ENGLISH | PETA LAMAN
 
 
 
 
> Rencana >> Tokoh  
Resolusi Multaqa Ulama Kebangsaan 2004
01 July 2004
Tema: “Menjana Ilmu Ke Arah Pembangunan Ummah”

Resolusi yang diputuskan pada Multaqa Ulama Kebangsaan 2004 di Hotel Pan Pacific, KLIA, Sepang pada 29 Jun hingga 1 Julai 2004 adalah seperti berikut:

KERTAS KERJA 1

1. Ulama adalah orang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu Islam.

2. Ulama perlu membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira kecenderungan pemikiran mereka. Mereka tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri dalam dunia keulamaan yang berasingan daripada realiti masyarakat.

3. Ulama dahulu matang dari segi rohani dan matang juga dari segi akal. Keadaan yang seimbang ini menyebabkan ulama zaman dahulu dihormati dan disanjung tinggi sehingga ke hari ini.

4. Tugas menyebar dan menjaga agama yang diutus melalui Nabi Muhammad s.a.w adalah tanggungjawab Khulafa Rasyidun selepas baginda wafat dan selepas itu ia menjadi tanggungjawab para ulama. Dengan itu para ulama yang disebut oleh Rasulullah sebagai pewaris para nabi itu mesti memikul tanggungjawab itu sehingga ke hari akhirat.

5. Ulama mempunyai pendekatan politik tersendiri dalam pemikiran Islam dan pendekatan itu dipanggil siasah ulama. Ia bermaksud politik atau polisi ulama. Siasah ulama ini mesti menuju ke arah menyatu-padukan ummah dan bukan memecah-belahkan mereka.

6. Siasah ulama merupakan kesinambungan kepada siasah Rasulullah s.a.w. dan siasah Khulafa Rasyidun. Dengan itu dalam melaksanakan pendekatan politik ini para ulama mesti mengambil contoh keperibadian Rasulullah dan Khulafa Rasyidun.

7. Ulama perlu menjadikan kitab Muqaddimah Ibn Khaldun sebagai rujukan baku (standard) mereka. Dalam kitab itu, Ibn Khaldun menjelaskan kesepaduan antara ulama dengan ilmuwan/saintis dan keserasian antara ilmu-ilmu syariah (agama) dengan ilmu-ilmu aqliah (dunia/rasional).

8. Ulama mesti mempunyai ilmu dan percakapan mereka selari dengan perbuatan mereka.

9. Ulama mesti sentiasa mengambil berat dalam ´menatarkan´ (mementingkan keseimbangan) diri dengan pelbagai bidang ilmu agama dan ilmu dunia.

10. Ulama juga mesti sentiasa mengambil berat tentang ilmu yang menyubur dan membersihkan batin dan hati.

11. Ulama mesti memberi perhatian kepada penghasilan ilmu yang berfaedah dan membukukan karya keilmuan mereka.

12. Ulama mesti tidak mengamalkan kehidupan mewah yang berlebih-lebihan. Sebaliknya mereka memadai setakat menjaga nama dan maruah mereka sahaja.

13. Ulama jika mendampingi pemerintah mesti dengan tujuan menjayakan seruan agama dan perkara itu mesti melakukan dengan ikhlas dan bukan kerana mahu mendapatkan ganjaran berupakan harta benda.

14. Ulama perlu menghormati perbezaan pendapat dan menyatakan perbezaan pendapat itu dengan cara lemah lembut dan penuh adab.


KERTAS KERJA 2

1. Ketiadaan usaha penyelidikan ilmiah telah menyebabkan umat Islam tidak mampu bergerak maju di dalam segenap bidang kehidupan. Oleh yang demikian, pihak kerajaan digesa memberikan insentif tertentu kepada para intelektual untuk menjalankan penyelidikan tertentu.

2. Isu dualisme ilmu dalam Islam bukanlah perkara baru, tetapi sebaliknya pernah disentuh dengan meluas dan mendalam oleh sarjana Islam silam, yang turut disertakan dengan kaedah terbaik untuk mengatasinya. Oleh sebab itu umat Islam perlu mengali segala pandangan sarjana silam ini dan disesuaikan pemakaiannya dengan realiti zaman moden ini.

3. Isu dualisme ilmu yang pernah ditimbulkan oleh Ismail Faruqi dengan konsep Islamization of Knowledge, yang menjuruskan kepada ilmu agama dan bukan agama, turut dikemukakan oleh peserta yang mahu ianya diberikan penekanan khusus oleh pihak kerajaan. Banyak daripada gagasan ini telah diterimapakai oleh pihak kerajaan sekarang, khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi, pentadbiran awam dan politik.

4. Isu agar umat Islam mengamalkan pendekatan selektif (pertengahan) terhadap semua warisan intelektual Barat khususnya yang memandang negatif terhadap unsur-unsur wahyu dan bergantung sepenuhnya kepada fungsi akal yang terbatas sifatnya. Begitu juga, elemen budaya ilmu yang positif yang diamalkan secara meluas oleh masyarakat Barat patut dipelajari oleh umat Islam.

5. Kepentingan menghidupkan agenda Islam Hadhari dilihat mampu membangunkan masyarakat Malaysia dari sudut pembangunan material dan spiritual. Apa yang lebih penting lagi, gagasan Islam Hadhari ini perlu dibuat dalam bentuk action oriented dan bukannya secara retorik semata-mata.

6. Timbul beberapa kritikan terhadap realiti kegawatan semasa di dalam negara akibat pengamalan falsafah pendidikan ala dualisme oleh pihak kerajaan, seperti isu ketiadaan pekerjaan untuk lulusan IPTA dan IPTS, sifat kurang ketrampilan diri di kalangan lulusan universiti dan sifat kejahilan ulama dengan keilmuan moden yang sangat diperlukan untuk menghadapi era globalisasi. Isu ini perlu diambil perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.

7. Pihak Kerajaan perlu memandang berat kepentingan keilmuan bukan teknikal seperti keilmuan sains sosial, termasuklah ilmu agama dalam agenda pembangunan negara. Hal ini boleh dibuat dengan menggubah dasar yang memasukkan bidang bukan teknikal (agama) sebagai salah satu bidang yang kritikal untuk mendapat pembiayaan dana untuk program pembangunan R&D negara. Seperti mana halnya ilmu teknikal dianggap penting untuk tujuan pembangunan material negara, ilmu-ilmu keagamaan juga penting untuk membangunkan potensi manusia Islam yang seimbang (JERI).

8. Agensi Islam di bawah kerajaan seperti YADIM dan JAKIM perlu mengembleng tenaga dan usaha untuk mengalakkan ataupun menaja penyelidikan berteraskan kesepaduan ilmu seperti konsep Islam Hadhari bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang maju dan mementingkan kehidupan dunia dan akhirat.

9. Menyokong dasar mewujudkan pengajian double major untuk IPTS dan IPTA, bagi mengabungkan antara keilmuan fardu ain dan kifayah. Hal ini juga dilihat bakal melahirkan lulusan yang kompeten antara kepentingan dunia dan akhirat. Salah satu daripada kaedah ini adalah dengan mengalakkan program integrasi antara ilmu Islam dan moden (S&T) yang telah dirancang penggunaannya oleh sesetengah IPTA dan IPTS di Malaysia. Begitu juga pelajar cemerlang daripada sekolah Agama patut diberi peluang untuk menceburi pengajian S&T dan perubatan.

10. Usaha penilaian semula terhadap kurikulum pengajian aliran Islam di IPTA dan IPTS perlu sentiasa dijalankan agar ianya seiring dengan gagasan integrasi ilmu Islam dengan ilmu moden.



KERTAS KERJA 3

1. Usaha penilaian semula terhadap kurikulum pengajian aliran Islam di IPTA dan IPTS perlu sentiasa dijalankan agar ianya seiring dengan gagasan integrasi ilmu Islam dengan ilmu moden.

2. Memberikan perspektif yang sebenar terhadap sejarah lalu berkaitan dengan perjuangan orang Melayu dalam konteks dunia moden hari ini, misalnya mengenai perjuangan Abdullah Munsyi sebagai pelopor yang telah mendahului zamannya.

3. Memartabat dan memperluaskan semula penggunaan tulisan jawi di kalangan generasi muda.

4. Memahami konsep nasionalisme di dalam konteks yang menyeluruh sebagai faktor yang menggabung dan menggerakkan kekuatan serta perjuangan orang Melayu Islam di Malaysia.

5. Kegiatan dan pendidikan dakwah di tanah air mestilah menyediakan orang Melayu menghadapi cabaran dunia global, bukan hanya terhad kepada aktiviti seperti ceramah dan syarahan.

6. Memperkasa jati diri agama dan bangsa Melayu haruslah menjadi agenda bersama untuk menghadapi cabaran dan persaingan era globalisasi.

7. Memperkukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu sebagai agenda penting yang menjadi pelengkap kepada kekuatan dan jati diri orang Melayu.

8. Resolusi yang terkandung di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan dibukukan semula untuk menjadi bahan rujukan kepada generasi muda yang ada pada hari ini, khususnya yang menyangkut kepentingan Islam dan kedudukan orang Melayu.

9. Mencadangkan kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Kawalan Adab dan Etika Nasional sebagai wadah bagi menangani isu-isu kebudayaan dan kesenian semasa yang semakin membimbangkan.

10. Jentera kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut dilibatkan dalam merangka dan mengisi modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).


KERTAS KERJA 4

1. Pendidikan Agama perlu mendapat perhatian khusus kerana ia berkaitan dengan persoalan iman dan usaha untuk menangani permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat..

2. Mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya permasalahan/persoalan tentang pembantu rumah yang banyak mendatangkan masalah diberikan perhatian yang sewajarnya.

3. Hubungan antara etnik yang ada dalam negara Malaysia perlu mendapat perhatian khusus, terutama antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain.

4. Perlunya satu pendekatan yang lebih efisien dalam menangani masalah pekerja asing di Malaysia supaya tidak menutup peluang-peluang masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia amnya.

5. Ahli persidangan berpendirian, ledakan informasi perlu ditapis atau disaring secara lebih berkesan oleh pihak kerajaan dan agensi terlibat. Ini bagi memastikan pengaruh budaya asing/kuning dapat dikawal daripada meruntuhkan jati diri bangsa Melayu, khususnya umat Islam sendiri.

6. Persidangan memutuskan, semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memperluaskan kegiatan-kegiatan secara aktif dan berkesan demi kepentingan ummah dan masyarakat.

7. Golongan ulama perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam isu menangani pengaruh budaya asing yang jelas tidak bersesuaian dengan landasan agama dan budaya. Jalan penyelesaian terbaik adalah melalui kesediaan intelektual agama untuk turut membantu memberikan cadangan dan kerjasama menangani masalah ini.

8. Golongan ulama perlu bersedia menggunakan pendekatan kesemasaan dalam menyelesaikan segala permasalahan yang melibatkan masyarakat. Pendekatan ini bermaksud meluaskan perspektif dengan meneliti dan mencari penyelesaian melalui pertimbangan tentang faktor-faktor semasa tanpa menafikan kepentingan pengalaman terdahulu yang tidak lari daripada al-Quran dan Hadis.

9. Ulama perlu mengubah persepsi masyarakat daripada menghafal dan membaca al-Quran sahaja kepada masyarakat yang memahami dan menghayati intipatinya. Semestinya penafsiran al-Quran pula sesuai dengan kesemasaan.

10. Peranan NGO perlu diperkasakan dengan lebih berkesan lagi dengan merangka pelbagai program yang sistematik.

11. Kursus Pra-Perkahwinan yang sedia ada perlu diperkemas dan diperkembangkan melalui penyelidikan yang menyeluruh sehingga mencapai tahap keberkesanan yang optimum.


KERTAS KERJA 5


1. Perlu ada gandingan dalam persoalan ilmu dan amal dalam konteks memahami dan berfikir secara strategik sesuatu teori dalam bentuk praktikal.
2. Perkembangan tamadun manusia perlu diterjemahkan melalui penterjemahan pemikiran yang tepat dengan mengambil kira keadaan dan suasana setempat.

3. Teori dan amali jika tidak diseimbangkan boleh membawa kepada kehancuran dan kerosakan. Ulama dan ilmuwan bertanggungjawab menyedarkan masyarakat akan hal tersebut.

4. Para ulama dan ilmuwan diseru supaya mencari jalan menyediakan suatu penyelesaian bersifat praktikal terhadap permasalahan ummah.

5. Wawasan pemikiran ulama Melayu silam, antaranya Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin wajar diterjemahkan ke dalam masyarakat kini.

6. Golongan ulama dan intelektual perlu berbicara dan bertindak tanpa mengikut telunjuk ideologi. Sebaliknya, berusaha mencari kebenaran demi kepentingan ummah.

7. Golongan ulama dan intelektual perlu memiliki daya iltizam yang kuat dalam menghadapi masalah kemunduran dan kelemahan umat Islam. Iltizam tersebut harus selari dengan pelan tindakan, kajian dan penyelidikan mendalam bagi menangani sesuatu masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

8. Ulama dan intelektual mesti memahami keperluan keutamaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

9. Keseimbangan hubungan antara ulama dengan pemerintah sewajarnya diperkukuhkan demi menghasilkan kesan positif dalam pembangunan negara.

10. Pemerintah memerlukan lebih banyak idea yang praktis. Hal ini memerlukan sumbangan para ulama dan intelektual bagi merealisasikan dasar-dasar kerajaan.

11. Pendekatan Islam Siasi (Islam Politics) perlu dihindarkan kerana ia berupaya kerana ia berupaya mewujudkan ketegangan dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, para ulama dan intelektual perlu mengambil pendirian mengatasi bicara ideologi dan menghindarkan pendapat yang dibayangi kefanatikan ideologi tersebut.

12. Untuk membumikan Islam Hadhari, tidak memadai dengan menjelaskan konsep atau membuat garis panduan umum. Konsep Islam Hadhari perlu difokuskan kepada matlamat yang spesifik bagi menentukan misinya yang jelas untuk dirancang secara teliti perlaksanaannya.

13. Islam Hadhari semestinya menjurus ke arah mencapai matlamat wawasan negara iaitu membangunkan negara sebagai negara maju berdasarkan acuan sendiri.


KERTAS KERJA 6

1. Menegakkan pemerintahan Islam adalah wajib kerana ia merupakan tugas dan tanggungjawab para Nabi dan Rasul bagi memelihara hal ehwal urusan kehidupan masyarakat.

2. Pemerintahan kerajaan Malaysia pada hari ini adalah sah mengikut hukum syarak dan wajib ditaati kerana ia telah memperolehi mandat kuasa dan persetujuan majoriti umat berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. serta penjelasan ulama.

3. Golongan ulama bertanggungjawab memastikan jemaah Muslim sentiasa berada pada jalan yang lurus dan benar untuk mencapai matlamat kebahagian di dunia dan akhirat.

4. Kerjasama dan gandingan ulama, umarak dan ummah adalah agenda penting di dalam siasah syariah di dalam membentuk jemaah orang Islam yang kuat.

5. ´Nasihat wajib´ menjadi kaedah utama di dalam hubungan kelompok ummah yang membentuk jemaah Muslim dalam rangka menjaga kepentingan agama dan kedaulatan ummah.


TAMBAHAN (Forum Khas)

1. Mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi insentif pengecualian cukai kepada cendekiawan luar dalam pelbagai bidang atau disiplin ilmu yang datang untuk berkhidmat di Malaysia, sepertimana yang diberikan kepada firma-firma atau pelabur-pelabur asing di negara ini. Langkah ini berpotensi menjana ilmu ke arah pembangunan ummah dan negara.

Disahkan oleh

DATUK HAJI MOHD NAKHAIE HAJI AHMAD
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Induk Multaqa Ulama Kebangsaan 2004

Hotel Pan Pacific KLIA, Sepang
1 Julai 2004
Top Email kepada kawan  Versi Cetakan