 |
Datuk Aziz Jamaludin ketika menyampaikan ucaptama
|
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir berkata, umat Islam di Malaysia wajar menghayati 10 wasiat yang ditinggalkan oleh tokoh intelektual muslim, Hasan al-Banna kerana meliputi pelbagai sudut dalam kehidupan manusia.
Beliau berkata, wasiat yang ditinggalkan oleh Hasan al-Banna itu juga bukan sahaja masih relevan dengan keadaan sekarang tetapi juga amat sesuai dengan situasi umat Islam di negara ini yang menghadapi pelbagai cabaran.
``Ini kerana wasiat itu bukan sahaja relevan dalam pembentukan peribadi muslim tetapi juga boleh membawa kebaikan dari segi perpaduan ummah kerana ia juga berkaitan dengan cara-cara mentadbir sebuah negara mengikut landasan agama.
``Dengan sebab itu, ia amat relevan dengan umat Islam di Malaysia serta dunia Islam sekarang yang menghadapi masalah jati diri di kalangan masyarakatnya serta perpecahan akibat sikap-sikap negatif sesetengah pihak, katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Gerakan Dakwah Dan Cabaran Semasa peringkat kebangsaan.
Beliau berkata, pemikiran Hasan al-Banna , boleh membantu individu muslim menjadi seorang penganut yang lebih baik kerana ia amat menekankan kepada pengabdian seseorang itu kepada ibadah sambil mengelakkan perbuatan yang sia-sia seperti suka bertengkar,membuang masa, suka ketawa dan sebagainya.
Katanya, Hasan al-Banna juga berpesan kepada umat Islam supaya menjaga solat dengan menyegerakan ibadat itu, banyak membaca dan mencari ilmu, berusaha belajar bahasa Arab, menggunakan masa dengan bijaksana dan menjaga perhubungan sesama manusia.
``Apa yang ditinggalkan oleh Hasan al-Banna ini jelas sekali boleh digunakan dalam masyarakat hari ini terutama dalam konteks Malaysia dan wajar dihayati oleh semua pihak sama ada anggota masyarakat, ahli politik dan sebagainya, katanya.
Sementara itu, seminar yang diadakan itu membawa tema Tribulasi dan Mehnah Membina Kematangan Dakwah dengan membawa subtopik-subtopik seperti gerakan Islam, tokoh-tokoh gerakan Islam, isu semasa dakwah, pendidikan Islam dan kajian sosial.
Program ini diadakan dengan kerjasama di antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Selain ucaptama, turut diadakan adalah sesi diskusi serta pembentangan kertas-kertas kerja. Sebanyak tujuh kertas kerja dibentangkan pada sesi sebelah petang termasuk oleh Naib Yang Dipertua (Sektor Operasi) YADIM, Dato Shamsul Najmi Shamsuddin.
|