Felix Mampu Bangkitkan Semangat Juang Muhammad Al-Fatih

20 June 2012
Ketika bersantai di sebuah sudut PWTC, saya membelek-belekkan buku yang baharu siap dicetak setelah dialihbahasakan dari bahasa Indonesia oleh tuan punya syarikat penerbitan, Alam Raya Enterprise, saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang istemewa kerana beberapa buku mengenai kisah kepahlawanan Muhamad Al-Fateh telah banyak saya ketahui. Boleh dikatakan sosok peribadi seorang adiwira Islam itu telah lama saya ketahui melalui bahan sejarah, kerana kita boleh menemuinya apabila mengkaji mengenai sejarah Perang Salib.
Sebelum itu, saya juga pernah membaca beberapa buku yang dijadikan novel sejarah, termasuk sebuah buku yang ditulis oleh Roger Crowley dan diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan tajuk 1453:Detik-Detik Jatuhnya Konstantinopel ke Tangan Muslim mahupun Abdul Latif Talib, Muhammad al-Fateh yang diterbitkan oleh PTS. Buku yang ditulis oleh Roger Crowley mendapat pujian masyarakat antarabangsa dan ulasan yang menarik daripada pelbagai media sebagai suatu penceritaan yang hidup, menarik dan memikat.
Bagaimanapun, setelah membaca beberapa halaman ketika bersantai itu, saya mula “jatuh cinta” dengan buku yang baharu diterbitkan oleh Alam Raya Enterprise, iaitu Muhammad al-Fatih: 1453, sehinggakan sepanjang malam sebaik sahaja tiba di rumah, saya meneruskan bacaannya sehingga selesai. Tidak sedikit pun hati saya rasa kesal menelaah novel sejarah ynag penuh motivasi, Felix Y Siuaw berjaya mencuri emosi pembacaan saya sehingga beberapa buku lain yang sama-sama saya belikan ketika di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur awal Mei lalu ditinggalkan buat sementara waktu.
Kesan pertama yang saya peroleh daripada gaya penulisan yang penuh bermotivasi ini ialah bagaimana kepintaran seorang adiwira yang ketika itu berumur 21 tahun boleh menandingi kepahlawanan beberapa orang adiwira bukan Islam dalam peta sejarah keperwiraan. Kehebatan Muhammad al-Fatih boleh mengatasi strategi perang yang dilaksanakan oleh Alexander the Great atau Iskandar Zulkarnain dari Macedonia, Napoleon Bonarpatre, Richard the Lionheart ataupun sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam sejarah pahlawan dunia yang perkasa. Oleh kerana Muhammad al-Fatih itu lahir dan matinya sebagai seorang pahlawan Islam, maka ceritanya tidaklah diangkat menjadi adiwira dunia sebagaimana Alexander, Napoleon mahupun Richard.
Perspektif sejarah sedemikian telah menyebabkan ramai anak-anak muda muslim tidak kenal siapakah Muhammad al-Fateh, sedangkan beliau merupakan pahlawan terbilang yang mampu mengembalikan semula kota Konstantinopole sebagai kota penting dalam sejarah Islam selepas dua kota suci, iaitu Mekah dan Madinah. Kemasyhuran Konstantinopole ialah kerana kota itu merupakan benteng utama pertahanan empayar Islam di sebelah timur, dan sentiasa menerima ancaman daripada pelbagai penjuru untuk menerobos masuk ke persekitaran empayar Islam di Timur Tengah.
Buku ini mengambil sosok peribadi Sultan Mehmed II atau lebih dikenali sebagai Muhammad al-Fatih dan berkisar kepada peristiwa penaklukan Konstantinopel atau Istanbul pada tahun 1453. Pada pendapat saya, Felix Y Siauw, seorang pendakwah muda yang memilih Islam (muallaf) sejak sembilan tahun lalu terilham dengan sabda Rasullullah SAW pada kurun ke 7 untuk menulis buku ini.
Apa yang menariknya, sabda itu kemudiannya menjadi sesuatu yang begitu realistik pada abad ke-15, dan menggambarkan betapa Islam itu sentiasa memandang ke depan dan sentiasa menemukan jalan terbaik untuk membebaskan kehidupan manusia yang terbelenggu dengan pelbagai kerumitan. “Sesungguhnya, Konstantinopel akan ditaklukkan oleh kalian. Maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik pasukan adalah pasukan yang menaklukkannya,” (hadis riwayat Imam Ahmad).
Konstantinopel merupakan sebuah kota yang dijanjikan kepada kaum muslim dan penguasaan ke atasnya menjadi sesuatu yang bersifat obsesi yang maha berat. Sejak sabda tersebut dinyatakan, ia mengambil masa selama lapan abad untuk menjadi kenyataan, tepatnya pada 29 Mei 1453, iaitu sudah menjadi kenyataan 559 tahun yang lalu.
Konstantinopel merupakan sebuah imperium yang besar di mana setiap bangsa yang berhasrat memperluaskan koloninya di bahagian perlu terlebih dahulu menaklukinya. Dengan gabungan kehandalan strategi, kemantapan perancangan dan semangat yang luar biasa, Muhammad al-Fatih telah membuktikan bahawa tidak ada perkara yang mustahil yang tidak boleh dilakukan, meskipun dari ukuran pengalaman beliau hanyalah berusia 21 tahun ketika itu.
Kesan kedua yang dapat saya gambarkan ialah bagaimana generasi muslim Malaysia ketika ini terutamanya yang berusia 21 tahun. Apakah mereka mewarisi semangat yang kental untuk mempertahankan Islam ataupun sebahagiannya telah tersasar jauh daripada nilai-nilai Islam?
Secara moralnya, emosi saya memberikan pengakuan, bagaimana ramainya anak muda Melayu-Islam begitu mengendahkan rusuhan jalanan yang turut berlaku pada hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, dan kenapakah mereka tidak berminat untuk membuat kajian lebih baik bagaimana menyusun strategi untuk hidup yang lebih baik dan berhemah.
Buku ini sangat banyak motivasi yang boleh kita timba daripada pengalaman sejarah Muhammad al-Fatih, dan terasa masih banyak lagi perlu disambungkan penceritaannya oleh Felix Y Siauw dengan menggunakan perspektif psikologi.
Bahkan saya lebih berpihak kepada Felix Y Siauw berbanding Roger Crowley walaupun setahun lalu saya memberikan banyak penghargaan kepada penulis yang dilahirkan di Britain dan lulusan Universiti Cambridge. Crowley memahami sejarah Istanbul kerana pernah tinggal di sana dan amat berminat dengan sejarah Turki.
Bagaimanapun, Felix yang berkelulusan dalam bidang pertanian di Institut Pertanian Bogor, tidak kalah dengan gaya bercerita yang lebih baik daripada apa yang digarap oleh Crowley. Felix berjaya menaikkan semangat dan membangkitkan emosi, sebenarnya Islam tidak kurang sejarah pahlawan dan adiwira, cuma tidak banyak kajian, penulisan dan pengkisahan mereka dijadikan bahan bacaan yang sesuai dengan selera semasa.
Menarik sekali tulisan Felix ialah buku setebal 318 halaman ini terasa begitu cepat berlaku, sehingga sebenarnya saya terlupa pada malam itu saya sepatutnya menyambung penulisan mengenai aliran pemikiran politik Islam zaman pertengahan, yakni kajian ringkas saya terhadap Imam al-Ghazali. Gaya bahasanya begitu segar, bahkan sepanjang 17 bab kesemuanya, saya ikut terbuai-buai dengan kebolehan Felix bercerita dan menjadikan setiap perkataan terasa begitu bermakna.
Seperti ditulis oleh Felix dalam epilognya, “ketika ada yang bertanya kepada saya, sikap apakah yang paling menonjol pada Mehmed Al-Fatih, saya segera menjawab:see beyond the eye can see”, Melihat lebih daripada yang boleh dilihat oleh mata kasar. Lebih jauh lagi, bahkan saya katakan ini adalah sikap mental yang berkait dengan inti ajaran Islam, akidah Islam. Sebahagian besar perkara keimanan di dalam Islam tidak dapat dilihat oleh mata dalam meyakininya menuntut seseorang untuk boleh melihat lebih dari mata. Kwujudan Allah, Malaikat, Hari Kiamat, Syurga dan Neraka dan perkara-perkara lain yang tak kasat mata kasar”(halaman 290).
Istanbul dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel didirikan pada tahun 330 oleh kesultanan Byzantium, iaitu Raja Konstantine I. Disebabkan oleh kedudukannya yang strategik Napoleon Bonaparte menilainya sebagai “….kalaulah dunia ini adalah sebuah negara, maka Kostantinopel adalah yang paling layak menjadi ibu negaranya!”. Kostantinopel telah pun menjadi ibu negara Empayar Byzantium semenjak penubuhannya, dan seterusnya berkembang sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama dunia.
Rasullullah SAW pernah membayangkan khabar gembira, iaitu ketika memimpin Perang Khandak bahawa suatu ketika nanti, Konstantinopel akan dibuka oleh umat Islam. Sabda baginda: Sesungguhnya Kostantinopel itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” Atas dasar itulah menaikkan semangat umat Islam untuk mempelopori usaha menawan kota Konstantinopel. Misalnya pada tahun 44H, Muawiyyah bin Abi Suffian yang mengasaskan Dinastai Muawiyah memulakan usaha menyerang Konstantinopel, tetapi gagal. Abu Ayyub al-Ansari yang turut serta dalam misi tersebut, syahid di pinggir kota.
Pada zaman Sulaiman bin Abdul Malik menjadi Khilafah Umayyah, satu percubaan telah dilakukan pada tahun 98H, ia juga menemui kegagalan. Bagaimanapun, khalifah-khalifah Islam kemudiannya tidak pernah kecewa dan tetap ingin meneruskan obsesi itu, termasuknya pada zaman Khalifah Abbasiyyah dibawah pimpinan Harun Ar-Rasyid pada tahun 190H.
Apabila kota Baghad, sebuah lagi kota yang dikaitkan dengan tradisi keilmuan penting dalam sejarah Islam jatuh pada tahun 656H, usaha menawan Istanbul diteruskan pula oleh beberapa buah kerajaan yang lebih jecil di Asia Minor (Anatolia), termasuk Kerajaan Seljuk. Semasa Seljuk dipimpin oleh Alp Arslan (455-465H / 1063-1072M), Maharaja Rum bernama Dimonos berajya ditewaskan pada tahun 463H/1070M. Dimonos berjaya ditangkap dan kemudiannya dibebaskan apabila bersetuju membayar jizyah setiap tahun kepada Kesultanan Seljuk.
Pada masa yang sama, Kerajaan Seljuk memberikan kebebasan kepada wakil-wakilnya di beberapa wilayah untuk menentukan pemerintahan. Ketika itu, di sekitar Baghdad telah lahir tradisi ilmu yang tinggi di mana Perdana Menteri Malikul Sah dan kemudiannya digantikan oleh anaknya, Nizam al-Mulk membangunkan sekolah-sekolah secara percuma. Pada ketika itu juga telah lahirnya seorang ilmuan Islam yang kemudiannya menjadi seorang tokoh ilmu yang tersohor hingga sekarang, iaitu Abu Hamid al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai al-Ghazali.
Bagaimanapun, Kesultanan Seljuk turut mengalami kemerosotannya dan akhirnya berjaya ditumpaskan oleh serangan Monggol, iaitu tentera tartar. Ketika itu, berlaku beberapa perpecahan dalam Kesultanan Seljuk apabila wakil-wakil sultan yang memerintah di beberapa wilayah mula membina pengaruh masing-masing dan meminggirkan pemerintahan pusat. Di samping tentera tartar, beberapa wilayah kekuasaan Kesultanan Seljuk berjaya ditawan oleh Seljuk Rom di sekitar Laut Aegen di bahagian barat, sehinggalah Empayar Rom mengambil alih beberapa empayar Islam.
Pada kurun ke-8H/14M, Dinasti Uthmaniyyah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Seljuk Rom yang berpusat di Konya, dan ini telah membuka ruang kepada umat Islam untuk memhami persekitaran Konstantinopel. Pada tahun 1393, Sultan Yildrim Beyazid berjaya mengepong Konstantinopel dan peluang itu telah digunakan untuk memaksa Maharaja Byzantium menyerahkan Konstantinopel secara aman.
Bagaimanapun usaha tersebut menemui kegagalan kerana Seljuk Rom mendapat bantuan Eropah manakala Dinasti Uthmaniyyah sedang bergelut dengan serangan puak Monggol yang dipimpin oleh Timurlane. Bagi mempertahankan kedudukan Dinasti Uthmaniyyah, Sultan Beyazid menarik keluar tentera dari Konstantinopel, dan peperangan tersebut dikenali sebagai Perang Ankara. Sultan Benyazid akhirnya berjaya ditawan dan meninggal dunia pada tahun 1402, maka usaha untuk menawan Konstantinopel terhenti seketika.
Hasrat untuk menawan Konstantinopel seterusnya diasaskan kembali oleh Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M) dengan terancang dan tersusun. Bagaimanapun, usaha tersebut menemui kegagalan kerana adanya sabotaj dari dalam sehingga membolehkan Maharaja Byzantium mengambil peluang memperhebatkan propaganda untuk melumpuhkan strategi pertahanan tentera Islam. Setelah kematian Sultan Murad II pada tahun 1451, Muhammad al-Fatih yang berumur 19 tahun kemudiannya mengambil alih memimpin Dinasti Uthmaniyyah.
Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin) merupakan murabbi Sultan Muhammad Al-Fatih secara langsung. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi, yang jika dinasabkan mempunyai hubungan dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Beliau mengajar Amir Muhammad ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur’an, Al-Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya. Sejak mengenali Amir Muhammad, Syeikh Ak Semsettin sentiasa meyakinkan bahawa al-Fatihlah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW, yang boleh menawan Konstantinopel.
Dalam misi menawan Konstantinopel, telah berlangsung peperangan yang panjang, iaitu selama 54 hari, melibatkan seramai 25,000 orang tentera mujahiddin. Ia bermula dengam membina sebuah pengkalan yang dinamakan Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di tebing Selat Bosphorus. Dengan semangat juang yang kental, akhirnya misi menawan Konstantinopel dilancarkan dan setiap daripada mereka diingatkan dengan pujian Rasullulllah SAW semasa hayatnya bahawa kota itu suatu hari akan menjadi kota umat Islam.
Apabila berjaya menawan kota tersebut, namanya telah ditukar kepada Istanbul. Semasa pembukaan Istanbul, al-Fatih bertitah “…sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Asy-Syeikh Ak Semsettin.”
Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Kostantinopel pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M, terus menyampaikan kata-kata semangat kepada 250,000 anggota mujahiddin dan membaca beberapa ayat al-Qur’an. Ini telah memperkuatkan azam dan para mujahiddin menyambutnya berzikir dan berdoa kepada Allah SWT manakala para ulama terus membangkitkan semangat jihat di tengah-tengah barisan mujahiddin.
Keesokannya, Sultan Muhammad Al-Fatih membahagikan tenteranya ke dalam tiga kumpulan—kumpulan pertama, bertugas mengawal kota yang mengelilingi Kostantinopel; kumpulan kedua, sebagai tentera simpanan; manakala kumpulan ketiga merupakan kumpulan tentera utama di zon hadapan.
Meriam Diraja telah dihalakan ke pintu Topkapi manakala pasukan pengawal ditempatkan di beberapa kawasan strategik, termasuk di sekitar Kota Byzantium itu. Armada laut tentera Uthmaniyyah diletakkan di kawasan peariran, bagaimanapun kapal-kapal tersebut tidak dapat melepasi sekatan yang dilakukan di perairan Tanduk Emas.
Pihak tentera Byzantium berusaha keras menghalang serangan tentera Uthmaniyyah, dan akhirnya berjaya mematahkan halangan itu, manakala tembakan meriam itu telah menyebabkan pihak musuh semakin takut, akhirnya lari meninggalkan kota Konstantinopel.
Maharaja Kostantin terus membangkitkan semangat agar terus berlawan, termasuk menawarkan pelbagai hadiah jika berjaya menewaskan al-Fatih. Kesemua tawaran yang dibuat tidak dihiraukan oleh tentera Islam dan Al-Fatih terus meniupkan semangat, Konstantinopel mesti jadi kota Islam. Setelah melihat kelemahan tentera Byzantium, al-Fatih mula bernjani bahawa jika Kostantinopel diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan tiada gereja dan harta benda penduduk Kostantinopel yang akan dimusnahkan.
Bahan-bahan penerangan termasuk risalah terus disebarkan, dan antara isi kandungannya ialah: “… serahkan empayar kamu, kota Kostantinopel. Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan mengancam sesiapa sama ada nyawa, harta dan kehormatannya. Mereka yang mahu terus tinggal dan hidup dengan amat sejahtera di Kostantinopel, bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu meninggalkan kota ini dengan aman sejahtera juga dipersilakan”.
Sepanjang peperangan tersebut, al-Fatih sentiasa menunjukkan kekentalan semangatnya sehingga berjaya membangkitak semula motivasi tentera Islam meskipun ada ketikanya sudah pun mengalami kegagalan. Dalam satu insiden, atas kegagalan pemimpin barisan hadapan tentera Islam, Al-Fatih mengambil keputusan memecat Palta Oglu dan digantikan dengan Hamzah Pasha. Usaha Khalil Pasha, yang ketika itu merupakan wazir cuba memujuk al-Fatih, supaya membatalkan serangan serta menerima sahaja perjanjian penduduk Kostantinopel untuk tunduk kepada Daulah Uthmaniyyah tanpa menakluknya.
Bagaimanapun, al-Fatih tidak bersetuju dan mencari peluang agar armada laut mampu menembusi sekatan pengawal di Tanjung Emas. Sesuatu yang luar biasa akhirnya terfikir, iaitu membawa masuk kapal-kapal menerusi jalan darat. Pada malam itu, tentera Uthmaniyyah dengan semangat yang kental dan penuh motivasi, menarik sebanyak 70 buah kapal dari pantai Besiktas ke Galata, sejauh tiga batu meredah jalan berbukit-bukit.
Menjelang pagi 22 April 1453, penduduk Kostantinopel terpinga-pinga apabila mendengar laungan takbir dan nasyid yang keluar daripada suara para mujahidin di Tanjung Emas. Semua tentera Byzantium tidak dapat membayangkan, bagaimana semuanya itu boleh berubah dengan begitu besar dalam tempoh hanya semalaman, malah ada yang menuduh bahawa kekuatan tentera Islam adalah kerna mendapat bantuan jin dan syaitan. Hal tersebut dicatatkan oleh Yilmaz Oztuna menerusi bukunya, Osmanli Tariki kata-kata seorang tokoh sejarah Byzantium: “Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukarkan daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya dari puncak gunung dan bukannya di atas ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”
Maharaja Kostantine kemudiannya mengadakan mesyuarat, bagaimanapun akhirnya kerajaan Byzantium gagal mencapai sebarang keputusan. Maharaja Konstantin terpaksa menolak cadangan supaya beliau sendiri berunding untuk mendapatkan bantuan daripada penganut Kristian di Eropah, baginda tetap mempertahankan Konstantinopel hingga ke titisan darah terakhir.
Ketika itu, kedudukan tentera Uthmaniyyah semakin kuat dan mantap, serang-serangan besar-besaran telah dimulakan oleh al-Fatih sehingga ke kubu terakhir Byzantium. Akibat bedilan meriam, sebuah kapal dagang telah musnah di Tanduk Emas manakala pendudukanya bertempiaran lari ketakutan. Laungan “Allahu Akbar, Allahu Akbar!” terus bergema, dan ia telah menimbulkan kesan piskologi yang amat besar, dan dalam masa yang sama, Al-Fatih bersama tentera sentiasa berjaya mencemaskan tentera Byzantium dengan strategi perang baharu. Sehingga menyebabkan tentera salib mengakui kalah dan melarikan diri dalam ketakutan.
Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih setelah semuanya terserlah kemenangan di pihak Islam, para tentera terus diberikan nasihat oleh para ulama bahawa :“…sesungguhnya apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke Costantinople) dan berada di sini!” Kata-kata ini telah membakar semangat tentera Al-Fatih hingga ke kemuncaknya, dan tepatnya pada awal pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, besar-besaran sekali dilancarkan, dengan berbekalkan semangat jihad, kota Konstantinopel berjaya ditakluki oleh puak Islam.
Maharaja Konstantin yang kecewa akhirnya menanggalkan pakaian di rajanya dan cuba melarikan diri seperti rakyat kebanyakan. Bagaimanapun, akhirnya Maharaja Konstantine berjaya dibunuh oleh tentera Islam dan berita kematian itu benar-benar menaikkan semangat tentera Uthmaniyyah. Al-Fatih menyambut kemenangan tersebut dengan bertitah: “ Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada’, memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku”
Bagaimanapun, sejarah kegemilangan Islam Dinasti Uthmaniyyah di Isntabul akhirnya berakhir apabila Mustafa Kemal Atartuk berjaya dalam tipu muslihatnya memperdaya Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1924. Penguasaan Islam selama 471 tahun (1453-1924), menjadikan kota itu masih tetap dengan ikon Islam walaupun telah dilakukan pelbagai perubahan oleh kumpulan Young Turk pimpinan Mustafa Kamal Atartuk. Ia kekal sebagai pusat ilmu, dan beberapa abad silan lahirlah seorang tokoh sufi yang terkenal Badiezaman Said Nursi (1877-1960) dan kini, idealisme itu dikembangkan pula oleh Dr Fethullah Gulen.
Jika anda ingin merasai getarnya emosi, semangat kepahlawanan al-Fatih sepanjang hayatnya memberikan motivasi kepada para mujahiddin, membaca buku ini adalah suatu kewajipan. Barangkali, inilah sebuah buku sejarah yang sentiasa mendebarkan semangat pembaca, bahkan mampu membangkitkan kembali semangat juang yang sudah pun semakin pudar. Kita mungkin boleh menjadikannya sebagai suatu petunjuk bagi meneroka jalan baharu, jalan yang bakal melonjakkan semula kedudukan Islam dalam persekitaran yang lebih bijaksana dan jihad intelektual.
Hari akhir PBAKL 2012, saya sempat berbual dengan salah seorang pegawai di gerai yang banyak mempamerkan buku-buku tulisan Dr Fethullah Gulen dan Badiuzzeman Said Nursi. Mereka turut kagum dengan apa telah berjaya dilakukan oleh Al-Fatih, kerana jiwa dan semangatnya tetap mekar dalam perjuangan politik mereka, mereka juga yakin, suatu masa nanti, Turki akan menjadi sebuah negara Islam yang moden dan boleh diterima oleh lain-lain penganut sebagaimana Malaysia.
Nama Buku : Muhammad al-Fatih 1453
Nama Pengarang : Felix Y Siauw
Nama Penerbit : Alam Raya Enterprise Sdn. Bhd., 2012
Harga : RM 24.00
Nama Pengulas : Kamarun KH
|
||

