Home » Citra Yadim » 4 cadangan PPMM isu anak tak sah taraf

4 cadangan PPMM isu anak tak sah taraf

BANGI11 Ogos – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam menyelesaikan kekeliruan orang ramai terhadap permohonan anak tak sah taraf, yang sedang hangat dibicarakan.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pertama adalah semua peruntukkan membabitkan pendaftaran dan sah taraf anak itu yang bertentangan dengan hukum syarak Akta Pendaftaran 1957 perlu dipinda dan tidak terpakai kepada umat Islam.

“Kedua, MAIN perlu mengemukakan permohonan mencelah dalam kes bin Abdullah, yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan dan berhujah mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Ketiga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi Islam dan ahli akademik digesa mendesak kerajaan memelihara kedudukan istimewa umat Islam.

“Keempat, menyediakan pendidikan, sistem sosial dan kefahaman konsep kepada masyarakat untuk tidak terus ‘melabelkan’ dan mengetepikan anak tak sah taraf,” katanya pada Sidang Meja Bulat Bicara Ilmiah Anak Tak Sah Taraf, di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Fakulti Perubatan dan Sains, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal bersetuju konsep anak tidak sah taraf diperhalusi dan mendapat keadilan sewajarnya melalui rujukan kepada ulama dan ahli agama, yang fasih daripada segi hukum syarak.

“Mahkamah Sivil perlu mendapatkan rujukan substantif, iaitu dalam kes ini adalah Undang-Undang Keluarga Islam dan mendapatkan pandangan ulama serta ahli agama kerana mereka fasih hukum syarak,” katanya.

Katanya, seksyen 110 hingga 120, Akta undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga perlu dipinda dan diperhalusi untuk menyediakan pendekatan menyeluruh dalam isu berkenaan.

Mengenai kaedah ujian darah untuk menyelesaikan isu anak tak sah taraf berkahwin dengan mahramnya, Zainul Rijal berkata, kaedah itu perlu diteliti kerana ia membabitkan kos tinggi.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh di bin nama bapanya dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menulis keputusan sebulat suara itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai perkara itu adalah sivil dan terbatas. – www.bharian.com.my

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *