Oleh MD. ZAN SAARI
DENGAN jumlah penduduk dunia yang semakin meningkat, permintaan terhadap bekalan makanan juga pasti akan naik selari dengan pertumbuhan penghuni bumi ini. Bagi mereka yang bijak memgambil kesempatan, pertambahan ini merupakan satu peluang yang tidak sewajarnya dilepaskan, khususnya ahli perniagaan.
Satu keperluan yang tidak boleh dinafikan kepentingannya ialah bekalan makanan. Industri makanan sememangnya menjanjikan peluang perniagaan yang cukup lumayan sekiranya berjaya diterokai dengan bijak
Ini merupakan satu perkembangan menarik bagi penganut Islam yang dijangka bertambah bilangannya kepada lebih 2.5 pada 2010. Namun dengan kadar petumbuhan penduduk Muslim sedunia yang dianggarkan pada enam peratus setahun kini, angka tersebut mungkin akan dicapai lebih cepat lagi.
Justeru, keperluan barangan makanan halal adalah satu kemestian bagi mereka.
Permintaan terhadap makanan halal diyakini semakin meningkat kerana kesedaran umat Islam yang mahu memastikan makanan yang dijamah benar-benar ´Halal´. Ia sekaligus meningkatkan kuasa beli kaum Muslimin. Faktor-faktor ini membuka lebih peluang usahawan tempatan untuk meneroka bidang ini.
MAKANAN HALAL
Makanan halal bermaksud makanan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan menepati syarat-syarat berikut:
a. Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau produk daripada haiwan yang tidak halal mengikut syarak atau produk daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
b. Tidak mengandungi bahan yang dikategorikan sebagai najis oleh hukum syarak.
c. Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan yang telah dicemari bahan-bahan yang dikategorikan sebagai najis oleh hukum syarak.
d. Semasa penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan atau pemindahannya, makanan tersebut perlu diasingkan dari makanan yang tidak menepati keperluan a, b atau c di atas atau bahan-bahan yang telah dimaktubkan sebagai najis oleh hukum syarak.
PELUANG PASARAN AMAT BESAR
Menurut angka tidak rasmi, pasaran makanan halal ketika ini mencecah RM2.3 trilion, dan bagi edaran dalam negara sahaja, ia dianggarkan bernilai RM190 billion setahun. Ramai yang agak skeptik dengan angka-angka yang diberikan namun, jika setiap penduduk Malaysia beragama Islam yang berjumlah
kira-kira 17 juta mengeluarkan RM10 sehari untuk makanan, maka pasaran yang tersedia sudah mencecah lebih RM60 bilion setahun.
Harus diingat ia belum termasuk makanan yang diambil oleh pelancong, untuk kegunaan industri dan sebagainya, justeru RM190bilion setahun nampaknya munasabah.
Pun begitu, pasaran yang sebegini besar nampaknya belum banyak diusik oleh usahawan tempatan atau lebih tepat lagi golongan bumiputera muslim negara ini, meskipun jumlah mereka yang melibatkan diri dalm bidang ini semakin meningkat.
Kebanyakan pengeluar makanan dalam negara kini golongan bukan Islam yang tampaknya lebih serius menceburkan diri, malah mempunyai perancangan untuk mengeksportnya pula ke pasaran luar
Negara-negara di benua Asia, Asia Barat dan kesatuan Eropah merupakan antara negara-negara yang amat berpotensi untuk pasaran eksport makanan halal yang jelas menjadi tumpuan mereka.
Satu laporan mengenai pasaran makanan halal oleh Agriculture and Agri-Food Canada (AAFC) keluaran Jun 2006 menyatakan bahawa, 14 peratus daripada perbelanjaan makanan oleh pengguna Malaysia adalah untuk daging.
Laporan itu menyebut daging lembu adalah dua pertiga daripada jumlah daging diimport oleh Malaysia pada 2005, Malaysia mengimport daging bernilai AS$231 juta (RM809 juta). Enam puluh peratus daripada pengimportan daging adalah dari India diikuti Australia dan New Zealand.
Selain Malaysia, negara Islam lain juga mengimport daging bagi memenuhi keperluan mereka. Arab Saudi pengimport besar dagingdengan AS$ 567 juta (RM1.98 bilion) pada 2003. Dua lagi negara Islam sebagai pengimport besar daging ialah Algeria dan Mesir dengan nilai AS$215 juta (RM752 juta) dan AS$183 juta (RM640 juta).
Semua angka disebutkan di atas menunjukkan wujud satu pasaran amat besar dalam industri makanan halal sama ada tempatan atau antarabangsa. Pasaran makanan halal akan terus meningkat dengan penambahan penduduk Islam, baik dalam negara atau di seluruh dunia.
Secara global kita dapati pengeluar besar makanan halal adalah negara bukan Islam. Dalam pengeluaran daging khususnya, jelas sekali pengeluar utama adalah negara seperti Amerika Syarikat, Argentina, Australia, Kanada, China, India, New Zealand dan United Kingdom.
Jika ditinjau dalam konteks Asia Tenggara, kita dapati Thailand sudah membina nama sebagai pengeluar makanan halal. Dalam negara sendiri, kita tahu usahawan bukan Islam lebih menguasai pengeluaran makanan halal berbanding usahawan Muslim.
Kewujudan satu pasaran besar bagi makanan halal di seluruh dunia sudah pasti memberi peluang kepada usahawan dan ahli perniagaan. Malangnya kebanyakan peluang ini sudah lama direbut orang bukan Islam sama ada di Malaysia atau di luar negara.
Di sini berlaku keganjilan di mana permintaan untuk makanan halal sangat besar dan penting kepada umat Islam di seluruh dunia, bagaimanapun peluang menjadi pengusaha dan pengeluar pelbagai jenis makanan halal tidak direbut sepenuhnya umat Islam sendiri.
USAHA SEMUA PIHAK
Begitu telah diperkatakan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat atau hub untuk makanan halal, namun pada hakikatnya bolehkah ia menjadi kenyataan?
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan sijil halal sejak 1974 lagi dan jika tempoh ini dijadikan kayu ukur, isu halal itu sendiri telah wujud lebih kurang 30 tahun. Dalam tempoh 30 tahun, nyata tidak banyak yang telah dicapai oleh usahawan Islam negara ini terutamanya.
Usaha memajukan industri ini perlu digembleng oleh semua pihak. Bagi pemerintah, lebih banyak dana perlu disalurkan ke dalam industri ini. Birokrasi dalam pentadbiran pula perlu dikurangkan. Birokrasi dilihat menjadi antara penghalang utama kepada penubuhan syarikat-syarikat di negara ini.
Perdana Menteri, selepas melawat Australia tahun lepas menyatakan, proses untuk membuka sebuah kilang perusahaan di negara berkenaan hanya mengambil masa 14 hari sedangkan di Malaysia mencecah 3 bulan!
Bagi pihak media pula, liputan yang lebih kerap perlu diberikan kepada usahawan-usahawan yang berkecimpung dalam bidang ini. Berita-berita kejayaan mereka perlu dipaparkan agar mampu dijadiakn motivasi kepada yang baru berkecimpung dalam bidang ini.
Usahawan sedia ada pula, hendaklah sedia berkongsi pengalaman dengan mereka yang baru terjun ke dunia ini. Diakui terdapat juga pengusaha makanan halal di negara ini yang berjaya seperti Ramly Burger, Fauziah Karim (M) Sdn Bhd dan sebagainya. Golongan seperti ini bukan sahaja boleh menjadi sumber rujukan tetapi juga pusat untuk melatih bakal-bakal usahawan di negara ini.
Dengan keadaan dunia sekarang yang semakin mencabar, adalah tidak wajar untuk terus bergantung kepada pasaran luar bagi bekalan makanan dalam negara. Meskipun negara ini mempunyai sumber yang banyak namun ia tidak manfaatkan dengan cekap menyebabkan ketergantungan ini.
Sebaliknya, barat yang semakin ketandusan sumber alam mereka pula mengeksploitasi bahan yang terdapat di negara ini serta negara-negara Islam lain. 2.3 trilion adalah jumlah cukup besar yang sepatutnya dimanfatkan negar-negara Islam.
Syarikat-syarikat makanan ternama dunia ketika ini kebanyakannya adalah milik bukan Islam, pengeluar makanan dalam negara juga kebanyakannya diusahakan oleh bukan Muslaim. Jadi sampai bila kita hendak bergantung kepada mereka untuk keperluan asas ini ?
Telah banyak peluang yang disediakan pihak berwajib untuk menceburi bidang ini. Amat menarik untuk melihat satu kerjasama anatara usahawan tempatan dengan kerajaan dan kerajaan dengan kerajaan dalam bidang ini bagi mewujudkan jaringan perniagaan makanan halal antarabangsa.
Semasa perasmian Multaqa Sedunia Alumni Al Azhar di Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad juga menegaskan tentang keperluan ini dan berharap agar akan wujudnya satu kerjasama antara negara-negara Islam dalam bidang ini.
Jadi sekarang yang perlu adalah pelaksanaan dari kalangan usahawan Islam dari seluruh dunia, agar kita tidak lagi bergantung kepada orang lain, walau untuk makan sekalipun.
|