Home » Wacana » Metod Dakwah Alaf Baru

Metod Dakwah Alaf Baru

mediadakwah

Oleh Sabir Abdul Ghani

Masalah sosial merupakan satu “wabak” yang dilihat kian meruncing dan dihadapi oleh seluruh negara. Malaysia tidak terlepas daripada masalah ini yang memperlihatkan statistik yang meningkat dari tahun ke tahun. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta dalam mengatasi masalah ini.

Menurut Ibnu Khaldun dalam kitabnya Mukadimah, beliau menyatakan bahawa keruntuhan sesebuah tamadun akan berlaku apabila generasi terdahulu memperlihatkan contoh tauladan yang buruk kepada generasi masa kini.

Dalam menjelaskan pemahaman ini, usaha dakwah pada masa kini hendaklah selari dengan perkembangan zaman dan pendakwah haruslah bijak dalam menggunakan metod yang sesuai dalam mengatasi masalah ini.

Ini adalah antara masalah kebejatan sosial yang perlu dipandang serius oleh setiap peringkat masyarakat. Usaha yang berkesan dan berterusan perlu dilaksanakan dalam usaha merealisasikan sifar gejala sosial di negara ini.

Ini seiring dengan firman Allah S.W.T yang menyeru kepada usaha dakwah yang berterusan demi memperolehi natijah yang dapat membangunkan ummah:

“Hai orang-orang beriman, sambutlah seruaan Allah dan Rasul dalam perkara kebaikan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengetahui isi hati setiap manusia.” (al-Anfal 8:24)

Hal ini dikukuhkan lagi melalui hadis Nabi S.A.W yang menjelaskan:

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah merubah dengan tangan, jika tidak mampu maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan hati dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Melalui dalil dan hadis di atas, usaha dalam menyampaikan dakwah tidak hanya tertumpu kepada dakwah dalam bentuk lisan seperti tazkirah dan ceramah sahaja, namun pelbagai pendekatan alaf baru harus dikausai oleh pendakwah pada hari ini.

Istilah “update” merupakan satu istilah yang perlu dalam menyampaikan dakwah. Antara usaha yang dilaksanakan dalam dakwah alaf baru ialah dengan mewujudkan pakar rujuk, menggunakan medium dakwah baru dan penyelidikan berterusan.

Pakar rujuk merupakan metod alaf baru yang dilihat sesuai diaplikasikan dalam memperlihatkan usaha dakwah terus mekar dan subur.  Pakar rujuk ini berperanan untuk memberi pemahaman yang mendalam berkaitan dengan isu-isu semasa dan khilaf dalam masyarakat. Apabila masyarakat mendapat pemahaman yang jelas mengenai sesuatu perkara maka kekhilafan dapat diatasi dengan harmoni dalam masyarakat.

Penguasaan terhadap medium dakwah baru seperti media sosial, media massa merupakan pilihan masyarakat pada hari ini terutamanya remaja. Melalui medium ini, pelbagai maklumat dakwah dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih santai dan mudah difahami terutamanya bagi golongan remaja. Apabila pendakwah dapat menguasai medium ini, setiap pendapat dan hukum dapat disampaikan dengan jelas dengan berpandukan al-Quran dan hadis sebagi sumber utama.

Usaha ini jelas dilihat melalui penubuhan TV Al-Hijrah, saluran Astro Oasis, pengisian keagamaan dalam setiap setesen televisyen dan sumbangan paling besar apabila laungan azan dapat dilaungkan di setiap corong radio dan televisyen. Malah, terdapat stesen televisyen yang memaparkan azan berserta dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Penyelidikan yang berterusan juga perlu dalam mengimbangi berkaitan hukum dan pendapat dalam suasana pada hari ini. Usaha ini perlu kerana hukum dan pendapat hendaklah selari dengan keadaan masyarakat pada hari ini. Contoh dapat dilihat berkaitan hukum untuk menjamakkan solat dalam keadaan kesesakan lalulintas terutamanya bagi masyarakat yang bekerja di bandar-bandar besar supaya mereka tidak terus meninggalkan solat dalam kehidupan seharian.

Kesimpulannya, walaupun metod dakwah pada hari ini dilihat semakin mengalami penambahbaikan dalam segala aspek namun harus diingat uslub dakwah terdahulu perlu diraikan. Ini jelas melalui hadis nabi yang bermaksud:

“Sampaikanlah dariku walau satu ayat dan ceritakanlah tentang Bani Israel tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di neraka.” (Riwayat Bukhari)

Melalui cara ini dakwah dapat disampaikan dan dilaksanakan walau dalam apa jua keadaan dan situasi seiring dengan perkembangan masa kini.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *