Home » Wacana » Indeks Syariah Malaysia : Iltizam memartabatkan Islam

Indeks Syariah Malaysia : Iltizam memartabatkan Islam

sumber
sumber

Dalam lawatan penanda aras Ja­watankuasa Teknikal Indeks Sya­riah Malaysia telah melawat ke Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi. Mereka melaksanakan beberapa kaedah tersendiri dalam mengukur tahap patuh Syariah dalam bidang-bidang terpilih.

Malaysia sangat bersyukur kata Perdana Menteri, kerana bumi ini sangat bertuah. Dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi se­­­lama ini, maka inisiatif yang me­nyeluruh seperti Model Indeks Sya­riah Malaysia dapat dibina dan di­bangunkan dengan sebaiknya. Ini kerana usaha mengimarahkan Islam tidak menghadapi apa-apa halangan sebagaimana berlaku di negara Islam yang lain.

Oleh itu, negara berkenaan meletak­kan harapan yang sangat tinggi ke atas inisiatif kerajaan Malaysia dalam usaha membina indeks ini. Mereka sangat mengalu-alukan usaha kerajaan kerana melihat pendekatan Malaysia bersifat syumul (komprehensif) dan terdapat penekanan elemen tadbir urus yang baik. Harapan kita dengan terbinanya indeks ini, ketelusan kerajaan Malaysia untuk memperkasakan lapan bidang utama dapat dijayakan.

Beliau menyeru kepada semua pihak, agar menerima usaha telus ini untuk menambah baik pentadbiran kerajaan yang sememangnya te­lah menepati tuntutan Islam me­lalui Maqasid Syariah. Jika se­be­lum ini banyak pihak yang mem­pertikaikannya, tetapi dengan pengenalan Indeks Syariah ini yang merupakan satu kaedah yang objektif, telus, lebih komprehensif akan mampu memberi indikator pencapaian lebih tepat.

Memartabat Syiar Dan Syariat Islam

Hakikatnya, Perkara 3(1) Perlem­bagaan Persekutuan, jelas meletakkan Islam sebagai agama negara. Begitu juga, sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang menyebut, me­ne­gak, mempertahankan dan me­ngem­bang­kan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan ber­agama.

Kerajaan juga sejak dahulu lagi telah berusaha untuk membasmi kemiskinan. Pelbagai dasar diper­kenalkan termasuk dengan memper­kenalkan penerokaan kawasan baru seperti Felda dan pelbagai agensi lain untuk memperbaiki taraf hidup dan membasmi kemiskinan rakyat. Kita dapati bahawa generasi Felda telah menikmati pendidikan dan kualiti hidup lebih baik pada hari ini. Kesemuanya ini, menepati kehendak prinsip pemeliharaan har­ta dan pemeliharaan akal yang terkandung di dalam Maqasid Syaria­h, walaupun kita tidak meng­gunakan label Islam.

Selama ini kita sering terkeliru yang mana perlu diutamakan antara substance atau form, intipati atau rupa luaran, syiar atau syariat. Mana satukah yang perlu diberi keutamaan. Ramai orang menganggap bahawa apa yang luar begitu penting tanpa memikirkan soal intipati di dalamnya.

Ibarat sebiji durian yang amat menyelerakan untuk dimakan, tetapi apabila dibelah, isi dalamnya berulat, atau sebiji durian yang buruk rupanya tetapi isi dalamnya boleh dimakan, atau sebiji durian yang cantik luarannya dan isinya bukan sahaja enak dimakan malah berkhasiat pula. Mana satu durian yang kita akan pilih? Sudah tentu dengan pertimbangan yang rasional, kita akan memilih durian yang ketiga. Kerana sememangnya, Islam mementingkan luaran dan intipati atau syariat dan syiarnya sekali.

Bezakan pula dengan usaha serius yang dijalankan oleh Kerajaan dalam membangunkan negara tercinta ini, dengan helah serta mainan politik sesetengah pihak. Mereka sering kali menitikberatkan penggunaan form atau syariat sahaja. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan sebenarnya me­nitikberatkan syariat dan syiar iaitu substance dan form. Kedua-duanya mestilah seiring.

Kepentingan Indeks Syariah Malaysia

Kewujudan Indeks Syariah Malaysia ini menunjukkan, betapa berani dan jujurnya kerajaan dalam mengukur usaha dan iltizam yang telah dilaksanakan berteraskan Maqasid Syariah.

Sesungguhnya, pembangunan In­­deks Syariah Malaysia ini amat penting untuk negara, bukan se­kadar hendak meninggikan syiar dan syariat semata-mata, bukan juga sekadar untuk membangunkan ekonomi dan bangsa. Tetapi, men­cakupi kemajuan setiap sektor, bidang dan komponen yang mem­bentuk sebuah negara yang maju dan progresif. Jika tidak dimulakan sekarang, kita bimbang akan jauh ketinggalan berbanding negara-ne­gara lain walaupun kita telah mencapai status negara maju.

Kerajaan sentiasa berusaha untuk memartabatkan syiar dan syariat Islam. Kita juga sentiasa menjaga perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, sehingga Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Namun semua ini masih tidak mencukupi, kerana kita benar-benar mahu memacu Malaysia sebagai negara Islam Mithali dalam proses pembangunan dan tadbir urus patuh syariah berasaskan Ma­qasid Syariah. Kerana itulah, perlunya dibangunkan In­deks Sya­riah Malaysia ini sebagai pelengkap kepada cita-cita kita untuk mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi.

Inilah komitmen sebenar ke­­ra­jaan yang ingin melihat kedudukan syiar dan syariat Islam dimartabatkan melalui pengenalan indeks ini. Sepertimana yang dituntut melalui Firman Allah SWT di dalam Surah Al Ankabuut ayat ke 69 ber­maksud: Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Marilah kita bersama-sa­ma me­mohon kepada Ilahi. Perku­kuhkanlah saf kepimpinan ulama dan umara ini, supaya ia teguh berdiri.

Dengan rahmat Ilahi jua, jadi­kan pemimpin-pemimpin kita, pe­mimpin beramanah yang disayangi. Rakyat kita, rakyat yang dihormati. Bangsa kita, bangsa yang disegani. Negara kita, negara yang dicontohi. Agama kita, agama yang dirahmati. Dengan panduan Mu Ya Rabbi, agar di Negara tercinta ini, perpaduan menjadi sebati. Keharmonian kekal abadi. – Jabatan Perdana Menteri/ Jabatan Penerangan Malaysia/ Bernama

Susunan Ibrahim Muhamad

Sumber daripada https://ummatanwasatan.net/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *