Dunia di hujung jari? Bagaimanakah agaknya keadaan tersebut? Realitinya, itulah gambaran yang sering sahaja diperkatakan oleh media massa seluruh dunia kebelakangan ini. Perihal dunia tanpa sempadan (atau disebut globalisasi) merupakan agenda utama perbahasan seantero dunia kini.
Dunia akan kelihatan kecil di bawah kaedah ini. Melalui penemuan idea baru tersebut, apa sahaja maklumat yang ingin diperolehi atau ingin diketahui, hanya memerlukan sentuhan hujung jari sahaja. ‘Klik’ sahaja mouse atau tetikus komputer, maklumat perihal alam semesta terbentang luas untuk anda terokai. Menerusi kaedah ini, tidak wujud lagi keadaan dimana anda terpaksa membelek buku yang tebal ataupun pergi ke perpustakaan untuk mengetahui sesuatu yang ingin anda ketahui.
Ia bukan sahaja berupaya menyediakan kemudahan dalam pencarian maklumat, malahan ia juga mampu menghubungkan sesuatu bangsa, kaum, negara dan budaya persis berada di suatu tempat yang sama. Seseorang yang berada beribu-ribu batu jauhnya dapat berhubung dengan seseorang yang juga beribu-ribu batu jauhnya dari individu pertama, menerusi internet yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia. Menerusinya, masyarakat dunia akan kelihatan ‘rapat dan akrab ’ di antara satu sama lain.
Dari mana terciptanya teknologi internet ini? Siapa yang bertanggungjawab dalam mencipta dunia tanpa sempadan ini?
Sejarah terciptanya internet adalah berasal daripada projek ketenteraan Amerika Syarikat pada awal tahun 1960-an. Asalnya, satu jabatan ketenteraan negara itu yang dikenali sebagai US Department of Defence Advanced Research Projects Agency (DARPA) hanya menjalankan penyelidikan ke atas pensuisan paket sehinggalah pada akhir 1960-an, DARPA menyedari akan kepentingan sistem rangkaian komputer yang diuji oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Bolt, Baranek dan Norman (BBN) yang telah mendapat kebenaran daripada DARPA untuk menjalankan penyelidikan tersebut.
Setelah menyedari akan kepentingan sistem rangkaian, DARPA mulai menjalankan penyelidikan dengan lebih intensif sehingga terhasilnya protokol TCP/IP yang mempunyai piawaian protokol internet ketika itu.
Revolusi teknologi terus berlaku dan akhirnya pada tahun 1989, Tim Berners-Lee telah memperkenalkan World Wide Web (WWW) yang mana merupakan nadi perantaraan dunia tanpa sempadan ini (WWW merupakan merupakan medium massa yang memungkinkan manusia berhubung di antara satu sama lain dengan hanya satu sentuhan jari.).
“Hidangan yang terhidang tidak seharusnya dipersia-siakan”. Begitu jugalah halnya dengan internet. Sebagai memanfaatkan fungsi internet, ia juga boleh dijadikan sebagai ‘premis’ terbaru dalam bidang peniagaan masa kini. Ia mampu memberi ruang kepada penggunanya memanipulasi peluang yang ada di internet untuk mencari dan mengaut keuntungan.
Internet membolehkan individu dan organisasi memasarkan barangan atau perkhidmatan mereka dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding dengan media-media pasaran yang sedia ada disamping ruang pasarannya yang lebih luas. Di samping itu, internet secara lumrahnya telah membantu menyediakan pangkalan data yang sangat luas dimana segala maklumat berkenaan sesuatu aktiviti, produk dan berita terkini boleh diperoleh dengan mudah. Perniagaan atau pasaran jual beli barangan dan perkhidmatan menerusi on-line ini dikenali sebagai E-Dagang.
Pasaran secara elektronik atau E-Dagang ini adalah sangat berkesan jika dibandingkan dengan pasaran secara tradisional seperti pasaran menerusi surat khabar, majalah, CD, televisyen, radio, telefon, papan buletin dan surat. Antara kelebihan metode pasaran pasca baru ini ialah sesiapa sahaja boleh memasarkan barangan atau perkhidmatan mereka, malahan ada laman yang menawarkan perkhidmatan memasarkan sesuatu barangan secara percuma.
Selain itu, ruang pasaran yang tidak terbatas disamping keupayaan dan kepantasannya menyalurkan sesuatu maklumat menyebabkan ia lebih popular berbanding media pasaran yang lain memadai dengan hanya mempunyai laman web sendiri. Berkonsepkan tiada sempadan, pasaran boleh dilakukan seantero dunia.
Pasaran menerusi internet ini amat berkesan dan mesra pelanggan kerana pelanggan bebas melayari laman web sambil memilih barangan dan perkhidmatan yang dipasarkan tanpa mengenakan sebarang sekatan atau paksaan. |