Home » Wacana » Memberi manfaat kepada orang lain

Memberi manfaat kepada orang lain


Musibah banjir yang berlaku di negara kita ketika ini seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Sabah mungkin dianggap seperti fenomena biasa bagi sesetengah individu. Ramai yang maklum, hujung tahun amat sinonim dengan musim tengkujuh dan banjir.

Namun, tahun ini fenomena banjir yang berlaku dilihat luar biasa dengan melibatkan beberapa tempat yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini. Dicatatkan juga keseluruhan mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat melebihi 100,000 orang, satu jumlah yang amat besar dalam rekod negara ini.

Firman Allah SWT dalam Surah Yaasin ayat 82 yang bermaksud :

“Sesungguhnya urusanNya apabila Dia Menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya: “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.”

Di sebalik ujian yang Allah turunkan kepada mereka yang terpilih, kita sewajarnya bersyukur dengan sikap prihatin yang dimiliki oleh masyarakat Malaysia. Sumbangan tidak kunjung putus mendatangi mangsa-mangsa banjir. Semasa banjir, mereka amat memerlukan sumber makanan, selimut, pakaian dan keperluan susu dan lampin pakai buang untuk bayi. Manakala untuk pasca banjir ini pula mereka lebih memerlukan kelengkapan untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur tebal. Sesungguhnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Didoakan semoga mereka terus diberi kekuatan dan ketabahan mengharungi episod duka ini.

Dikatakan kini, Kelantan mengalami kebanjiran kenderaan yang masuk ke negeri tersebut. Ini kerana ramai sukarelawan dari pelbagai persatuan, kelab dan institusi aktif menggerakkan sumbangan ke sana. Besarnya pahala mereka kerana membantu mereka yang tiada pertalian saudara mereka. Inilah contoh manusia yang menyumbang kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya : “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no:3289)

Mmberi manfaat kepada orang lain boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk. Selain daripada memberi bantuan tenaga dan masa, bantuan juga boleh diberikan dalam bentuk kewangan. Kita tahu ada sesetengah daripada kita yang tidak mampu untuk turun padang membantu mangsa-mangsa, lantas dengan kaedah lain kita boleh menyumbang wang ringgit untuk mangsa-mangsa meneruskan kehidupan mereka kelak. Sementelah pula, sesi persekolahan 2015 akan dibuka pada minggu hadapan. Masih banyak keperluan yang perlu diambil kira oleh para ibu bapa. Begitu juga keperluan hidup lain yang ranap sama sekali semasa bah berlaku.

Selain itu, mereka yang terlibat dalam pasukan kesihatan juga turut menyumbang bakti dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma. Tidak dilupakan, mereka yang menjalankan perkhidmatan kaunseling juga menerima saham pahala dengan membangkitkan semangat mangsa banjir yang telah kehilangan rumah, kenderaan, keperluan rumah dalam sekelip mata ini.

Jiwa mereka perlu diserapkan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” Maha suci Allah! Kita yang melihat ini belum tentu mampu mengharungi musibah seperti ini.

Memetik kata-kata seorang kaunselor yang pernah terlibat dengan sesi kaunseling bersama dengan keluarga mangsa MH370 dan MH17, mereka yang terlibat dengan berita-berita kematian dan musibah seperti ini akan mempersoalkan kenapa mereka, kenapa mereka yang perlu menghadapi keadaan sebegitu? Hanya Allah Yang Maha Tahu segala aturan yang direncanakan untuk para hamba-Nya.

Semoga kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sentiasa berazam untuk menjadi orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Bantulah orang di sekeliling kita walaupun bantuan tersebut hanya nampak remeh di mata kita. Dan sentiasalah menanam azam untuk menjadi orang bermanfaat untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *