli keberatan, pembekal video dan bahan promosi hebahan untuk industri hartanah akan diperlukan.
Wessling mengetuk pintu HouseRaising sebagai konsultan selepas 33 tahun menjadi eksekutif kanan Lowe´s Companies, sebuah rangkaian firma ubah elok. Beliau ditugaskan membentangkan sistem paten yang sudah dibangunkan selama tujuh tahun oleh pengasas HouseRaising, Bob McLemore.
Bagaimanapun, pada Hari Kesyukuran (Thanksgiving Day) dua tahun lalu, McLemore berpulang selepas serangan jantung. Wessling telah diserahkan tugas itu.
HouseRaising hanya berurusan dengan pelanggan kaya yang memiliki tanah sendiri. Jadi, anak syarikat Houseraising Realty, perlu membantu mereka yang tidak mempunyai tanah untuk membina rumah.
Pada Mei 2007, syarikat ini membuka cawangan di New Orleans di simpang Carollton dan Canal Streets yang bersejarah. Ia membina pusat reka bentuk - menyerupai pusat yang ada di Charlotte.
Anderman yakin akan masa depan cerah syarikat. Namun, pertumbuhan pesat tiga kali ganda yang pernah dinikmati Ellie Mae dalam tahun-tahun awalnya mungkin tidak muncul lagi.
Kini, sekitar 185,000 pekerja di 13,000 firma gadai janji dan bank yang menggunakan ´software´nya - hampir serupa pada tahun lalu. Namun, urusan hartanah merosot daripada 38,000 (pada 2006) kepada 35,000 sehari tahun lalu.
Tahun lalu, Ellie Mae meraih keuntungan besar dengan produk baru, Encompass Anywhere, versi sofwe di Internet yang menarik banyak syarikat ejen hartanah. Ia boleh digunakan di mana jua dan syarikat tidak perlu menyenggaranya. Kosnya hanya AS$60 sebulan. Sofwe ini telah menggandakan jumlah pengguna ke paras 16,000 sejak dilancarkan pada April 2005.
Cara paling agresif oleh Anderman ialah memastikan kos yang terkawal, termasuk memindahkan sebahagian operasi ke China. Para pekerja kawalan mutu memastikan semua kerja menepati piawai. Langkah ini menjimatkan syarikatnya AS$2 juta setahun.
Anderman yakin niaga hartanah akan berkembang kembali tahun ini kerana ejen pajakan masih bertahan. Langkah yang perlu ialah membuat penelitian dan meningkatkan kecekapan untuk kekal bersaing.
|