Suhakam anjur Anugerah Hak Asasi Manusia Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menganjurkan Anugerah Hak Asasi Malaysia, yang akan dijadikan acara tahunan, sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia pada 10 Disember ini.

Anugerah itu diberi bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang individu serta kumpulan di Malaysia dalam bidang penggalakan dan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Suhakam mempelawa pencalonan yang terbuka kepada semua warga Malaysia dan boleh dibuat bagi individu atau pertubuhan.

Calon bagi anugerah berkenaan bersaing dalam tiga kategori berlainan iaitu Anugerah Komuniti (Individu), Anugerah Komuniti (Pertubuhan) dan Anugerah Media.

Pencalonan akan ditutup pada 1 Nov untuk diadili dan pemenang akan menerima anugerah mereka dalam majlis jamuan tengah hari, yang akan berlangsung pada 10 Dis di Kuala Lumpur.

Borang pencalonan boleh dimuat turun dari laman web www.suhakam.org.my atau dengan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi Korporat untuk mendapatkan maklumat lanjut. -

 

  Versi Cetakan