Oleh Shahzuani A. Hamid
Pelajar Praktikum Universiti Sains Islam Malaysia
Apa yang kita dengar dan lihat hari ini kini sudah dianggap boleh dibanggakan. Semakin hari semakin ramai bumiputera lahir dalam bidang keusahawanan. Tidak dapat dinafikan tentang risiko yang menanti para usahawan di hari akan datang. Risiko inilah yang menjadi penentu jatuh bangunnya anak bangsa dalam bidang keusahawanan.
Walaupun bidang keusahawanan ini banyak rintangan dan risiko yang harus di tanggung, ia tetap tidak mematahkan semangat para pengusaha. Buktinya kini ramai usahawan muda di kalangan pelajar mahupun mahasiswa.
Pada dasarnya bidang keusahawanan ini lebih terbuka bagi mahasiswa GIATMARA. Ini kerana GIATMARA di tubuhkan khusus untuk bumiputera tempatan. Selain itu program GIATMARA ini lebih menjurus kepada kemahiran, kebolehan atau kecekapan melakukan pekerjaan dan sesuai permintaan pasaran. Peluang bagi mahasiswa GIATMARA sangat besar kerana mempunyai tenaga pengajar yang professional dan berkebolehan serta mahir dalam bidang masing-masing. Bukan itu saja, bantuan juga turut diberikan kepada pelajar-pelajar yang menyertai kursus tersebut.
Menurut Pengarah Mara Johor Bahru, En Haji Ahmad Sukirin ketika ditanya tentang MARA, ia memberi peluang kepada bumiputera untuk terus maju dalam perniagaan serta sedia membantu dari segi kewangan contohnya, pihak MARA memberi pinjaman dengan kadar faedah yang sangat rendah .
“Ini merupakan platform untuk bumiputera pergi ke ‘next stage’ dalam bidang keusahawanan sekali gus melahirkan generasi yang berdaya saing serta maju dalam mengukuh dan membangunkan ekonomi negara’, katanya.
Keadaan ekonomi semasa mencatatkan pertumbuhan yang sangat membimbangkan. Penurunan kadar ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan kepada penstrukturan semula sektor pekerjaan ,industri dan pelaburan malah mampu memberi kesan kepada masalah sosial serta pengangguran di negara ini.
Bagi mereka, ini adalah satu percubaan untuk melangkah ke arah sesuatu yang baru. Minat yang mendalam terhadap perniagaan juga banyak mendorong mahasiswa menceburi bidang ini.
Menurut seorang usahawan tempatan, Salmah Mohamad, bidang keusahawanan banyak memberi peluang kepadanya untuk menambahkan kemahiran yang sedia ada selain menambah pendapatan harian. Beliau telah mengikuti kursus menjahit pakaian lelaki di GIATMARA selama enam bulan dan kini telah mempunyai sebuah kedai yang menerima tempahan seperti pakaian lelaki dan wanita, beruniform, t-shirt, pakaian sukan, cadar, langsir dan menjual pakaian siap (ready made).
“Pada mulanya saya hanya mengambil tempahan baju kurung sahaja dan menjahit di rumah, hinggalah saya berfikir ingin menambahkan lagi kemahiran menjahit. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengikuti kursus di GIATMARA”,katanya..
Selain itu, sasaran kelompok yang dikhaskan oleh GIATMARA adalah terdiri kepada mereka yang tidak berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang akademik, mereka yang ingin mengasah kemahiran yang ada, yang telah kehilangan pekerjaan, ingin mencuba pekerjaan baru, ingin memperbaiki tahap kecekapan dan kemahiran dalam diri atau mengubah karier masa depan. Tidak salah jika dikatakan peluang ini juga terbuka kepada semua bumiputera. Pokok pangkalnya mahu dan tidak mahu sahaja serta nawaitu.
Walau bagaimanapun, bidang keusahawanan ini turut berkembang di kalangan mahasiswa IPT di seluruh Malaysia. Bagi mereka, menceburi bidang ini semasa menuntut bukanlah satu beban malah satu semangat untuk memotivasikan diri menjadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti.
Di samping itu, mahasiswa perlulah lebih kreatif ketika berdepan dengan masalah kemerosotan ini. Kejayaan yang berimpak tinggi akan diperoleh daripada keberanian berhadapan dengan risiko dan kemahiran memasang strategi ketika berhadapan suasana genting. Justeru , mahasiswa perlulah bersedia mempersiapkan diri dengan segala kebolehan generik dalam bidang keusahawanan.
Menurut Mohd Tarmizi Baharudin, penuntut di sebuah IPTA, minat adalah sangat penting untuk mencari pengalaman dalam apa jua bidang yang di ceburi. Semuanya tidak semudah yang disangkakan. Lebih-lebih lagi kita perlu berkorban masa yang ada demi cita-cita.
“Saya memang minat dalam perniagaan. Sekarang saya belajar sambil bekerja. Memang tidak dapat dinafikan susah nak sesuaikan diri dan bahagi masa. Tapi lama-kelamaan saya dapat uruskannya dengan bijak. Inilah pengorbanan yang saya harus bayar untuk meneruskan minat menceburi bidang keusahawanan”, katanya.
Hari ini telah menunjukkan keperihatinan mahasiswa tentang masa depan mereka. Kebanyakkan daripada mereka mencari satu pilihan baru iaitu dengan menceburi bidang ini bagi mengukuhkan ekonomi dalam kehidupan seharian selain membantu bumiputera lain untuk terus maju. Dengan peluang yang sedia ada, tiada yang mustahil jika kita terus berusaha untuk maju selangkah kehadapan di iringi nawaitu yang betul.
Namun apa yang pasti, apabila mempunyai minat yang mendalam terhadap perniagaan dan keusahawanan, kejayan pasti menanti di hadapan. Jelas alternatif ini dapat mengurangkan masalah penggangguran di kalangan rakyat Malaysia dan anak muda lepasan ijazah khususnya.
Selain itu, alam mahasiswa merupakan medan terbaik untuk mahasiswa mengasah bakat mereka sebelum mereka benar-benar keluar ke arena pekerjaan. Dalam keadaan sebegini mahasiswa perlu bijak mencari dan meraih peluang bersaing antara satu sama lain. Dalam realiti sebenar, kecemerlangan akademik bukanlah penentu segalanya.
Fenomena ini sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan sama ada di IPTA mahupun di GIATMARA. Masing-masing berusaha dan bersaing meningkatkan daya kreativiti untuk menjadi individu yang berinovasi tinggi. Apa yang penting adalah tahu untuk menghargai peluang. Tidak hairanlah jika mereka mampu untuk membuka sebuah perniagaan secara kecil-kecilan. Alam pekerjaan terlalu luas menanti anak-anak muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya. Bukan setakat ilmu di dada yang harus mereka bawa ketika memasuki alam pekerjaan tetapi kemahiran juga diperlukan.
Salmah Mohamad ketika ditanya mengapa ramai mahasiswa yang menceburi bidang ini mengatakan sukar untuk menstabilkan perniagaan mereka dan sudahnya semuanya terhenti separuh jalan, lalu dibiarkan begitu sahaja.
“Bagi saya, peluang hanya datang sekali. Jadi apa salahnya kita ambil dan hargainya. Untuk menceburi bidang keusahawanan, kita perlu berfikiran jauh dan matang dalam setiap keputusan yang kita ambil. Dalam percubaan melangkah setapak ke bidang ini, kita perlukan kepandaian dalam diri yang harus dicungkil agar sentiasa memberikan yang terbaik ketika menjalankan tanggungjawab sebagai penuntut dan seorang usahawan muda. Inilah lumrah jatuh bangunnya seorang usahawan”,tambah Salmah.
Bukan sahaja ilmu dan kemahiran yang diperlukan malah cara berkomunikasi juga sangat penting. Mahasiswa harus sedar bahawa mereka akan berdepan dengan semua lapisan masyarakat yang mempunyai sikap berbeza. Jadi, di sinilah mahasiswa boleh belajar menghadapi bermacam-macam ragam manusia. Walaupun ia tidak terlalu terdedah kerana mahasiswa masih menuntut dan menjadikan bidang keusahawanan adalah aktiviti sampingan, tetapi mahasiswa perlulah bersedia lebih awal.
“Bagi Tarmizi pula, membabitkan diri dalam perniagaan perlu bersikap terbuka. Jangan pilih bulu. Pelanggan harus diberi layanan serta perkhidmatan terbaik. Bak kata pepatah ‘customer always right’. Bersabar dengan karenah pelanggan juga perlu diterapkan dalam diri kletika bekerja dan anggaplah mereka pembawa rezeki kepada kita”, jelasnya.
Selain pihak MARA, terdapat banyak pihak yang membantu dengan memberi peluang kepada mahasiswa yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan. Contohnya, Program Francais Siswazah. Ini adalah sebuah program yang bertujuan untuk melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera dari kalangan siswazah supaya mereka adalah yang berkaliber, mempunyai daya saing yang tinggi dan berkeyakinan untuk berkerjaya di dalam bidang perniagaan francais. Dengan menyertai program ini, peserta berpeluang untuk memperolehi pengetahuan berguna mengenai pengurusan perniagaan, sedar akan risiko-risiko perniagaan yang bakal dihadapi, menjalani kelas motivasi dalam membentuk diri menjadi usahawan yang berjaya dan yang paling bernilai sekali
Menurut Ahmad, peserta boleh memohon bantuan kewangan daripada agensi-agensi yang terlibat iaitu PNS, MARA, Bank Pembangunan dan Industri Malaysia Berhad (“BPIMB”) atau skim-skim jaminan di bawah Credit Guarantee Corporation (“CGC”). Ini membuktikan bahawa kerajaan memberi galakkan dengan memberi bantuan dari segi kewangan.
“Kini tiada lagi alasan mengatakan susah untuk mencapai kejayaan. Jalan sudah diberi dan tinggal tanya pada hati”, jelas beliau. .
|