PETA LAMAN  
 
 
 
 
 
> Rencana >> Kesihatan  
Keracunan Makanan di Sekolah Perlu Ditangani Bersama
12 February 2008
Oleh MD. ZAN SAARI

“SEKARANG hantar anak ke sekolah pun bahaya, anak dah berada di sekolah lagi bahaya, macammana di sekolah pun boleh keracunan, dulu tak pernah begini,” getus seorang ibu kepada rakannya semasa menghantar anaknya ke sekolah.

Kenyataan tersebut memang berasas, kerana kejadian keracunan makanan di sekolah semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Malah lebih malang lagi apabila beberapa kejadian turut melibatkan pelajar miskin yang diletakkan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Selepas negara ini heboh dengan siri kejadian keracunan makanan di sekolah tahun lepas, ramai yang menyangka insiden malang ini akhirnya akan berakhir apabila pihak bertanggungjawab mengambil langkah mengemas kini prosedur pembekalan bahan makanan di sekolah, namun ia ternyata meleset, kerana kes keracunan makanan di sekolah kini ´kembali rancak´.

Pelbagai cadangan timbul ketika itu termasuklah mengkehendaki guru besar memeriksa sendiri kualiti makanan yang dihidangkan di kantin sekolah. Turut dibangkitkan ialah supaya membatalkan sahaja kontrak pembekal makanan kepada para pelajar yang ditimpa keracunan makanan.

Sebenarnya, ia sesuatu yang sukar untuk difahami, namun menarik untuk kita lihat kerana fenomena seperti ini di Malaysia biasanya akan berlaku secara bersiri dan meleret-leret. Selepas satu kejadian pencetus (triggering scene), akan berlaku pula beberapa insiden yang serupa. Buktinya, selepas kejadian pertama 10 pelajar termasuk seorang guru mengalami keracunan makanan di sebuah sekolah di Shah Alam, enam kejadian lain yang serupa berlaku di seluruh negara melibatkan lebih 200 pelajar dalam tempoh kurang dua bulan tahun ini.

Terkini, kejadian ini berlaku tiga hari berturut-turut iaitu pada 3 hingga 6 Februari melibatkan 140 pelajar di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang.

Ia ternyata sesuatu yang membimbangkan kerana ada pelajar yang mengalami keracunan ini disebabkan mengambil makanan yang disediakan dalam RMT. Kes keracunan juga berlaku bukan sahaja di sekolah kerajaan tetapi juga sekolah swasta (Shah Alam).

Kronologi kejadian keracunan makanan di sekolah (Januari- Februari 6 2008).

1: 5 Januari - 10 pelajar dan guru sekolah swasta di Sekyen 7 Shah Alam, Selangor.

2: 23 Januari - 33 orang murid Sekolah Rendah Kebangsaan Jambu Bongkok, Mercang dan SK Padang Mengkuang, Bukit Payong, Terengganu.

3: 30 Januari - 33 murid Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya, Negeri Sembilan.

4 : 31 Januari - 2 guru bersama 53 murid Sekolah Kebangsaan Seri Ampangan Muda, Kedah. (RMT)

5: 3 Februari - 60 pelajar perempuan Sekolah Menengah Seri Nering, Besut, Terengganu.

6: 4 Februari - 39 pelajar sekolah Kebangsan Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.(.RMT)

7: 5 Februari – 41 pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu, Penaga, Pulau Pinang.

RANCANGAN MAKANAN TAMBAHAN

RMT dilaksanakan sebagai satu program yang bertujuan membantu meningkatkan taraf pemakanan serta kesihatan murid sekolah rendah. Program ini yang pada asalnya dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri diperluaskan pelaksanaannya selepas disyorkan dalam Laporan Jawatankuasa
Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran pada tahun 1979.

Ia juga sebagai usaha kerajaan untuk menambah nutrisi harian para pelajar berkenaan (selain makanan di kantin sekolah) untuk memastikan mereka membesar dengan mendapat khasiat secukupnya.

Menurut satu kajian oleh pihak dilantik kerajaan, secara umumnya kandungan makronutrien di dalam makanan yang terdapat di kantin sekolah rendah adalah sedikit sahaja. Kandungan kalori dan protein dalam setiap hidangan masing-masing adalah di antara julat 77 - 274 kilokalori (kcal) dan 0.9 - 3.6 gram.Peratus sumbangan tenaga daripada protein di dalam makanan di kantin sekolah juga terlalu rendah iaitu hanya 2 – 10 peratus sahaja.

Justeru, di sini timbul kepentingan untuk memberikan nutrien kepada para pelajar miskin ini khususnya. Makanan yang disediakan di bawah RMT mengandungi kalori yang lebih tinggi berbanding dengan hidangan yang dijual di kantin sekolah. Ini kerana, jika dibandingkan dengan hidangan yang dijual, pembekal makanan tambahan perlu mengikut jadual dan menu yang disediakan pihak bertanggungjawab. Lalu, ia sedikit sebanyak membantu menambah nutrisi harian yang diterima oleh pelajar terlibat.

Pun begitu sejak kebelakangan ini, RMT dibelenggu masalah-masalah yang dilihat mencalar kelicinan dan perjalanan program berkenaan, hingga memaksa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudiin Tun Hussein sendiri turun padang bagi meninjau sendiri apakah masalah sebenar program ini.

Kecuaian di beberapa peringkat dilihat menjadi antara punca pelajar yang terlibat dengan program ini mengalami keracunan makanan. Biasanya selepas dimasukkan ke hospital, mangsa mendakwa, makanan yang dihidangkan sudah tidak elok atau basi, malah ada kejadian di mana para pelajar mendakwa, makanan yang dimakan berbau lipas!

Proses penyediaan yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan juga disyaki menjadi penyebab kejadian ini. Mengikut kes keracunan terdahulu, ada sesetengah pengusaha kantin dan pembekal gagal menyediakan makanan bersih dan berkhasiat, akibat terlalu mendahulukan keuntungan. Malah ada sesetengah pekerja di kantin mengambil sikap sambil lewa apabila berhadapan dengan aspek kebersihan makanan.

Selain RMT dan makanan di kantin sekolah, terdapat juga kes keracunan yang melibatkan program Susu Sekolah. Antara yang mendapat perhatian ramai ialah satu kejadian di mana guru sekolah tertebuk lubang pada kotak susu semasa mengagihkan makanan berkenaan. Lubang kecil akibat ditebuk menggunakan stapler tersebut akhirnya menyebabkan susu kotak tersebut tercemar semasa diambil oleh pelajar.
DIDIK ANAK ANAK

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini. Anak-anak perlu diajar supaya berupaya mengenal pasti makanan yang sudah tidak elok. Ini kerana rata-rata kes keracunan yang berlaku adalah melibatkan pelajar sekolah rendah yang pastinya kurang arif mengenainya.

Ibu bapa juga disarankan untuk menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka sebelum ke sekolah. Makanan yang dihasilkan di rumah diyakini kebersihannya dan disediakan dengan kasih sayang... Selain membantu keluaga berjimat, ia secara tidak langsung juga turut mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ia dapat dimulakan dengan mengurangkan kekerapan makan di luar dan menggalakkan ahli keluarga melibatkan diri dengan proses penyediaan makanan terutamanya anak-anak. Apabila anak-anak terutamanya yang berada di sekolah rendah dilibatkan dalam proses penyediaan makanan in, mereka akan turut belajar mengenai kepentingan menjaga kebersihan makanan.

Ajar juga anak-anak supaya tidak takut untuk bertanya dan mengadu kepada guru sekiranya mendapati makanan yang dihidang di kantin sekolah atau dalam program-program makanan, didapati sudah tidak elok. Ilmu kepenggunaan juga sebenarnya perlu diajar kepada anak-anak sejak mereka masih di sekolah rendah. Mereka perlu tahu maklumat-maklumat penting terutamanya yang dipaparkan di kotak pembungkus makanan, kerana golongan ini kerap membeli makanan ringan seperti kerepek, minuman berkarbonat dan sebagainya.Bagi mengelakkan daripada terbeli makanan yang sudah tidak elok, mereka juga perlu diajar tentang tarikh luput sesuatu makanan yang dijual.

Kita sebelum ini lebih banyak bersikap tidak mengambil tahu dan tidak mengapa. Dalam kejadian keracunan kerana meminum susu dalam program Susu Sekolah, terdapat kes di mana kotak susu tersebut kembung dan kandungannnya sudah rosak namun, ia tetap diberikan kepada para pelajar kerana bersikap ia tidak mengapa atau sekadar beranggapan ia adalah perkara biasa.

TINDAKAN

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga hendaklah memainkan peranan penting dalam hal ini. Ahli-ahli dan pemimpin seharusnya lebih kerap hadir dan melawat ke sekolah dan bukannya semasa hari mesyuarat atau ketika temasya sukan semata-mata.

Selepas insiden-insiden keracunan ini, PIBG perlu lebih proaktif dalam menjalankan peranan mereka dan pemantauan secara lebih kerap terhadap keadaan di sekolah perlu diadakan. Di pihak berkuasa pula, siasatan segera perlu dijalankan bagi mengenalpasti dan menyelesaikan segera masalah ini. Hendaknya kita tidak perlu menunggu hingga ada antara anak-anak kecil kita yang menjadi korban akibat keracunan makanan, kemudian barulah tindakan yang lebih berkesan diadakan.

Hasil siasatan juga hendaklah dimaklumkan kepada mereka yang terbabit, khususnya ibu bapa pelajar-pelajar yang menjadi mangsa. Sebenarnya, siasatan dan hasilnya perlu dihebahkan kepda umum kerana mereka juga berhak tahu apakah sebenarnya berlaku. Kerap kali jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini, selepas siasatan dijalankan, tiada sebarang hebahan dimaklumkan kepada masyarakat menyebabkan mereka tertanya-tanya apakah yang terjadi.

Fenomena ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan timbulnya spekulasi negatif yang akhirnya memburukkan nama sekolah, guru-guru dan Kementerian Pelajaran.

Top Email kepada kawan  Versi Cetakan