Home » 404 - Page Not Found

Majlis Ilmu Madani digerakkan di Kementerian, Jabatan Kerajaan – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

PUTRAJAYA: Majlis ilmu MADANI akan terus digerakkan di semua kementerian dan jabatan kerajaan bagi menyemarakkan budaya ilmu dalam masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata majlis yang akan diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) itu penting kerana merupakan satu daripada agenda kerajaan untuk membina negara yang menjulang tinggi nilai-nilai keilmuan dan akhlak.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengimarahkan majlis ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini yang jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menyemarakkan budaya ilmu.

“Kita dapat melihat dalam majlis ilmu MADANI, tokoh-tokoh terkemuka dalam pelbagai disiplin ilmu telah memberikan syarahan dan perkongsian. Ini adalah pembudayaan ilmu yang digerakkan sendiri oleh Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama.

Majlis ilmu MADANI diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri iaitu Kompleks Seri Perdana di sini, sejak Anwar memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov 2022 dan majlis seumpama itu, kini turut diadakan di seluruh negara.

Majlis berkenaan menampilkan tokoh serta ilmuan Islam terkenal seluruh dunia antaranya Presiden Institut Maqasid Global Prof Dr Jasser Auda, pemuzik tersohor British Yusuf Islam (sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens) dan Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani, ulama asal Gambia.

Majlis ilmu itu boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi Perdana Menteri.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata beliau sendiri telah menyahut seruan Perdana Menteri dengan melaksanakan majlis ilmu di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama).

“Setiap agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) menganjurkan MADANI bersama masyarakat. Ini adalah usaha kita untuk memasyarakatkan ilmu,” katanya. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI