 |
Perdana Menteri ketika merasmikan Majlis Perdana
Menteri bersama Ulama dan Umara, turut kelihatan Senator
Datuk Seri Jamil Khir Baharom (B) (kanan)
|
PUTRAJAYA – Para ulama perlu mengikuti perkembangan semasa serta memahami secara mendalam isu-isu semasa agar dapat menyumbang dalam pelbagai bentuk untuk masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka perlu pantas mentransformasi selain memahami secara mendalam terminologi yang berkaitan politik antarabangsa, serantau dan peringkat nasional seperti globalisasi, neo-kolonialisme atau imperialisme dan skala pengaruh gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik serta ekonomi umat.
Katanya lagi, tanpa kefahaman yang mendalam dalam perkara yang disebutkan itu, ia akan menyebabkan segala usaha menghadapi cabaran dunia ketika ini menjadi sukar dan kurang berkesan.
``Untuk itu, warga ulama wajar menjadi warga dunia yang serba informatif, paling hampir dengan sumber maklumat terkini serta menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir," kata beliau ketika merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom (B) yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Dalam pada itu Najib memberikan contoh, bagaimana para ulama boleh memberikan idea atau menyumbang untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, institusi zakat jelas beliau, boleh ditransformasi dengan memperkasakan sistem kutipan supaya lebih aktif, efisien dan holistik di setiap negeri.
Tambahnya, jika hasil kutipan lebih tinggi, ia akan membantu meningkatkan kuantiti bantuan terhadap pelajar miskin, warga tua yang tiada pendapatan tetap dan orang kurang upaya yang tidak berkemampuan, mendapat kehidupan yang lebih sempurna dan selesa.
Manakala dalam konteks menangani krisis ekonomi global pula jelas beliau, para ulama wajar duduk semeja untuk memberi pandangan dan merumuskan dasar-dasar ekonomi yang lebih adil, Islamik dan melindungi nilai-nilai moral kemanusiaan.
``Para ulama juga hendaklah bersikap proaktif untuk mengukuhkan budaya murni serta harmoni dalam lapangan politik, ekonomi, teknologi, informasi dan lain-lain demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan luar negara," ujarnya.
|