Home » Analitis » Dasar afirmatif kekalkan kestabilan, imbangi ekonomi

Dasar afirmatif kekalkan kestabilan, imbangi ekonomi

Minggu lalu penulis bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di London untuk menghadiri Forum Merdeka. Forum Merdeka tahun ini dihadiri lebih 300 orang rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum menampilkan penulis dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Dalam forum berkenaan, penulis memfokuskan kepentingan mempertahankan dasar bersifat afirmatif bagi menyamaratakan padang persaingan bagi membolehkan setiap kaum duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi antara satu sama lain.

Penulis bersyukur apabila Perdana Menteri mengumumkan pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Sabtu lalu bagi meneruskan dasar afirmatif terdahulu terutama sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh ayahanda beliau pada 1971.
Dasar afirmatif adalah polisi yang diistilahkan sebagai Dasar Diskriminasi Positif di Eropah – satu bentuk intervensi atau penyertaan langsung daripada pemerintah untuk menstabilkan kedudukan kaum majoriti yang tertinggal lantaran faktor sejarah dan dasar pecah perintah yang diamalkan penjajah.

Bukan saja Malaysia, malah banyak negara di dunia termasuk Kanada, Indonesia, Afrika Selatan, Bolivia, Zimbabwe, Sri Langka, India dan banyak lagi negara turut memperkenalkan dasar afirmatif yang menyediakan peluang dan ruang kepada kaum majoriti untuk menyertai sektor ekonomi dan pendidikan tanpa membelakangi hak kaum minoriti.

Menurut Profesor Amy Chua yang menulis buku terlaris di New York bertajuk World on Fire: How Exporting Free Market Democracy Breeds Ethnic Hatred and Global Instability, apabila kaum minoriti yang menguasai ekonomi dan menempati kedudukan strategik dalam sesebuah negara sering tercetusnya ketidakstabilan bahkan porak-peranda lantaran rasa tidak puas hati dan dan terancam rakyat majoriti.

Ketidakpuasan hati rakyat

Inilah yang berlaku di banyak negara seperti Indonesia pada 1998 yang menyaksikan ribuan rakyat terbunuh terutama dalam kalangan penduduk Cina lantaran ketidakpuasan hati rakyat apabila 3 peratus penduduk pendatang Cina menguasai lebih 70 peratus kek ekonomi di Indonesia.

Dalam konteks ini, Malaysia juga tidak terkecuali apabila tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang mengorbankan 196 nyawa dan 439 yang lain tercedera. Tragedi yang cukup menyayat hati ini bertitik tolak daripada keadaan ketidakseimbangan status sosial dan ekonomi pelbagai kaum yang berlarutan sejak merdeka hingga mengakar perasaan prejudis yang menebal dalam kalangan masyarakat.

Semua ini berpunca apabila golongan majoriti hanya menguasai kek ekonomi yang amat sedikit. Manakala golongan minoriti menempati ruang ekonomi strategik sekali gus menguasai majoriti kekayaan negara.

Rentetan daripada peristiwa hitam inilah maka kerajaan bertindak bijak melaksanakan pelbagai dasar bersifat afirmatif yang menyediakan pelbagai insentif dan mekanisme sokongan kepada Bumiputera sebagai mana yang diamalkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan ini semata-mata untuk mengurangkan jurang ekonomi sekali gus memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Ramai mula pertikai

Malangnya, sejak kebelakangan ini ramai yang mula mempertikaikan dasar bersifat afirmatif terutama dalam konteks pengagihan kekayaan ekonomi. Seolah-olah dasar yang memberikan ruang dan peluang kepada Bumiputera semacam sudah usang dan tidak lagi relevan dalam dunia global yang penuh mencabar kini.

Lebih menyedihkan ada dalam kalangan Melayu sendiri yang tidak menjiwai sejarah turut sama berkempen menggagaskan pemansuhan segala bentuk dasar dan pendekatan yang memberi keutamaan kepada Bumiputera demi kepentingan politik sempit yang tidak bermaruah.

Tindakan afirmatif yang memberikan kelebihan kepada sesuatu kelompok berbanding kelompok yang lain bukanlah asing dari perspektif Islam. Bahkan ia sebahagian daripada perencanaan politik atau siasah syari`yyah yang dibenarkan syarak untuk menjamin kemaslahatan umat dan keharmonian negara.

Pendekatan bersifat afirmatif dalam pengagihan kekayaan turut dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai ketua negara yang mentadbir pelbagai kelompok di Madinah yang berlainan agama, bangsa, puak dan keturunan Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta Al-Fai’ iaitu hasil rampasan yang diterima tanpa berperang kepunyaan Bani Nadhir, Rasulullah turut menggunakan pendekatan afirmatif secara bijaksana. Dalam pembahagian itu, Rasulullah hanya memperuntukkan harta itu kepada puak Muhajirin (penghijrah dari kota Makkah) tanpa diberikan kepada puak Ansar (penduduk asal Madinah) melainkan kepada dua Ansar yang memang miskin.

Semua ini membuktikan pendekatan afirmatif dalam konteks pengagihan kekayaan bukanlah suatu yang asing bagi Islam, bahkan diperakui sebagai tindakan yang menjamin tertegaknya keadilan sosioekonomi dalam sesebuah negara dan masyarakat. Justeru, penerusan dasar afirmatif seperti agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri perlu didukung.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *