ENGLISH | PETA LAMAN
 
 
 
 
> Rencana >> Keluarga  
Punca Kepandaian (Kecerdikan): Baka atau Pengalaman?
25 February 2005
Para penyelidik dalam bidang perkembangan kanak-kanak sudah lama membincangkan sama ada kepandaian atau kepintaran seseorang kanak-kanak itu berpunca dari baka atau berkaitan dengan pengalaman dan latihan yang diterima oleh mereka itu.

Pendapat bahawa kepandaian adalah berpunca daripada baka (Naturist View) adalah lebih popular pada masa dahulu. Baka ialah sesuatu yang diturunkan kepada seseorang itu dari ibu dan bapanya. Dari itu seseorang kanak-kanak yang lembab akalnya dikatakan mendapat ciri-ciri ini daripada salah seorang itu sudah ditentukan dari peringkat janin lagi dan pencapaiannya akan terhad mengikut baka yang diperoleh.

Ujian intelek (I.Q TESTS) dirangkakan untuk membolehkan seseorang ahli psikologi itu mengukur tahap intelek seseorang kanak-kanak itu. Ini seolah-olah menjadikan intelek seperti ini mudah diperoleh bagi kanak-kanak. Jika ia didapati tinggi, perasaan ibu bapa itu senang, seolah-olah anak itu akan boleh dibiarkan sendiri untuk belajar tanpa usaha-usaha yang khusus. Sebaliknya, jika ujian intelek didapati rendah kanak-kanak itu dianggap susah dilatih atau diajar dan difikirkan yang tidak ada apa-apa usaha yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan pencapaiannya.

Pendapat yang kepandaian seseorang kanak-kanak itu hanya berpunca daripada baka sahaja telah dinafikan oleh para penyelidik pada masa kini.

Banyak kaedah telah dicuba untuk mempertingkat daya kreatif, daya peringatan dan daya penyelesaian masalah. Perkembangan dalam bidang psikologi pendidikan dan psikologi perkembangan telah dapat memberi kita maklumat bahawa kebolehan seseorang itu boleh dipertingkatkan jika persekitaran yang penuh dengan stimulasi, pengalaman-pengalaman yang positif yang dapat membentuk konsep diri yang baik serta strategi pendidikan dan latihan yang sesuai dapat meningkatkan pengetahuan dan kebolehan seseorang itu.

Rumusan-rumusan penyelidikan baru telah mengubah pemikiran para penyelidik tentang konsep kepandaian seseorang kanak-kanak daripada pendapat baka (Naturist View) kepada pendapat di mana kepandaian boleh dipertingkatkan dengan adanya pengalaman-pengalaman dan latihan-latihan yang sesuai.

Seseorang yang menganggap kepandaian itu berpunca daripada baka sahaja mungkin akan mudah menerima bahawa seseorang kanak-kanak itu boleh maju di dalam usahanya mengikut kemampuan pemikirannya sahaja. Rancangan-rancangan yang diaturkan untuk mempertingkat daya pemikirannya melalui strategi-strategi pembelajaran akan dianggap tidak perlu dan tidak akan membawa kesan-kesan yang ketara. Ini boleh merugikan kanak-kanak.

Penyelidikan yang dijalankan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat ke atas kanak-kanak yang datang dari golongan miskin telah menunjukkan yang prestasi intelek kanak-kanak itu pasti boleh dipertingkatkan jika mereka di dedahkan kepada kaedah-kaedah pembelajaran dan pengalaman-pengalaman yang kaya. Jika kanak-kanak ini terus dibiarkan tanpa diberi latihan-latihan dan pendedahan kepada keadaan yang boleh mencabar pemikirannya sudah tentulah prestasi yang ditunjukannya akan tetap tidak memuaskan. Akibatnya, dia akan terus berada di lapisan bawah masyarakatnya dari segi sosioekonomi.

Ekoran daripada pendapat Head Start Project, (iaitu suatu projek kanak-kanak yang berusaha untuk memberi rangsangan dari peringkat seawal-awalnya), menunjukkan bahawa baka bukanlah satu-satunya faktor yang boleh menentukan prestasi intelek seseorang itu kerana yang lebih penting lagi ialah pengalaman-pengalaman, kaedah-kaedah pembelajaran dan galakan yang diterimanya. Ramai para penyelidik menyatakan bahawa peringkat dua hingga tiga tahun adalah kritikal bagi perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak itu.

Jika persekitaran atau cara bimbingannya sehingga peringkat umur ini rendah mutunya dari segi stimulasi, perkembangan kognitifnya tidak akan tercapai dengan optimum. Taman asuhan dan tadika yang ditubuhkan di merata-rata tempat di dunia dan di dalam negeri ini membayangkan bagaimana pentingnya persekitaran serta didikan untuk membentuk perkembangan intelek seseorang kanak-kanak itu.

Pengalaman daripada kanak-kanak cacat yang datang ke klinik menunjukkan yang sebahagian besar dari kanak-kanak ini mengalami kekurangan stimulasi (psycho-social deprivation). Kanak-kanak yang pekak menunjukkan tahap kefahaman bahasa yang rendah sementara kanak-kanak yang buta kurang menunjukan perasaan atau daya perhubngan dengan orang di sekelilingnya. Kanak-kanak yang mengalami kecacatan fizikal seperti īpalsi-cerebralī dan kanak-kanak yang cacat akal juga menunjukkan perkembangan yang lebih rendah daripada potensi mereka.

Apabila rancangan pemulihan diaturkan dan ibu bapa sendiri diajar dan digalakkan untuk menjalankan rancangan pemulihan ini di rumah, sering didapati kanak-kanak cacat ini dapat menunjukkan kebolehan yang lebih tinggi. Mereka berupaya mencapai kemahiran sosial jika ini ditekankan dalam latihan.

Kesimpulannya, keupayaan pemikiran seseorang kanak-kanak itu bukan hanya dipengaruhi oleh baka, bahkan yang lebih penting lagi, oleh faktor-faktor seperti kesihatan, tahap pemakanan yang baik, cara gaya keibubapaan yang positif, persekitaran yang kaya dengan stimulasi, kaedah-kaedah pembelajaran yang sesuai, galakan dan minatnya sendiri.

Cara keibubapaan (parenting) yang positif yang boleh meninggikan keyakinan diri adalah sangat penting. Kanak-kanak yang mengalami kerosakan otak, walaupun terhad keupayaannya akan boleh dipertingkatkan kebolehannya untuk berdikari dan menyesuaikan diri di dalam masyarakatnya jika dia diberi bimbingan yang sesuai. Kebolehannya di dalam sesuatu aspek adalah penting dikesani sementara kelemahannya perlu diketahui supaya dia boleh diajar cara-cara untuk mengatasi kelemahannya itu.
Top Email kepada kawan  Versi Cetakan