Home » Persuasif » Kuasa senyuman dalam dakwah

Kuasa senyuman dalam dakwah

Senyuman mempunyai kuasa? Bukankah ia hanya satu bentuk gerakan bibir yang berubah dari posisi asal? Namun ternyata ia memberi impak luar biasa.

Pernahkah anda melalui situasi sebegini? Anda dalam keadaan tertekan memikirkan masalah yang dihadapi yang dirasakan amat berat, kemudian anda bertemu seseorang yang tak dikenali, dalam keadaan beliau yang tidak lekang dengan senyuman. Walhal keadaan beliau ketika itu jauh lebih kasihan daripada keadaan anda. Serta-merta perasaan bersyukur terbit. Serta-merta anda berasa malu kepadanya. Serta–merta anda berasakan bahawa anda sepatutnya menjadi lebih positif dan tidak sesekali mudah berputus asa. Anehnya anda tidak pernah mengenalinya, anehnya juga beliau tidak mengeluarkan walau sepatah kata-kata. Hanya dengan senyuman yang dilemparkan, mampu mengalihkan anda yang dalam kondisi negatif menjadi positif. Nah, itulah yang maksudkan sebuah kuasa!

Kuasa adalah keupayaan atau kebolehan perseorangan atau kumpulan, mempengaruhi orang lain dalam membuat sesuatu sebagaimana yang dihajatkan. Hal ini dikaitkan dengan situasi dakwah pada hari ini, yang memerlukan seruan atau mengajak manusia ke arah kebaikan dan menjauhkan mereka dari kemungkaran.

Senyuman merupakan suatu bentuk dakwah yang unik diaplikasikan oleh pendakwah pada hari ini. Hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Apabila kamu senyum kepada saudara kamu, sesungguhnya ia berupa sedekah.” (Sunnan Tirmidhi, Sahih Ibn Hibban, Musnad al Bazzar)

Lazimnya orang yang kurang berkemampuan akan mengatakan, “Kalau aku kaya, aku akan bersedekah sekian-sekian”. “Kalau aku bergelar jutawan, nescaya aku akan banyak mendermakan wang kepada golongan yang memerlukan.”

Namun dalam hal yang dibincangkan ini, kita tidak perlu menunggu menjadi kaya untuk bersedekah. Kita tidak perlu bergelar jutawan untuk menjadi dermawan. Hanya dengan mengukir senyuman, ia telah diiktiraf sebagai suatu bentuk sedekah dalam ajaran agama Islam. Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W sendiri pun mengamalkan apa yang dinyatakan Baginda tersebut dalam kehidupan sehariannya. Sehingga diperkatakan oleh Abd’Allah bin Al-Harith:

“Aku tidak pernah melihat sesiapa dengan tabiat gemar tersenyum melebihi Rasulullah S.A.W”.(Sunnan Al-Tirmidhi)

Sehinggakan di saat terakhir nafas baginda saw, ketika Baginda S.AW terbujur di pembaringan, Baginda S.A.W masih tidak gagal untuk mengukirkan senyuman. Diceritakan, ketika Abu Bakar r.a sedang meminta kepada jemaah untuk merapatkan saf, Nabi Muhammad S.A.W sempat bangun untuk menyelak tirai demi melemparkan sebuah senyuman kepada jemaah yang ada ketika itu. (Sahih Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad S.A.W melihat senyuman sebagai hadiah berbentuk kegembiraan, perasaan, dan bukan berbentuk material, tidak seperti hadiah-hadiah lain yang biasanya diterima manusia, di mana penerima hadiah senyuman ini menerimanya dengan hati. Apabila Nabi Muhammad S.A.W memaksudkan dengan senyuman kepada seseorang saudara yang lain, nasihat ini juga boleh diamalkan ketika mana kita hadir di sesebuah acara seperti majlis keramaian, tanpa spesifik hanya ketika bertemu orang secara individu. Ini kerana senyuman yang terpancar tanpa syarat tersebut mampu melahirkan bibit-bibit kemesraan dan kasih sayang sesama insan, menceriakan perasaan dan mampu mengurangkan tekanan dalam kehidupan. Jarir bin ‘Abdullah menyatakan:

“Sejak saya memeluk Islam, Rasulullah S.A.W tidak pernah gagal menyedari kehadiran saya, setiap kali Baginda S.A.W bertemu dengan saya, Baginda akan mengukirkan senyuman.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, menyedari hakikat serta kesan yang terlahir daripada sebuah senyuman sabagaimana yang telah dibuktikan melalui sirah Baginda S.A.W, para pendakwah hari ini perlu memanfaatkan teknik senyuman bagi menarik lebih ramai mad’u untuk lebih dekat terhadap ajaran Islam.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *