Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN
JANGAN sekali-kali kita berkata bahawa kita tidak mempunyai segolongan remaja yang berpotensi menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Juga jangan kata kita tidak memiliki anak muda yang berpelajaran yang mempunyai kesedaran dan pegangan agama Islam yang baik dan ingin mempraktikkan ajaran agama dalam kehidupan harian mereka kerana kita memilikinya dan seharusnya kita berbangga dengan mereka.
Kita memiliki remaja Islam bersemangat waja seperti Najmil Faiz Mohamed Aris yang terpilih sebagai antara pelajar Asia paling cemerlang. Seorang remaja yang telah mencipta sejarah sebagai pelajar Malaysia pertama diberi penghormatan dan pengiktirafan untuk membentangkan kajiannya yang berkaitan dengan “teknologi nano” dan “Micro Machine Process” kepada anggota Parlimen United Kingdom di London dan memenangi anugerah “The Best Research of Good Prospect (2005)”.
Jangan lupa juga kepada seorang jutawan muda bernama Irfan Khairi yang bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di United Kingdom yang dinamakan “Learning Grid”.
Juga kepada Nur Amalina Che Bakri yang diiktiraf sebagai pelajar cemerlang SPM 2004 dengan keputusan 17A1.
Bagaimanapun, masih ramai lagi di kalangan remaja yang ‘dialun’ dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Misalnya, kita acapkali mendengar terdapat sebilangan remaja melahirkan anak luar nikah dan kemudiannya membuang bayi yang tidak bersalah itu tanpa sebarang rasa simpati dan bersalah. Sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka.
Ini tidak termasuk remaja yang berdampingan dengan arak dan najis dadah. Ini semua adalah gambaran bagi masa depan negara dan bangsa kelak. Adakah kriteria ini yang kita inginkan sebagai pemimpin masa depan negara?
Semakin ramai remaja kita yang membuka aurat, menjolok mata dengan alasan kononnya mengikut arus kemodenan, mereka ‘seronok’ berdua-duaan dengan berkelakuan yang menjengkelkan di khalayak ramai. Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh umat yang terbaik?
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bukanlah seorang Mukmin yang sempurna, yang suka mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah.”
Walaupun kajian Illiet Turiel, seorang pengkaji perkembangan kognitif remaja menyatakan golongan remaja mudah diresapi oleh pelbagai elemen positif dan negatif bergantung kepada corak persekitaran, ini tidak bermakna, segala perubahan sosial yang berlaku di sekeliling kita, pengaruhnya dengan semudah itu meresap ke dalam diri. Apa yang baik sewajibnya tetap menjadi pilihan dan keutamaan.
Boleh dilihat, usaha yang dijalankan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan misalnya, telah banyak menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bercorak pembangunan remaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menegaskan bahawa program pembangunan remaja harus berpaksikan kepada 3K, iaitu kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Bagi Perdana Menteri, setiap belia harus memiliki ciri kepemimpinan yang baik.
Paling kurang, remaja harus mampu memimpin dirinya sendiri. Remaja yang mampu memimpin diri sendiri bukan saja tidak menjerumuskan dirinya dengan kegiatan tidak sihat, sebaliknya mereka akan menjadi rakyat yang patriotik, bersemangat kemasyarakatan dan kesukarelaan yang tinggi.
Saranan Perdana Menteri agar ibu bapa serta guru dilatih dengan kemahiran kaunseling juga adalah cadangan yang perlu dilihat sebagai suatu kaedah yang membina dalam usaha menghasilkan golongan remaja yang berkualiti.
Melihat kepada konteks membangunkan remaja berkualiti ini, agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai tanda sokongan dan tanggungjawab sosial terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan.
Perkara pertama yang perlu dilakukan pihak NGO adalah memperbanyakkan pusat-pusat kaunseling yang memberikan khidmat secara percuma kepada golongan remaja. Pusat-pusat kaunseling ini bertindak sebagai pusat sehenti kepada golongan remaja melalui pendekatan bersemuka dan ‘hati ke hati’ dengan pihak kaunselor.
Modul yang ada dalam menangani masalah remaja masa kini, harus disertai dengan tindakan susulan. Tidak ada gunanya kerajaan mahu pun agensi-agensi berkaitan berbelanja ribuan ringgit menganjurkan pelbagai program dan kempen tetapi hasilnya ibarat ‘mencurahkan air pada daun keladi’.
Oleh hal yang demikian, modul tambahan yang boleh dilihat sebagai tindakan susulan ialah mewujudkan pusat sehenti yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Para remaja yang bermasalah akan dibimbing oleh kaunselor di pusat sehenti dan dibantu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi.
Badan-badan NGO seharusnya mengamalkan kaedah di mana selesai sahaja peserta kursus motivasi menamatkan kursus, peserta dan ibu bapa akan terus menjadi sebahagian daripada keluarga angkat agensi dan seterusnya agensi bertanggunjawab memberikan bimbingan dan khidmat nasihat secara percuma sama ada secara formal ataupun tidak formal.
Selain itu, kursus motivasi yang dijalankan perlulah bersifat mesra dengan memberikan penekanan terhadap konsep asas agama, kekeluargaan, kasih sayang dan hormat-menghormati. Terapkan juga konsep bersalaman sambil berpelukan seperti yang diamalkan Rasulullah kerana perkara asas sebegini, walaupun dianggap remeh dan memalukan bagi segelintir orang, ia sebenarnya berupaya memberikan ransangan perubahan ke arah yang lebih positif kepada bukan sahaja remaja, tetapi juga ibu bapa.
Seperti yang sedia maklum, anak-anak akan mengadaptasikan segala perlakuan dan perbuatan ibu bapa mereka sebagai panduan. Baik perlakuan dan perbuatan ibu bapa, baik juga perlakuan dan perbuatan remaja. sekiranya ibu bapa menonjolkan contoh yang cenderung ke arah budaya kebaratan, maka tidak hairanlah jika anak-anak atau remaja juga cenderung terjerumus ke arah kehidupan sedemikian. Seperti pepatah Melayu, “bapak borek, anak rintik,”
Justeru, kursus motivasi yang dijalankan juga perlu mensasarkan bukan sahaja remaja, tetapi juga ibu bapa yang akan bertanggungjawab mempraktikkan apa yang diajarkan di dalam kursus tersebut. Sama juga apa yang diterima oleh anak-anak mereka atau remaja. Kaedah ini akan menekankan konsep tegur-menegur dan ingat-mengingati dalam institusi kekeluargaan kelak.
Setiap unit masyarakat seharusnya mempunyai kesedaran bahawasanya waktu remaja bukanlah waktu senggang, tetapi suatu jangka masa yang memerlukan pengisiannya dipenuhi dengan penghayatan agama Islam dan pencarian ilmu pengetahuan. Satu detik berlalu merupakan persiapan bagi membina peradaban bangsa yang lebih bermakna.
|