Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memperjuangkan dakwah Islamiah
berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta melaksanakan dakwah secara progresif
kepada seluruh lapisan masyarakat. YADIM ialah organisasi yang bertunjangkan
ilmu, dakwah, tauhid dan kebajikan serta memilih untuk mengambil sikap terbuka
dan sederhana, selain berpegang teguh pada prinsip Islam, kesepaduan ilmu, iman
dan amal dalam rangka penyampaian dakwah serta pembangunan modal insan.
YADIM ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menyelaras dan menyatukan badanbadan
dakwah serta membantu badan-badan dakwah ini agar berperanan secara
membina untuk pembangunan umat dan meningkatkan kefahaman dan kesedaran
Islam supaya masyarakat Islam memainkan peranan aktif dalam proses kemajuan
dan pembangunan bangsa dan negara.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru (berdakwah) kepada
kebaikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat
demikian ialah orang-orang yang berjaya”.
(Maksud Ayat 104: Surah Al-I’mran)
Sejak ditubuhkan, YADIM mengalami perubahan dan perkembangan dasar serta
pendekatan, sesuai dengan peredaran masa tanpa mengubah tujuan dan matlamat
asalnya. YADIM akan terus menggerakkan kegiatan dakwah dan kemasyarakatan
dengan penuh keyakinan bagi mencapai visi dan misi sesuai dengan tuntutan syarak,
di samping bersedia menghadapi cabaran-cabaran globalisasi yang semakin hebat.
Firman Allah Taala yang bermaksud: “ Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka
dengan cara yang lebih baik ….. “.
(Maksud Ayat 125: Surah Al-Nahl)
