PASIR PUTEH, 28 Februari - Kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM24 juta bagi membina kompleks Islam berteraskan Islam Hadhari yang paling moden di Pasir Puteh di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan, Datuk Che Min Che Ahmad berkata kompleks itu akan dilengkapi masjid, asrama anak yatim, dewan syarahan, kelas tafsir al-Quran (teranun) dan kelas Teknologi Maklumat (ICT).
"Pembinaan mengenainya akan dilaksanakan sebaik kerajaan BN memerintah Kelantan," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri aruah di Perumahan Bukit Gedombak di sini, malam tadi.
Beliau yang menang di kerusi Parlimen Pasir Puteh pada pilihan raya umum 2004, berkata kompleks berkenaan akan turut dilengkapi bilik bacaan, dewan syarahan dan lanskap menarik.
Kompleks yang bakal dibina di atas tanas seluas satu hektar di Kampung Tok Nik, bersebelahan Sekolah Kebangsaan Seri Aman itu, mampu menampung 3,000 peserta dalam satu masa, katanya.
Datuk Che Min berkata selain itu, kerajaan pusat juga akan membaikpulih lebih 100 masjid yang tidak diurus dengan sempurna di seluruh Pasir Puteh.
"Elaun imam, bilal dan tok siak juga akan dinaikkan jika rakyat Kelantan memberi mandat kepada kerajaan BN membentuk kerajaan negeri," kata beliau.
Pada pilihan raya umum 8 Mac ini, Datuk Che Min akan ditentang calon PAS Drs Zainuddin Awang Hamat, yang merupakan penyandang kerusi DUN itu.
|