Oleh MD. ZAN SAARI
SUASANA di dalam pusat maklumat perang (CIC) kapal kruis USS Lake Erie itu sunyi sepi, semua mata tertumpu kepada paparan komputer masing-masing. Sesekali kedengaran suara kelasi di alat komunikasi kapal yang menghubungkan mereka dengan pelabuhan tentera Amerika di Hawaii yang menjadi pangkalan mereka.
Peluh jantan mengalir perlahan di dahi kapten kapal meskipun CIC tersebut dilengkapi dengan alat penyaman udara. Dia turut menggaru kepalanya yang tidak gatal, tanda resah. Matanya tidak berkedip memandang skrin komputer di hadapannya.
Suasana yang cukup tegang itu kemudiannya bertukar kepada gembira apabila anak-anak kapal bersorak girang kerana sebutir peluru berpandu yang dilepaskan mereka sebelum itu, tepat mengenai sasarannya, sebuah satelit kira-kira 250 kilometer daripada permukaan bumi.
Senario di atas bukannnya satu latihan atau kisah fiksyen yang kita lihat di panggung wayang, tetapi kejadian sebenar pada 21 Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) menembak satelit perisikan mereka yang rosak di angkasa.
Kejadian tersebut mendapat liputan meluas media antarabangsa hingga mencetuskan pergeseran pendapat antara AS dengan negara-negara kuasa besar lain seperti Rusia dan China.
AS mendakwa pihak mereka terpaksa berbuat demikian kerana satelit berkenaan mengancam keselamatan manusia sekiranya dibiarkan jatuh terhempas ke bumi.
Rusia bagaimanapun menegaskan ini hanya percubaan AS untuk menguji senjata anti satelit (ASAT) mereka, dan satelit yang rosak tersebut menyediakan mereka dengan platform ujian yang paling sesuai untuk tujuan berkenaan.
Menurut dakwaan berkenaan, sekiranya sistem persenjataan sekarang ternyata berkesan dan atau mampu ditingkatkan lagi keupayaannya, AS akan mempunyai sistem persenjataan ASAT yang cukup kredibel dan mampu digunakan pada bila-bila masa untuk menembak satelit negara-negara lain termasuk China dan India.
Tindakan AS itu juga dikhuatiri akn mencetuskan perlumbaan senjata ASAT antara kuasa-kuasa tentera dunia. AS juga dikatakan menembak satelit berkenaan untuk menghalang teknologi tersebut daripada jatuh ke pihak lain.
USA 193
Satelit tersebut yang dinamakan USA 193, ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu SM 3, telah dilancarkan pada 14 Disember 2006 di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg. Meskipun proses pelancaran ke orbit satelit tersebut berjalan lancar, ia rosak tidak lama selepas berada di angkasa lepas dan terputus hubungan dengan menara kawalan di bumi beberapa jam kemudian. Keputusan untuk menembaknya diambil AS tidak lama kemudian.
Ia kerana satelit pengintip berkenan dijangka akan terhempas ke bumi dalam masa beberapa minggu sekiranya ia tidak dimusnahkan. Bagaimanapun selepas hampir setahun, ia masih tidak terhempas seperti yang dijangka.
ALASAN
Pihak berkuasa AS menggunakan alasan satelit sebesar bas itu, perlu dimusnahkan kerana ia menggunakan hydrazine, sejenis campuran kimia merbahaya sebagai bahan bakarnya.
Pakar-pakar meramalkan ia akan mewujudkan awan toksik sebesar dua padang bola yang boleh mengancam kesihatan manusia, malah boleh menyebabkan kematian jika dihidu atau terkena secara terus kepada manusia.
Sekurang-kurangnya satu kes kematian dilaporkan akibat terhidu hydrazine dalam bentuk gas. Simptom lain yang dikenalpasti akibat terhidu bahan ini ialah keradangan pada paru-paru, pening kepada, sakit kepala, muntah-muntah dan iritasi kepada sistem pernafasan. Ia juga dikenalpasti untuk mendatangkan kerosakan teruk kepada sistem saraf tunjang.
Bagaimanpun, tindakan menembak satelit berkenaan turut mendapat bantahan dikalangan pakar-pakar aeroangkasa AS. Mereka mendakwa, hanya terdapat 3 peratus kemungkinan USA 193 akan terhempas di permukaan bumi kerana pengiraan trajektori menunjukkan, berdasarkan kedudukannya beberapa hari sebelum ia ditembak, ia akan jatuh ke laut.
Tambahan pula, pihak tentera laut sendiri tidak dapat memastikan dengan tepat kebarangkalian satelit itu akan dapat ditembak. Mereka mengangarkan, hanya terdapat 80 peratus kemungkinan USA 193 akan berjaya ditembak. Jika peluru berpandu SM3 tersebut gagal memusnahkan satelit berkenaan, maka kos operasi akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda berbanding ketika ini (US60 atau RM192 juta) untuk menembaknya sekali lagi.
Namun, aspek yang paling mendapat bantahan ialah kaedah bagaimana satelit itu akan dihapuskan. Peluru berpandu SM3 tersebut tidak akan meletupkan sasarannya itu, sebaliknya akan melanggarnya dengan kelajuan melampau dan menggunakan kuasa kinetik semata-mata untuk memusnahkannya.
Secara logik, sekiranya USA 193 akan terhempas ke permukaan bumi, ia sepatutnya akan terbakar akibat bergeser dengan molekul udara pada kelajuan yang amat tinggi. Dalam keadaan ini, suhu yang terhasil adalah amat tinggi dan memungkinkan tangki hydrazine satelit tersebut turut terbakar dan memusnahkan kandungannya.
Jika ia tidak terbakar dan sekadar tumpah sekalipun, hydrazine turut akan meruwap dan terbakar pada suhu tinggi berkenaan dan tidak memungkinkan pembentukan awan toksik seperti yang didakwa mereka.
Namun, tiada penjelasan diberikan oleh pakar-pakar AS baik dari pihak angkatan tentera mahupun saintis dari pentadbiran angkasa mereka.
Sekutu-sekutu AS seperti Britain, Perancis dan tentunya Israel ketika ini masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menyokong atau menentang tindakan AS itu.
LAIN-LAIN KES
Di sebalik semua kekalutan dan kebimbangan yang timbul, AS sebenarnya bukanlah satu-satunya negara yang menembak satelit di angkasa. Bagimanapun mereka telah melakukan ujian seumpama ini sejak 1950-an lagi. Mereka sebenarnya pernah turut menempelak China ketika negara tersebut menembak sebuah satelit cuaca, FY 1C tahun lepas dalam ujian ASAT.
Ujian berkenaan yang dilakukan pada 11 Januari 2007, tidak didedahkan kepada umum hingga hampir dua minggu kemudian (23 Januari) atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan, namun jelas ia bagi merahsiakan ujian itu kerana dikhuatiri akan menimbulkan rekasi panik lalu menjurus kepada perlumbaan senjata angkasa.
Kesatuan Eropah dalam reaksinya menyatakan, tindakan China itu dianggap sebagai tidak konsisten dengan persetujuan antarabangsa untuk tidak menggalakkan perlumbaan senjata angkasa lepas.
AS, Kanada, Australia dan Jepun juga turut menyatakan kebimbangan mereka berhubung perkara berkenaan yang mendapat liputan meluas media antarabangsa. Cable News Network (CNN), menyatakan ujian tersebut secara terang-terangan ditujukan kepada AS.
Dalam perkembangan ini, peperangan dan saling berbunuhan sesama manusia amat jelas dilarang dalam Islam. Ia sepatutnya dijadikan sebagai pilihan terakhir dalam sesuatu konflik sekiranya tiada cara lain yang boleh digunakan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Apabila dua orang Muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka?’ Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya.”
Bagaimanapun, Islam juga tidak menggalakkan penganutnya hanya berdiam diri sekiranya diancam keselamatan mereka oleh musuh-musuhnya.
Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu berharap untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka bertahanlah.”
NEGARA-NEGARA ISLAM
Buat masa ini, negara Islam yang terkehadapan dalam pembinaan senjata dan peralatan perang nampaknya ialah Iran dan Pakistan, meskipun kebanyakan teknologi buatan Pakistan dikatakan hanya kejuruteraan pembalikan (reverse engineering) daripada teknologi China dan Rusia.
Iran dalam hal ini dilihat agak jauh mendahului pembinaan senjata dikalangan negara-negara Islam serta mampu mengeksport produk-produk berkenaan ke beberapa buah negara termasuk anggota-anggota NATO.
Antara sistem persenjataan popular keluaran republik Islam ini ialah peluru berpandu anti kereta kebal Toophan, pesawat pejuang Saeqeh dan kereta kebal Zulfiqar. Pakistan turut mengeluarkan pesawat pejuang dan kereta kebalnya sendiri iaiatu JF 17 dan Al-Khalid.
Dalam bidang angkas lepas, Iran bukan sahaja sudah mampu melancarkan roket ke angkasa, malah mempunyai agensi angkasanya yang dibangunkannya sendiri, Iranian Space Agensy (ISA) yang lengkap dengan kemudahan pelancaran di Emamshahr di wilayah Semnan serta di Qom. Meskipun ianya masih belum setanding dengan apa yang dimiliki oleh AS dan Rusia, tetapi usaha keras sedang dijalankan bagi memajukannya. Pelancaran roket petama Iran, Kavoshgar-1 dilakukan pada 4 Februari lalu.
Bagi Malaysia, kita sudah pun memiliki beberap buah satelit, namun kesemuanya untuk tujuan penyiaran serta komunikasi, bukannya ketenteraan. Antara contoh satelit yang dimiliki negara ialah Measat, RazakSat dan Tiung Sat.
Kita juga masih bergantung kepada agensi angkasa luar untuk melancarkan roket pembawa satelit negara.
Bagaimanapun, Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang mempunyai sistem panduan khusus untuk penganut agama ini beribadat di angkasa. Panduan tersebut antaranya meliputi bagaimana untuk menentukan arah kiblat, berwuduk serta solat dalam keadaan tanpa graviti.
Untuk menjadi negara kuasa besar dalam penerokaan angkasa, masih terlalu banyak yang perlu dikejar Malaysia. Namun, sebagai antara negara Islam yang berpengalaman dalam bidang angkasa lepas, serta telah mempunyai angkasawan endiri, kita memiliki potensi besar untuk menerokai bidang baru ini.
Kerjasama dengan negara Islam lain, terutamanya Iran yang telah pun memiliki teknologi ini, wajar dijadikan pilihan sekiranya kita ingin terus menerokai industri ini.
|