Home » Langit Terbuka » 16 ajaran, fahaman difatwa sebagai sesat di Sabah

16 ajaran, fahaman difatwa sebagai sesat di Sabah

KOTA KINABALU, 8 Ogos – Majlis Fatwa Negeri Sabah mengeluarkan fatwa ke atas 16 ajaran atau fahaman yang menyalahi serta menyeleweng daripada prinsip aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai ajaran sesat, kata Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ariffin Arif.

Beliau berkata, antara ajaran sesat itu ialah Ajaran Qadiani; Al-Arqam; Hizbut Tahrir; Millah Abraham; Syiah; Tal Tujuh; Tarikat Hasaniah; Tariqat Naqsyabandiah Al Aliyah; Nasrul Haq; Zikir Hasan Rimau; Kumpulan Awang Rezki; Liberalisme; dan Pluralisme.

Menurutnya, apa juga ajaran atau fahaman yang menyalahi atau bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang untuk diamalkan di negara dan negeri ini.

“Ajaran Qardani bergerak di daerah Sandakan, Beaufort, Kota Marudu dan Kota Kinabalu dalam kumpulan kecil, sementara, kumpulan Hizbut Tahrir didapati berada di Sandakan.

“Aktiviti kumpulan-kumpulan ini dipantau dan diselaraskan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri dan agensi lain berkaitan,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abd Muis Picho (BN-Sebatik) yang ingin tahu adakah masih terdapat aktiviti ajaran sesat di Sabah dan apakah tindakan diambil bagi menangani masalah itu.

Ariffin berkata, seramai lapan pengikut ajaran Millah Abraham yang melarikan diri ke Sabah telah ditahan oleh JHEINS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan PDRM, pada tahun ini.

Kes mereka telah dibawa ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk diambil tindakan undang-undang, katanya.

Ariffin yang juga Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk menangani ajaran sesat yang menyalahi dan bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuk menerusi pendidikan dan dakwah.

Menyedari akan bahaya serta ancaman ajaran sesat dan fahaman ekstrem disebarkan dalam kalangan masyarakat, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan terus berusaha mengawal dan memantau kegiatan penyebaran ajaran sesat yang masih dijalankan di negeri ini oleh pihak tidak bertanggungjawab.- Bernama

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *