PETA LAMAN  
 
 
 
 
 
 > Rencana >> Wanita  
Muktamar MPWIM memartabat wanita Islam alam Melayu
Peranan wanita dalam pembangunan dunia sekarang tidak boleh disangkal oleh sesiapapun. Terlalu banyak sumbangan kaum Hawa ini dan sukar untuk dikupas satu persatu jika ingin dibincangkan semuanya.

Di negara ini sahaja sudah ada begitu ramai pejuang dan tokoh wanita yang sama-sama menyumbang kepada kemajuan negara seperti Roshidah Ishak yang dilantik sebagai Brigadier-Jeneral wanita pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Robiah Abd Ghani sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan banyak lagi, sekadar memberi contoh.

Golongan seperti ini bukan sahaja menjadi role model, malah sumbangan mereka dalam menjana kemajuan ummah dapat membantu mencorakkan pembangunan sesebuah negara serta rantau. Pengaruh dan peranan golongan ini sejak dahulu lagi tidak dinafikan telah mempengaruhi perjalanan sejarah yang akhirnya mencorakkan keadaan sesebuah negara.

Lihat saja Benazir Bhutto yang diangkat sebagai wanita besi dan Perdana Menteri Pakistan. Meskipun sudah meninggalkan kita akibat dibunuh kejam tidak lama dulu, perjuangannya mempengaruhi suasana politik negara tersebut dan para penyokong beliau masih meneruskan usahanya hingga kini.

Dalam pada itu, perubahan dunia yang amat pantas menyebabkan begitu banyak ancaman yang datang dan ditujukan, baik secara langsung mahupun tidak kepada golongan wanita Islam. Pengaruh, ideologi dan budaya barat yang kononnya memperjuangkan hak kesamarataan gender dan sebagainya, bukan sedikit mempengaruhi keadaan semasa di negara ini.

Justeru, perlu ada satu pergerakan wanita yang berusaha untuk memperbaiki keadaan ini atau sekurang-kurangnya menjadi pengimbang kepada perjuangan songsang barat yang menyesatkan itu. Di sini, pergerakan wanita Islam mempunyai peranan untuk mencorakkan kemajuan ummah Melayu khususnya di Malaysia dan alam Melayu serta secara amnya di peringkat antarabangsa.

Untuk menjadi pejuang kepada pergerakan ini bukannya mudah dan hanya mereka yang mempunyai jati diri yang unggul sahaja akan mampu memikul tanggungjawabnya. Atas kesedaran tersebut, Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertindak menganjurkan satu muktamar bagi menghimpunkan tokoh-tokoh wanita Islam di alam Melayu

Muktamar yang julung kali diadakan ini bertujuan

i. Mengumpulkan wanita daripada Rantau Asia Tenggara untuk berkenalan, bertukar fikiran, dan berbincang tentang isu dan masalah perjuangan wanita menghadapi cabaran abad ke-21.

ii. Mengenal pasti cabaran dan halangan-halangan mempertahankan jati diri wanita Islam dalam apa jua keadaan.

iii. Mencadangkan strategi, program dan aktiviti mempersiapsiagakan diri wanita agar menjamin kelangsungan diri di abad ke-21.

Menurut Pengerusi muktamar berkenaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dalam satu sidang media baru-baru ini, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan untuk merasmikan majlis berkenaan yang akan diadakan di Palace Of The Golden Horses.

Turut dijadualkan hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad.

Dijangka seramai 300 peserta termasuk dari negara Asia Tenggara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand selain para peserta dari negara ini akan menyertai muktamar itu nanti.

Katanya lagi, muktamar berkenaan antara lain akan membicarakan tentang cabaran semasa yang dihadapi oleh golongan wanita Islam serta sumbangan yang boleh diberikan mereka.

Empat kertas kerja akan dibentangkan pada muktamar ini iaitu

1: Emansipasi Wanita Dari Perspektif Islam Dan Barat

Pengerusi: Prof Madya Dr Raihanah Abdullah

Pembentang: Dr Saodah Ab Rahman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Hajah Ratu Atut Chosiyah, Gabenor Banten, Indonesia

2 : Perjuangan Gender Tajaan Barat dan Pengaruhnya ke atas hakisan Jati Diri Wanita Islam

Pengerusi:Prof Dr Rugayah Tibek (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM))/ Prof Dr Suhaila bt Mohamed (Universiti Putra Malaysia(UPM))

Pembentang: Prof Datin Dr Azizan Baharudin, Universiti Malaya
Hjh Zasia Sirin, Brunei
Pembentang dari Singapura yang akan ditentukan kemudian

3 : Gagasan Perjuangan Wanita Islam dalam Menghadapi Cabaran Abad ke -21

Pengerusi: Prof Madya Dr Mastura Badzis, UIAM

Pembentang: En Razif, ESQ, Malaysia
Hajah Hasnah Haji Omar , Brunei

4 : Hambatan Kemunduran dan Kemiskinan terhadap Nasib Wanita Islam Alam Melayu

Pengerusi: Prof Madya Dr Faridah Jalil, UKM

Pembentang: Prof Datin Dr Asmah Ahmad, UKM, Malaysia.
Dr Nur Diati Akmar, Indonesia
Pembentang dari Thailand yang akan ditentukan kemudian.


Sebelum pembentangan kertas kerja, ucap utama yang bertajuk Memperkasa Jati Diri Wanita Islam Alam Melayu akan disampaikan oleh Prof Dr Khalijah Mohd Salleh, manakala satu forum berjudul Gerakan Wanita Islam Alam Melayu Dalam Mencorak Kemajuan Masa Depan Ummah telah dijadualkan sebagai penutup muktamar ini.

Forum tersebut akan dipengerusikan oleh Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal manakala pembentang terdiri daripada Prof Madya Dr Harlina Hj Siraj, Ibu Neng Djubaidah, Universitas Indonesia serta masing-masing seorang pembentang dari Thailand dan Indonesia.

Program yang diadakan secara percuma ini terbuka kepada orang ramai dan mereka yang berminat untuk menyertainya boleh menghubungi MPWIM di talian 03-2274 6077/6089/6090.
Top Email kepada kawan  Versi Cetakan