Oleh HAPPIS BASHA
KEWAJARAN Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam memutuskan ajaran Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat dari Barat adalah haram dan mendapati kumpulan ini terpesong sesat daripada ajaran syariah Islam beberapa tahun dulu amat bertepatan dengan kemurnian Islam. Namun, di sebalik pengharaman itu, ironinya muzik tersebut masih boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja tanpa menghiraukan moralisasi (ajaran, perbuatan buruk) yang begitu rencam sekali.
Kewujudan gelombang sosial yang condong pada arus negatif ini bermula dengan kehadiran lagu yang memaparkan lirik mengajak manusia melakukan perbuatan buruk diikuti dengan perbuatan memijak al-Quran, memuja syaitan, anti-Tuhan dan mengamalkan seks bebas yang sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam.
Persamaan Black Metal ini dapat disejajarkan dengan pengaruh budaya Hippies pada sekitar 1970-an dahulu yang memiliki ciri-ciri lahiriah yang khas dengan memakai pakaian berwarna-warni yang diilhami halusinasi dan menghisap narkoba jenis Marijuana & LSD.
Budaya Hippies dipanggil budaya menyendiri dan berusaha keluar daripada kehidupan formal, baik dari sistem kekeluargaan tradisional, pekerjaan, pendidikan, mahupun kehidupan bermasyarakat dan bernegara pada umumnya. Malah mempraktikkan pengubatan alternatif dengan slogan “kembali kepada kehidupan alam bebas.”
Berbeza daripada muzik golongan Hippies, muzik Black Metal lebih ketara pengaruhnya dengan mengutarakan rentak muzik yang beriringan dengan lirik-lirik negatif yang boleh mempengaruhi jiwa dan emosi seseorang, khususnya remaja atau belia.
Alforisme Al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumudin’ menyatakan “Yang dilarang daripada bernyanyi dan bersyair adalah yang mengandungi bahan-bahan yang tercela dan memuatkan kata-kata yang diharamkan atau mengajak manusia melakukan sesuatu yang haram dan membangunkan semangat melakukan perkara-perkara yang keji amat dilarang sama sekali”. Sebenarnya apakah yang menjadi penyebab kepada masalah di atas? Dan apakah jalan penyelesaiannya?.
Sememangnya muzik merupakan sebahagian daripada seni yang berupaya menggetarkan jiwa manusia. Mendengar irama muzik merupakan suatu wadah untuk melapangkan jiwa yang hambar dan fikiran yang berserabut.
Dengan bernyanyi (atau bernasyid) dan mendengar irama-irama tertentu, seseorang itu boleh dilanda rasa riang atau sedih, tenang atau gelisah dan sebagainya. Perkara ini adalah fitrah yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun, tua atau muda, kecil atau besar. Hatta janin di dalam kandungan ibu pun, berupaya bertindak balas dengan suara nyanyian ibunya sebagaimana hasil kajian yang dilakukan oleh Persatuan Kajian Sains Diraja England.
Tidak dapat ditolak, bahawa manusia merupakan makhluk yang dibekalkan oleh Allah s.w.t dengan perasaan, tabiat dan kecenderungan semulajadi yang sudah menjadi fitrah kejadian manusia itu sendiri. Setiap manusia mempunyai citarasa tersendiri dalam pemilihan rentak muzik atau apa jua sekalipun. Muzik amat berperanan dalam menyentuh perasan dan jiwa ketika seseorang dilanda masalah jiwa dan emosi.
Bermula dengan lagu dan penerimaan yang bersesuaian dengan jiwa terhadap rentak muzik Black Metal ini, seterusnya didorong dengan lirik yang melanggar batasan Islam akan menjuruskan seseorang yang tidak cukup dengan didikan agama, jiwa yang kosong, dan mempunyai masa yang terbuang akan menjuruskan mereka melanggari batas-batas Islam.
Jiwa dan perasaan manusia perlu disahut atau dipenuhi kehendak-kehendaknya sebagaimana manusia memberikan hak-hak tertentu kepada akal dan tubuh badannya. Apabila jiwa dan batin ditekan atau tidak disahut kecenderungannya, ia akan cepat memberontak lantas membuatkan kehidupan seseorang tidak tenteram dan menerima apa sahaja kemasukan pelbagai anasir.
Berbicara tentang muzik pada masa kini, ia telah mengalami perkembangan yang begitu pesat jika dibandingkan dengan zaman permulaan Islam dan seterusnya pada zaman-zaman keagungan Islam sebagai kuasa besar dunia.
Sejarah pembinaan tamadun Islam, iaitu pada zaman Rasulullah s.a.w, kita mendapati Islam di bawah pimpinan Khulafah Ar-Rasyidin, seni tidak begitu dititikberatkan kerana umat Islam lebih cenderung menyebarkan risalah dan berjuang di jalan Allah s.w.t bagi meledakkan empayar Islam.
Apabila kuasa Islam semakin berkembang sehingga ke Parsi, India, Rom dan sebagainya, bidang seni semakin pesat. Kehidupan umat Islam pada masa itu dilimpahi dengan kemewahan dan kedamaian lalu mencari hiburan.
Dunia seni menjadi luas dan pesat sehingga alat-alat muzik diimport daripada tamadun lain seperti Parsi dan India. Kehidupan mereka mula bercampur aduk dengan unsur-unsur maksiat yang melalaikan, menyebabkan empayar Islam mula lemah dan akhirnya satu demi satu jajahan Islam dirampas oleh musuh, malah mengakibatkan keruntuhan empayar Islam Uthmaniah di Turki.
Dunia moden kini menyaksikan revolusi kebendaan yang menakjubkan apabila muzik kini boleh didengari di mana-mana sahaja. Dalam hal ini Islam tidak melarang mencari hiburan atau muzik selagi ia tidak melanggar batas-batas Islam dan tidak melalaikan kita daripada mengingati Allah s.w.t. Namun, umat Islam perlu berhati-hati dalam mencari hiburan terutama golongan belia remaja yang mudah terpengaruh dengan kawan-kawan yang tidak bermoral dan pergaulan bebas.
Dengan mempunyai kebebasan akidah menyebabkan manusia boleh mempercayai apa sahaja yang mereka suka. Kebebasan juga yang telah menyebabkan beberapa remaja di Mesir pada tahun 1996 telah mengambil bahagian dalam pemujaan syaitan (satanic worshipping) tetapi kemudiannya ditangkap. Kebebasan ini juga yang bertanggungjawab memberikan kebebasan untuk beberapa orang untuk menyebarkan propaganda dan berita-berita yang palsu yang menyalahi fakta sejarah atau menulis buku seperti "Satanic Verses" dan menerbitkan filem seperti "The Last Temptation of Christ" di mana menyebabkan kemarahan berjuta umat Islam di dunia.
Dalam era ini, ibu bapa harus memainkan peranan yang penting di masa kini dalam menguruskan pelbagai urusan, kerana anak merupakan amanat daripada Allah s.w.t. Setiap anak yang dilahirkan adalah di dalam keadaan sederhana, sempurna fitrahnya, hatinya yang bersih laksana mutiara yang berharga, indah dan bersih daripada segala gurisan dan bentuk. Ia akan menerima apa sahaja yang dibuatnya kepadanya dan condong kepada apa yang ditarik kepadanya.
Ini sudah menjadi kewajiban ibu bapa di samping pertolongan masyarakat memberi perlindungan kepada mereka amat dirindui agar fitrah kesucian itu tidak pudar atau hilang sama sekali. Kebanyakan sarjana menyalahkan ibu bapa kerana tidak memberikan perhatian atau pendidikan kepada golongan yang terbabit lalu menyebabkan mereka melakukan perbuatan jenayah.
Dengan memberikan pemulihan, bimbingan, pengawalan masa, mengenali rakan-rakan yang didekati kepada golongan muda, sedikit sebanyak akan membuka ruang kepada mereka membezakan perkara yang baik dan buruk. Mendapat anak-anak yang soleh akan memberikan ganjaran kepada ibu bapa di dunia malah berkesinambungan ganjaran di akhirat kelak apabila doa-doa anak soleh ini memperolehi pahala yang besar di sisi Allah s.w.t.
Luqman Hakim menekankan empat dasar pendidikan anak-anak iaitu akidah, ibadah, akhlak terhadap orang lain, dan akhlak terhadap diri sendiri.
Sewajarnya nasihat Luqman Hakim ini menjadi panduan para ibu bapa hari ini khususnya perintah Luqman menasihati anaknya agar mentaati perintah Allah s.w.t, iaitu berbakti kepada orang tua dan disusuli dengan perintah ibadah solat serta pelbagai perkara-perkara kebajikan lain. “Hai anakku, laksanakanlah solat (secara berkesinambungan dan sempurna) dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang makruf dan cegahlah mereka dari mengerjakan yang mungkar”. (Surah Luqman : 31). Luqman juga memulai nasihatnya dengan menekankan perlunya menghindari perbuatan syirik (mempersekutukan Allah). Larangan ini sekaligus mengandungi pengajaran tentang Kewujudan dan Keesaan Allah s.w.t.
Apapun yang berlaku hari ini dapat menjadikan iktibar warna-warni kehidupan kita semua betapa pentingnya sistem yang datang daripada Pencipta manusia sendiri, iaitu Allah s.w.t yang sendiri-Nya tahu tentang baik atau buruk bagi manusia itu.
Syariah adalah undang-undang Allah s.w.t untuk mengatur naluri manusia dalam kehidupan manusia ke arah suatu landasan yang akan mendatangkan kebaikan di dunia dengan melarang manusia mengikuti nalurinya tanpa apa-apa batasan. Sesuatu yang buruk tidak perlu dibiarkan bercambah. Akar umbinya harus dipugar agar tidak tumbuh menjadi pohon yang menghasilkan buah-buah yang beracun.
|