Home » Wacana » 3 kaedah, 7 cara tingkatkan iman

3 kaedah, 7 cara tingkatkan iman

foto : flickr

Oleh WARTAWAN DAKWAH

Allah SWT menciptakan manusia dengan tujuan untuk beribadah kepada-Nya. Sepanjang hidupnya, manusia akan diuji untuk menentukan untung nasibnya di dunia juga di akhirat kelak. Bagi memastikan diri berjaya dalam menghadapi ujian yang diberikan, manusia harus memiliki iman dan takwa agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya dan mampu menjalankan segala perintah Allah SWT dengan sebaiknya.

Manusia yang hidup tanpa iman boleh diibaratkan seperti rumah tanpa asas yang kukuh. Ia mudah roboh dan tidak mampu melindungi penghuninya. Iman yang kental dan kukuh akan melindung manusia dari segala macam kesesatan, kelemahan dan pelbagai bencana lainnya sepanjang mengharungi kehidupan.

Hakikatnya, tanpa iman, manusia tidak akan dikurniakan keredaan dan petunjuk dari-Nya. Maka jelaslah bahawa hanya dengan iman, manusia mampu mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat.

Namun begitu, manusia adalah makhluk yang sering lalai dan alpa. Kerana itu juga graf keimanan boleh jadi turun dan naik. Bagi memastikan iman terus kekal kepada kedudukannya yang terbaik, serta bagi meningkatkan keimanan diri, berikut adalah tiga kaedah dan tujuh cara yang boleh diamalkan:

3 Kaedah

  1. Mempelajari ilmu agama bersumberkan al-Quran dan al-Hadis.
  2. Merenungi tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di sekeliling kita (makrifatullah).
  3. Berusaha keras melakukan amal perbuatan yang baik secara ikhlas.

9 Cara (berdasarkan kaedah yang disenaraikan)

  1. Mempelajari ilmu agama bersumberkan al-Quran dan al-Hadis
  2. Memperbanyakan bacaan al-Quran dan merenungi maknanya – Al-Quran merupakan mukjizat teragung Rasulullah SAW. Di dalamnya terkandung segala rahsia ilmu dan pengajaran yang boleh dikutip sesuai dengan keperluan manusia yang sedang tercari-cari Tuhannya. Sebahagian ayat al-Quran, mampu menggetarkan hati dan membuatkan seseorang menangisi segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukannya lalu memberikan ketenangan hati kepadanya. Sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Sad: 29)

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (al-Isra: 82)

  1. Mempelajari Asma’ul Husna – Bila seseorang memahami sifat Allah SWT yang Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui, maka ia akan menahan lidahnya, anggota tubuhnya dan gerakan hatinya dari segala yang tidak disukai Allah. Begitu juga apabila seseorang memahami sifat-sifat Allah yang Maha Indah, Maha Agung dan Maha Perkasa, maka semakin besarlah keinginannya untuk bertemu Allah di hari akhirat sehingga bersungguh-sungguh memenuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan memperbanyakkan amal ibadah. Ia akan sentiasa menjaga kelakuan dan tindakannya kerana yakin, Tuhannya Maha Melihat segala yang dikerjakan hamba-hamba-Nya.
  2. Mempelajari sirah nabawiyah – Hakikatnya, dengan memahami perilaku dan keperibadian, keagungan dan perjuangan Rasulullah SAW, akan menumbuhkan rasa kasih dan cinta kita terhadap Baginda. Kecintaan kepada Baginda pula kemudiannya berkembang menjadi keinginan untuk mencontohi keperibadian dan mematuhi segala nasihat dan sunnah yang ditinggalkannya.

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, Baginda didatangi seorang sahabat lalu bertanya sang sahabat, “Wahai Rasulullah, bilakah akan tibanya Hari Akhirat? Lantas Baginda bersabda, ‘Apakah persiapanmu untuk menghadapi Hari Akhirat?’ Jawab sahabat, ‘Wahai Rasulullah, aku telah mengerjakan solat, menjalani ibadah puasa dan bersedekah, namun, aku berasakan semua itu belum mencukupi buat bekalanku. Namun, ketahuilah, di dalam hati, aku sangat mengasihimu, ya Rasulullah.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘ Insya-Allah, di akhirat kelak engkau akan bersama-sama orang yang kau kasihi.” (HR Muslim)

Jelaslah bahawa mengasihi Rasulullah SAW adalah salah satu jalan menuju syurga, dan membaca riwayat hidupnya (sirah) adalah cara terpenting untuk lebih mudah memahami dan mencintai Baginda.

  1. Mempelajari nilai-nilai agama Islam – Renungan terhadap syariat Islam, hukum-hukumnya, akhlak yang diajarkannya, perintah dan larangannya, akan menimbulkan kekaguman terhadap kesempurnaan ajaran agama Islam . Tidak ada agama lain yang memiliki aturan dan etika yang sedemikian rincinya seperti Islam dari sekecil-kecil pekerjaan sehingga sebesar-besar aspek kehidupan manusia.
  2. Mempelajari kehidupan para sahabat Rasulullah SAW, tabiin dan tabiut tabiin – Mereka adalah generasi-generasi terbaik dari Islam. Mereka adalah orang-orang yang kadar keimanannya diibaratkan sebesar Gunung Uhud sementara manusia zaman kini kadar keimanannya diibaratkan tak lebih dari sebutir debu dari Gunung Uhud. Umar RA pernah memuntahkan makanan yang sudah dimakannya ketika mengetahui makanan yang diberikan padanya tidak diketahui sumber. Kita juga pernah diceritakan tentang kehidupan seorang tabiin yang mampu mengkhatamkan al-Quran dalam setiap solatnya.

Malah, ada cerita tentang seorang soleh yang menghabiskan lebih 40 tahun hidupnya mendirikan solat fardu secara berjemaah. Beliau tidak pernah mendirikan solat fardu secara bersendirian. Ada juga kisah seorang soleh yang menangis hanya kerana lupa mengucapkan doa ketika masuk masjid. Inilah cerita-cerita teladan yang mampu menggetarkan hati seorang yang sedang meningkatkan keimanannya.

  1. Merenungi Tanda-Tanda Kebesaran Allah Yang Ada Di Sekeliling Kita (Ma’rifatullah)
  2. Menyingkirkan sifat sombong dan merenungi kejadian alam – Sesungguhnya kita perlu yakin bahawa ada kekuatan luar biasa yang mampu menciptakan alam yang sempurna ini. Yang mana dalamnya terbina sebuah struktur dan sistem kehidupan yang rapi, mulai dari peredaran cakerawala hinggalah sel-sel atom yang seni.
  3. Berusaha keras melakukan amal perbuatan yang baik secara ikhlas
  4. Menggerakkan amal – Dimulakan dari hati, kemudian terungkap melalui lidah dan kemudian dilakukan oleh anggota tubuh kita. Lakukan permbersihan hati dari sifat-sifat buruk dan selalu menjaga kesuciannya. Ciptakan sifat mahmudah seperti sabar, tawakal, takut kepada Allah dan jauhi sifat mazmumah seperti tamak, kikir, berperasangka buruk dan sebagainya.

Perbanyakkan zikir, bertasbih, tahlil, takbir, istighfar, berselawat ke atas Rasulullah SAW dan mengajak orang lain kepada kebaikan, dan melarang kemungkaran. Selain itu, istiqamah dalam mengerjakan amal fardu ain dan fardu kifayah. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *