PETA LAMAN  
 
 
 
 
 
> Rencana >> Ekonomi  
Persidangan Ekonomi Malaysia-China Tarik 500 Usahawan Bumiputera
16 February 2004
Persidangan Ekonomi Malaysia-China (MCEC) Kedua yang akan diadakan di Sunway Lagoon Resort Hotel pada 24 Februari ini dijangka menyaksikan penyertaan kira-kira 500 usahawan Bumiputera.

Pengerusi jawatankuasa bekerja MCEC, Chua Tiam Wee berkata kebanyakan usahawan Bumiputera itu adalah daripada industri kecil dan sederhana (IKS) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh negara.

Beliau berkata MCEC boleh menjadi landasan bagi usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran orang Islam di China.

"Terdapat kira-kira 60 juta umat Islam di China. Usahawan Bumiputera boleh menembusi pasaran dalam industri pembuatan makanan halal, pemprosesan makanan, industri pelancongan di samping ziarah dan perjalanan untuk menunaikan fardhu Haji," katanya.

Turut hadir adalah Pengerusi Pusat Runding Cara Industri Berskala Kecil dan Sederhana Negara (NASMIC), Datuk Chua Jui Meng.

"Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China meningkat daripada RM29 bilion pada 1997 kepada RM73 bilion pada 2002 manakala jumlah perdagangan Malaysia dengan China sepanjang 11 bulan terakhir 2003 adalah sebanyak RM72 bilion. Ia adalah petunjuk jelas kejayaan dan hubungan perdagangan dua hala yang cergas antara kedua-dua negara dagangan itu," kata Chua.

Persidangan yang bertemakan "Malaysia-China Sedang Bergerak Maju: Kepimpinan Baru, Kemuncak Baru" itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Datuk Seri Abdullah, yang juga Menteri Kewangan dijangka menyampaikan ucaptamanya pada hari pertama.

Top Email kepada kawan  Versi Cetakan