Istighasah Al-Kubra : Mohon Kesejahteraan Ummah

Majlis Istighisah Al-Kubra yang mengambil idea daripada majlis yang sama di Pekanbaru, Riau telah berjaya dilaksanakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 19 Mei 2012 yang lalu. Majlis ini merupakan anjuran Yadim dan Masjid Wilayah Persekutuan dengan kerjasama NGO-NGO Islam.
Program yang bertemakan “Memohon Keamanan dan Kesejahteraan Ummah” telah disertai lebih kurang 2,000 orang peserta yang datang dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Pelaksananaan Istighathah dilakukan dengan berzikir, berwirid dan berdoa bagi mengelakkan negara dan rakyat daripada ditimpa bala dan bencana. Di samping memohon diperkukuhkan ukhuwwah sesama Islam serta merasai kekuatan umat Islam dalam menjaga keamanan negara Malaysia menerusi kekuatan akidah.
Datuk Dr Aziz Jamaludin bin Hj Mhd Tahir, Yang Dipertua Yadim berkata, “Melihatkan kepada perpaduan sesama Islam di negara ini yang semakin terhakis, Yadim merasakan tepat pada masanya untuk menganjurkan program seperti ini.”
“Yadim turut menerima jemputan daripada kerajaan negeri untuk mengadakan Istighisah Al-Kubra di negeri masing-masing.” Ujar beliau lagi.
Majlis yang julung kali diadakan pada pagi Sabtu lalu itu, dimulakan dengan qiamullail, solat Subuh dan seterusnya istighasah di Laman Hidayah, Masjid Wilayah Persekutuan. Majlis qiamullail dipimpin oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Sheikh Abdul Karim Umar Al-Makki.
