Manhaj Malizie Yadim di Dublin
Pendekatan atau manhaj di Mesir dan Pakistan umpamanya tidak sama dengan apa yang ada di Malaysia kerana kalau ditinjau dari sesi sejarah, budaya dan situasi sosioekonomi tidak sama.
“Dakwah melalui pendekatan Malaysia atau Manhaj Malizie amat perlu kerana orientasi masyarakat kita yang berbilang kaum, kebebasan yang ada dan pengaruh Islam dalam sistem Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru pendekatan dakwah Manhaj Malizie diketengahkan kepada masyarakat Islam di Dublin agar kesinambungan dakwah berterusan dapat dilaksanakan dengan konsisten dan mampu memberikan ilmu yang berguna untuk diamalkan,” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir.
Semasa berucap pada Seminar Kepimpinan Profesional Muslim 1Malaysia dalam Program Pengantarabangsaan Dakwah Yadim 1Malaysia ke Dublin, di Malaysia Hall, Sabtu lalu, beliau menjelaskan pendekatan dakwah Yadim kepada pelajar adalah untuk menerangkan betapa pentingnya ikatan persaudaraan, kesejahteraan dan kasih sayang.
Ini kerana, kata beliau, pelajar ialah golongan penting yang akan memikul tanggungjawab memimpin negara akan datang.
Dalam fahaman pada konsep wasatiyah atau kesederhanaan, Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Rali Naam ketika merasmikan seminar itu meminta agar pelajar tidak salah faham mengenai istilah wasatiyah.
‘‘Jangan belajar pun wasatiyah atau sederhana. Tak boleh!” kata Ramli yang menjelaskan bahawa kerajaan membelanjakan 43 juta Euro atau RM172 juta setahun untuk pelajar di Ireland.
Seminar berkenaan adalah kemuncak aktiviti dakwah yayasan Islam ini melalui pendekatan versatile secara percambahan minda dan mendapatkan maklum balas daripada pelajar yang kebanyakannya bidang perubatan.
Dalam pada itu, ceramah yang bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Golongan Profesional Muslim daripada Pandangan Islam oleh Naib Yang Dipertua Yadim, Datuk Shamsul Najmi yang dibuat secara soal jawab turut menarik perhatian pelajar. Mereka ingin tahu apa perkhidmatan yang boleh disumbangkan apabila pulang ke tanah air.
Maka dijelaskan oleh Shamsul, misalnya mereka boleh menyertai aktiviti e Falah atau Sahabat Yadim untuk menabur bakti kepada masyarakat Orang Asli atau penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak.
Sebelum itu, ceramah 1Malaysia daripada Perspektif Islam oleh Kapt. (B) Dr. Shamsudin Moner, menjelaskan lagi fakta dan maklumat yang tepat mengenai dasar-dasar kerajaan terutama konsep Gagasan 1Malaysia kepada pelajar di Dublin.
Pengerusi Kelab UMNO Dublin, Awang Mohd. Ridhwan Mohd. Noordin berpendapat kehadiran Yadim dapat menunjukkan kepada rakyat di Malaysia yang pelajar Malaysia tetap bersatu.
Pelajar tahun empat bidang perubatan University College Dublin ini menjelaskan bahawa mereka tidak mahu ketinggalan menyertai seminar itu.
‘‘Walaupun jarak 30 kilometer pun kami akan pergi. Dengan cara ini kita dapat tunjukkan kita kuat dan bersatu sebagaimana kata penceramah Yadim,’’ katanya.
Naib Presiden Malaysian Society Royal College of Surgeons in Ireland, Mohd. Faheem Md. Yed pula kelihatan ceria sepanjang dua sesi pertemuan dengan delegasi Yadim.
Katanya, ceramah seumpama itu dapat membimbing dirinya menjadi doktor yang sedar terhadap tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Kekaburan Faheem sewaktu melakukan praktikal di hospital di Malaysia mengenai sesetengah umat Islam apabila terlantar di hospital maka mereka tidak bersembahyang kini terjawab.
Caranya, adalah tayamum. Yadim menjalankan kursus cara mengambil tayamum kepada jururawat di beberapa hospital di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun pelajar tahun tiga (RCSI) tajaan Mara ini berasa terkilan kerana ada pelajar junior tidak mendapatkan bimbingan senior untuk membantu mereka dalam budaya belajar dan menjalani kehadiran di perantauan.
“Waktu belajar dan cuti lawatan tidak diimbangi dengan betul hingga menjejaskan keputusan peperiksaan awal mereka,” kata Faheem.
Pelajar tahun dua RCSI, Noor Azira Safie pula berpandangan kini mereka yang hadir dapat memahami peranan dan misi Yadim.
“Saya tertarik dengan aktiviti Yadim bersama masyarakat Orang Asli. Mungkin satu hari saya berpeluang menyertainya,’’ katanya.
Beberapa isu mengenai integriti, rasuah, kahwin muda, murtad turut dibangkitkan oleh pelajar.
Atase Pendidikan di Dublin, Kamarolzaman Abdul Rahman pula memberitahu, seramai 38 peserta yang hadir seminar tersebut adalah mereka yang terpilih.
Beliau berharap mereka yang terpilih mendapat maklumat tepat melalui ceramah dan perbincangan. Kini mereka memahami peranan dan tanggungjawab Yadim.
Program Yadim ini merupakan kali kedua di Dublin. Barangkali jika program dakwah ini diteruskan, Adalah baik jika ia dilaksanakan di Belfast, Ireland Utara.
Sebagaimana kata Kamarolzaman agar Yadim meletakkan program lawatan ke Pusat Islam Bealfast dan pelajar di sana dalam kalendar tahun 2013.
Program Pengantarabangsaan Dakwah Yadim 1Malaysia berjaya mencapai hajatnya kerana mendapat bantuan dan kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Duta Malaysia ke Ireland, pihak pengurusan Education Malaysia di Ireland serta wakil Yadim di Dublin, Mohamad Ammar Abdullah.
