Home » Persuasif » Didik diri pelihara kebersihan awam

Didik diri pelihara kebersihan awam

Pengalaman penulis menggunakan perkhidmatan keretapi di Stesen Keretapi New Delhi, telah memberi satu persepsi baru kepada penulis. Suasana pagi kira-kira pukul 4 pagi ketika mahu memulakan perjalanan ke Agra melihat Taj Mahal, mungkin mengejutkan bagi sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki ke situ.

Melihat pemandangan penduduk bergelimpangan tidur di atas lantai di setiap sudut bangunan, hanya beralaskan kain nipis, membuatkan penulis berada dalam rasa tidak percaya. Persekitaran yang memualkan dengan sampah sarap yang berterabur merata-rata, najis manusia, tempat makan yang tidak diselenggara dengan baik dan anjing-anjing yang berkeliaran.

Segala-galanya kelihatan kotor, jijik, dan menggelikan. Ternyata kecanggihan pembinaan stesen keretapi tersebut tidak selari dengan realiti masyarakat yang menjadikan stesen perkhidmatan awam itu sebagai tempat mereka melangsungkan kehidupan.

Keadaannya mungkin sama di negara ini walaupun ia tidak berlaku di stesen-stesen perkhidmatan awam, tetapi lihatlah bagaimana pula dengan masalah penggunaan  tandas awam di sini? Tandas berbau, tisu dan lampin pakai buang yang dibuang sesuka hati, lantai basah dan rosak, najis yang tidak dibersihkan, tandas tersumbat adalah isu yang sering dibangkitkan.

Usaha kerajaan melancarkan kempen menjaga kebersihan tandas awam sehingga diadakan Ekspo dan Forum Kebersihan Tandas Kebangsaan ternyata masih belum menampakkan hasil positif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan ketika melancarkan ekspo tersebut pada tahun 2008  telah melahirkan rasa kecewa dengan tahap kebersihan tandas awam terutamanya yang membabitkan restoran, kedai kopi, medan selera dan kawasan rekreasi yang masih tidak memuaskan.

Peringatan demi peringatan telah dilakukan supaya pemilik premis-premis berkenaan dan juga orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan tandas. Malah beliau juga menekankan bahawa kerajaan sudah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk kerja-kerja menyelenggara tandas awam.

Isu ini adalah isu yang tidak berkesudahan sampai bila-bila dek kerana mentaliti masyarakat kita yang menganggap kebersihan hanya perlu diamalkan di rumah sendiri sahaja. Di tempat awam, mereka boleh melakukan sesuka hati dan meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam sebagai tugas dan kerja tukang cuci.

Berbeza pula dengan Korea yang kita sedia maklum tentang tahap kebersihannya.  Di sana, kita perlu membawa bekal air kosong untuk kegunaan di dalam tandas, namun itu tidak menjadi penghalang kepada mana-mana pelancong menyesuaikan diri di negara itu. Dikatakan, pekerja pembersihan di Korea amat prihatin dengan kebersihan tandas di bawah kuasa kawalan masing-masing. Mereka sendiri mempunyai sikap tidak suka melihat lantai yang basah dan cepat-cepat akan membersihkannya.

Memetik pengalaman seorang pelajar Malaysia di sana, selepas mengambil wuduk kita sendiri yang perlu mengeringkan air di sekeliling sinki baharulah kita boleh menunaikan solat. Itu adalah penerapan yang telah dipraktikkan sejak dahulu lagi, menjadikan amalan menjaga kebersihan di tempat awam ini sudah menjadai sebati kepada masyarakat Korea.

Memang tidak wajar sekiranya mahu membandingkan antara Malaysia, India dan Korea. Ini kerana ketiga-tiga negara ini berbeza sosioekonominya. Namun, kalau membincangkan tentang kebersihan wajarkah faktor sosiobudaya dan taraf hidup menjadi halangan?

Selain daripada isu kebersihan tandas, satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah sikap membuang sampah dari dalam kereta. Menjadi sesuatu yang pelik apabila melihat sampah sarap berterabur di tepi-tepi jalan, di lampu-lampu isyarat, atas jalan raya dan sebagainya.

Bagi penulis perkara yang paling penting adalah sikap kita. Kita perlu menanam rasa bersalah di dalam diri kita apabila hendak membuang sampah keluar dari dalam kereta. Itu juga perbuatan yang akan dihitung dalam buku catatan kita. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zalzalah ayat 5-8 yang bermaksud:

“Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Bagaimana kita cuba meletak seketika sampah yang hendak dibuang dalam kereta. Apabila berhenti di mana-mana, buanglah sampah-sampah tersebut di dalam tong yang telah disediakan. Semudah itu. Kita cubalah berfikir untuk tidak mementingkan diri sendiri kerana Islam menganjurkan kebersihan bukan sekadar kebersihan di tempat kediaman kita sahaja tetapi ke mana sahaja kita pergi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman” harus disemat oleh semua umat Islam.

Sekarang bukan lagi waktu untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi bertindaklah bermula daripada diri sendiri. Kita harus berusaha dengan nekad membina jati diri dan disiplin terhadap kebersihan. Kita tidak mahu disogok dengan persoalan, sehingga bila kita mahu generasi demi generasi mewarisi sikap negatif ini?

Malaysia dicanang bakal menjadi negara maju menjelang tahun tahun 2020. Kita ada baki lima tahun lagi. Namun, bersediakah kita untuk mengubah minda, sikap dan tabiat kita terhadap kepentingan menjaga kebersihan?

 Editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *