PETA LAMAN  
 
 
 
 
 
> Rencana >> Sains & Teknologi  
Apa Itu LASIK?
31 May 2004
Susunan NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH

LASIK atau dikenali sebagai Laser Assisted In Situ Keratomileusis ialah pembedahan pembetulan penglihatan untuk ralat pembiasan iaitu rabun jauh dan dekat, serta astigmatisme. Pembedahan LASIK ini juga akan dapat mengubah masalah kelengkungan pada kornea.

Mereka yang mengalami rabun jauh (miopia) mencapai hingga 12.00 Diopter, rabun dekat (hiperopia) mencapai hingga 6.00 Diopter, Astigmatisme hingga 4.00 Diopter serta berumur 18 tahun ke atas adalah mereka yang layak untuk menjalankan pembedahan LASIK.

Prosedur LASIK mengambil masa selama sepuluh minit, tidak memerlukan pesakit tinggal di hospital. Titisan mata anestetik perlu dimasukkan untuk mengebaskan mata, doktor bedah mata yang terlatih akan membentuk satu lapisan nipis kornea (flap) dengan alat microkeratome (alat pembedahan mikro yang amat jitu).

Selepas flap ini dibentuk, ia diketepikan, dan permukaan kelengkungan kornea diubah bentuk dengan sinaran laser Excimer. Pesakit akan tidur menelentang dengan selesa dan kedudukan mata diletakkan di bawah mikroskpo laser dan ia dipasang selama 15-60 saat untuk tujuan rawatan. Selepas daripada prosedur ini, pesakit tersebut boleh pulang ke rumah.

Lapisan tisu kornea yang diubahbentuk ini amat nipis. Ketebalannya dalam lingkungan mikrometer sahaja. Berlainan daripada sinaran laser biasa, laser Excimer membentuk semula permukaan tisu tanpa memberi kesan kerosakan haba atau keparutan kepada tisu-tisu sekeliling. Selepas sinaran laser ini, flap kornea yang masih terlekat dikembalikan ke kedudukan asal tanpa perlunya sebarang jahitan.

Sinaran laser ini mampu mengubah bentuk kornea dan kelengkungan kornea di mana bagi kes rabun jauh (miopia) kelengkungan ini menjadi lebih rata, kes rabun dekat (hiperopia ) lebih curam, dan menjadi lebih bulat dalam kes astigmatisme.

Satu lagi jenis pembedahan LASIK ialah Wavefront LASIK (customised ablation) iaitu pembetulan ralat refraktif yang terkini dan terbukti dapat memberikan mutu penglihatan yang lebih baik terutamanya dalam keadaan persekitaran yang malap seperti pada waktu malam.

Prinsipnya adalah sama dengan LASIK biasa, tetapi dalam pembedahan cara ini aturcara komputer laser kornea mengambil kira ralat-ralat refraktif yang lebih kompleks yang sedia ada dan khusus dalam setiap individu (customised) supaya ralat-ralat ini juga dihapuskan. Jangkahasil Wavefront Lasik (customised ablation) memberikan kualiti penglihatan yang lebih baik dan sungguh memuaskan.

Hasil keputusan dari suatu kajian klinikal di Amerika Syarikat pembedahan LASIK ini menujukkan 100% pesakit memperoleh kemajuan penglihatan tanpa penggunaan kaca mata. Manakala 95% mencapai penglihatan 6/12 atau lebih baik tanpa penggunaan kaca mata. Dan 60-80% mencapai penglihatan 6/6 tanpa penggunaan kaca mata.

Matlamat pembedahan pembiasan adalah untuk mengurangkan kebergantungan pada kaca mata atau kanta lekap namum begitu ia tidak boleh memperbaiki daya penglihatan mata seseorang kerana walaupun ramai orang dapat mencapai penglihatan 6/6 tanpa kaca mata selepas pembedahan LASIK. Bagaimanapun sebilangan pesakit masih perlu memakai kaca mata untuk memandu pada waktu malam ataupun apabila membaca.

Seperti semua jenis pembedahan, sedikit risiko memang wujud. Doktor mata akan memberikan nasihat dan bimbingan. Pada keseluruhannya risiko adalah amat kecil dan hanya segelintir sahaja yang mempunyai mutu penglihatan yang kurang memuaskan selepas LASIK.

Dengan menggunakan teknologi terkini, dan juga rawatan daripada doktor terlatih, kemungkinan terjejasnya penglihatan selepas LASIK adalah amat tipis.
Top Email kepada kawan  Versi Cetakan