PUTRAJAYA – Cadangan supaya pihak kerajaan meletakkan kerjasama antara ulama dan umara di peringkat yang lebih serius dengan menubuhkan Lembaga Ulama Malaysia adalah agenda yang strategik dan dinamik untuk jangka masa depan negara.
Cadangan itu disuarakan oleh Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.
Beliau berkata, agenda kerjasama ini perlu dianggap sebagai keutamaan di peringkat tinggi agar ia dapat lahir dalam bentuk yang lebih formal dan konkrit, tidak hanya sekadar pengucapan retorika dan simbolik sahaja.
“Wujudnya sebuah badan rasmi yang mewakili ulamak untuk bekerjasama dengan kerajaan diharapkan dapat menasihati dan memberi pandangan dalam sesuatu isu negara dari sudut keagamaan serta menjalankan tugas dan aktiviti yang dipersetujui bersama,” katanya.
Beliau berkata dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom (B), ketua-ketua agensi agama, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta kira-kira 1,000 tetamu termasuk mufti, ulama terkemuka negara, ahli agama dan pegawai kerajaan.
|