PETA LAMAN  
 
 
 
 
 
   > Berita Tempatan >> Berita Penuh  
 
Biasiswa, insentif untuk qari, qariah, pelajar, sumbangan untuk NGO Islam
Sebahagian daripada peserta
Majlis Perdana Menteri Bersama
Ulama dan Umara

PUTRAJAYA – Selaras dengan konsep 1Malaysia yang mengutamakan pencapaian, kerajaan bakal memberikan insentif berupa wang tunai sebanyak RM2,000 secara tetap setiap bulan kepada qari dan qariah yang menjadi johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara tersebut di sini berkata, ia akan dimulakan Oktober tahun lalu sehingga ke akhir hayat mereka.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan seterusnya mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan harian," katanya pada Majlis Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara hari ini.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Mejar Jeneral Jamil Khir Baharom (B), merangkap yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Dalam pada itu menurut beliau, sepanjang penganjuran tilawah berkenaan, telah ramai qari dan qariah Malaysia yang menjadi johan dalam acara tersebut sekaligus mengharumkan nama negara, justeru katanya, amat wajar bagi kerajaan menghargai sumbangan mereka ini yang telah memahat nama negara di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk memberi sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini bagi melaksanakan aktiviti dakwah.

“Saya harap dengan sumbangan ini nanti, NGO akan dapat bersama-sama merealisasikan agenda nasional secara bersepadu. Namun nilainya dan siapa yang dapat akan diputuskan selepas saya berbincang dengan pihak yang berkenaan,” katanya.

Tidak ketinggalan ialah pemberian biasiswa Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (MDB) mulai tahun ini kepada para pelajar cemerlang lepasan Sekolah Menengah Agama (SMA) bagi menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Mesir.

“Kerajaan mengharapkan agar kita dapat melahirkan para doktor yang berintegriti, mampu menguasai al-Quran dan Sains serta mampu menjadi tokoh inovasi perubatan kepada masyarakat, “ kata beliau.




Top Email kepada kawan  Versi Cetakan