Home » Ensiklopedia » Siapa Melayu?

Siapa Melayu?

Sumber
Sumber

Peluang membaca hasil tulisan Zainal Abidin Borhan (Prof. Madya Datuk) dalam buku “Sains, Agama dan Budaya di Alam Melayu” benar-benar memberikan makna yang indah kepada sang pembaca. Dalam tulisan ini, Zainal membuka mata pembaca tentang beberapa ciri Melayu. Dalam keadaan umat Melayu yang semakin tidak kenal dunia kemelayuannya, maka hasil tulisan beliau ini wajar dikongsi bersama.

Terdapat beberapa gambaran menarik tentang umat Melayu dalam tulisan Zainal. Pertamanya, orang Melayu itu majlis sifatnya iaitu tahu membawa serta merendah diri, hormat kepada orang lain dan sentiasa hidup berbudi. Namun, ini tidak bermakna Melayu sentiasa tunduk dan beralah. Selain itu, disebutkan juga bahawa, orang Melayu di alam Melayu memahami bahawa untuk hidup, mereka memerlukan adat bagi mengatur kehidupan. Manakala prinsip budaya Melayu pula berpegang kepada persoalan permuafakatan atau musyawarah. Akhir sekali, umat Melayu amat perasa terhadap orang lain.

Gambaran tentang Melayu ini sangat menarik jika dapat dilihat dalam mata-pandang orang Melayu kini. Pertamanya, adakah orang Melayu sendiri memahami ciri penting Melayu ini? Atau adakah mereka sekadar berbangga dengan Melayu Moden bercirikan barat yang dapat dilihat dalam jatidiri kebanyakan Melayu kini? Jika dalam keadaan orang Melayu sendiri tidak memahami siapakah Melayu, maka bagaimanakah orang Melayu mahu mengekalkan jatidiri dan mengembalikan kejayaan Melayu seperti satu masa dahulu? Orang yang tidak memahami dirinya maka dia tidak akan berjaya. Ini kerana, orang ini tidak dapat melihat kekuatan serta kelemahan diri yang boleh digembleng ke arah mencapai kejayaan. Inilah yang berlaku kepada Melayu kini.

Catatan Zainal tentang sebahagian ciri Melayu di atas boleh dilihat sebagai kekuatan orang Melayu. Melayu dengan sifat “majlisnya” seharusnya menjadikan mereka boleh menapakkan dirinya di mana sahaja tempat di muka bumi ini. Adat yang menggarisi hidup Melayu seharusnya mendorong Melayu mencapai kejayaan dalam keadaan yang terkawal dan teratur. Amalan musyawarah pula wajar mendorong Melayu saling membantu dan berjaya dalam satu kumpulan. Kejayaan ini seharusnya dicapai secara “berpegang-pegang tangan dalam satu barisan” bukannya berjaya kerana gemar “makan seorang.”

Namun, tidak dinafikan bahawa, ciri tersebut juga boleh dilihat sebagai asas kelemahan orang Melayu. Sikap merendah diri Melayu diperguna untuk menundukkan Melayu sendiri. Adat dikatakan sudah lapuk dan tidak lagi sesuai sebagai pengatur kehidupan bangsa Melayu. Mereka yang kuat berpegang kepada adat akan dikatakan sebagai kuno malah mungkin ditertawakan. Akhir sekali, sifat perasa orang Melayu yang menunjukkan Melayu yang peka akan perasaan orang lain dimanipulasi untuk menjatuhkan Melayu itu sendiri.

Penjelasan di atas jelas menunjukkan bahawa ciri istimewa Melayu boleh menjadi sebab kekuatan dan kelemahan orang Melayu. Namun, tidak kiralah dari sudut mana ia dilihat, hakikatnya ciri-ciri Melayu ini gagal diperguna untuk membina kekuatan Melayu. Barangkali Melayu kini lupa bahawa ciri bangsa Melayu sebenarnya boleh dan seharusnya digunakan untuk membangunkan bangsa Melayu itu sendiri.

Namun, apa yang berlaku, kita terus terpedaya serta leka dalam agenda sekeliling yang cuba menjatuhkan Melayu. Bermula dari zaman penjajah yang meracuni pemikiran Melayu dengan keyakinan bahawa Melayu lemah, malas dan sebagainya hinggalah kepada zaman kini, ramai pengkaji yang masih seronok bercerita serta membongkar kelemahan Melayu dalam pelbagai sudut terutamanya ekonomi dan sosial. Pernahkah kita terfikir, Melayu kini sudah lemas dimomokkan dengan kenyataan-kenyataan yang hanya mahu menjatuhkan tanpa ada penyelesaiannya. Oleh itu, tunjukkanlah jalan penyelesaian bukan hanya membongkar kelemahan.

Melayu di Malaysia sememangnya bertuah kerana mereka dirahmati dengan pegangan agama Islam, iaitu agama yang sempurna dan sentiasa ingin melihat penganutnya berjaya sehingga ke tahap tertinggi. Pada setiap hari, seruan “Marilah menuju kejayaan” dilaungkan. Namun, setiap kali mendengarnya, adakah kita memahami maksud laungan itu? Laungan menuju kejayaan itu pastinya membawa maksud kejayaan di dunia dan akhirat. Kejayaan di dunia dan akhirat seharusnya seimbang. Jadi, adakah orang Melayu Islam kini telah benar-benar mencuba untuk mencapai kedua-dua kejayaan tersebut?

Sewajarnya, jika agama Islam itu benar-benar dihayati, bangsa Melayu di Malaysia akan menjadi bangsa yang paling berjaya. Namun, keadaan Melayu kini masih belum benar-benar membanggakan. Terdapat beberapa bahagian dalam pembangunan di negara ini, terutamanya pembangunan ekonomi, yang masih belum kita kuasai. Dalam hal ini, kebergantungan kepada orang lain akan merencatkan seruan menuju kejayaan tadi.

Dalam hal ini, kita semua seharusnya memahami diri Melayu sebenarnya. Dalam masa yang sama, amalan dan penghayatan terhadap agama Islam tidak boleh diambil ringan. Jika kedua-dua ini dapat dicapai, kemungkinan besar harapan melihat Melayu lebih maju di tanah airnya sendiri akan terlaksana. Oleh itu, berdasarkan tulisan ini, marilah sama-sama kita melihat ke dalam diri kita. Pastikan jatidiri Melayu masih kekal dalam diri dan pastikan juga amalan dan penghayatan terhadap agama Islam tidak diremehkan. Selepas itu, senaraikan pula kelemahan dan kekuatan diri. Fikirkan pula cara mengatasi kelemahan diri serta bagaimana memastikan kelemahan ini tidak digunakan oleh orang lain untuk menjatuhkan diri sendiri. Kemudian, rancanglah usaha untuk menggunakan kekuatan diri untuk mencapai kejayaan. Langkah ini sewajarnya dilakukan oleh semua orang termasuklah anak-anak muda Melayu. Lebih awal mereka memahami diri mereka maka diharapkan lebih berjayalah mereka nanti.

Sumber daripada www.ikim.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *