Mandi Wajib

13 August 2012

Bilakah diwajibkan mandi ke atas perempuan- perempuan yang berhaid, naqo’, nifas dan wiladah?
Diwajibkan mandi ke atas perempuan- perempuan tersebut selepas berhentinya (terputus) darah dan apabila mereka ingin menunaikan sembahyang atau melakukan ibadat- ibadat yang seumpamanya.
Menurut Imam Qolyubi rah. : Disyaratkan wajib mandi dengan sembahyang itu ialah dengan syarat bersegera.

Kafiat mandi wajib

Mandi wajib mempunyai 3 rukun:-
Pertama : Niat
Sunat melafazkan niat mandi wajib dengan lidah tetapi wajib menghadirkannya di dalam hati. Wanita yang berhaid hendaklah berniat ‘sahaja aku mengangkat hadas haid” dan wanita yang bernifas hendaklah berniat ” sahaja aku mengangkat hadas nifas.”
Diharuskan (dibolehkan) juga bagi mereka berniat dengan salah satu daripada niat – niat tersebut iaitu samada untuk mengangkat haid atau nifas atau naqo’ atau wiladah.

Keterangan
1. Tidak memadai bagi seseorang perempuan yang ingin mandi wajib bahawa dia berniat mandi semata- mata.

2. Wajib disertakan niat pada permulaan basuhan bagi mana-mana anggota badan supaya basuhan tersebut dikira (tanpa wajib diulangi basuhannya) tetapi jika disertakan niat selepas membasuh sebahagian daripada muka (misalnya), maka wajib mengulangi basuhan pada bahagian tersebut.

Kedua : Menghilangkan najis iaitu najis yang terdapat pada badan menurut pendapat yang dirajihkan oleh Iman Ar- Rafi’e rah.

Ketiga : Menyampaikan air ke seluruh bulu dan kulit iaitu mengalirkan air ke seluruh kawasan kulit, bulu, kuku bahagian yang terbuka daripada tubuh badan seperti pecahan atau rekahan kulit kaki, kawasan – kawasan kulit yang terlipat pada badan, bahagian dalam lubang pusat, bahagian yang zahir daripada lubang telinga, lipatan-lipatan pada kedua-dua belah telinga, kemaluan anak dara dan apa yang zahir daripada kemaluan janda ketika dia duduk qadha’ hajat yakni duduk bertinggung. Begitu juga, wajib meratakan air pada kesemua bulu yang zahir dan yang batin (tersembunyi) walaupun tebal.

Keterangan

1. Tidak wajib membasuh bulu yang tumbuh di dalam mata dan hidung walaupun zahir kerana ia merupakan anggota batin yang tidak perlu dibasuh, tetapi jika bulu tersebut terkena najis, maka wajib membasuhnya kerana melihat kepada keras dan ketatnya hukuman najis.

2. Rambut yang bersanggul dan yang dijalin wajib diuraikan (dilepaskan) jika air tidak dapat sampai ke kulit kepala.

3. Bahagian dalam bulu yang tersimpul dengan sendirinya adalah dimaafkan walaupun banyak.

4. Wajib membasuh bahagian yang zahir daripada dua lubang telinga, hidung yang terpotong dan bahagian badan yang pecah atau merekah seperti rekahan yang terdapat pada kulit kaki.

5. Wajib membasuh lingkaran lubang dubur (masrabah) kerana ia merupakan anggota yang zahir ketika qadha’ hajat dan hendaklah dikembangkan sedikit supaya air dapat sampai kepadanya.

 

  Versi Cetakan