Home » Ensiklopedia » Hudud bukan sekadar hukuman

Hudud bukan sekadar hukuman

sumber

ENAKMEN Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan Kerajaan Kelantan, mendapat perhatian ramai, sejak dua minggu lalu. Ia mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Wartawan BH mewawancara Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid bagi mendapatkan pandangannya.

S: Bolehkah Prof jelaskan serba sedikit secara umum apakah itu perundangan hudud?

J: Islam mempunyai dua cara untuk mendisiplinkan masyarakat, salah satunya dengan menjanjikan rahmat Tuhan, syurga dan bidadari, manakala yang kedua dengan memberikan ancaman, sekiranya berbuat jahat akan dimasukkan ke neraka. Isunya sekarang masyarakat tidak melihat hudud secara menyeluruh. Misalnya, kisah sekumpulan orang buta menyentuh gajah. Yang memegang belalai menyangkakan gajah seperti tali, yang memegang telinga gajah menyimpulkan ia adalah kipas, yang memegang kaki pula menyangkakan gajah tiang. Itulah perumpamaan masyarakat yang hanya memahami hudud tidak secara menyeluruh, sedangkan Islam itu sepatutnya dilihat secara keseluruhan.

S: Sesetengah pihak menganggap hukuman hudud ini sesuatu yang kejam. Benarkah perkara ini?

J: Dalam Islam, hukuman yang digariskan bukan sekadar menghukum, tetapi untuk mendisiplinkan pesalah. Perkara utama dalam agama adalah membimbing, sebaliknya perundangan menjadi langkah terakhir. Apabila seseorang sudah diberikan didikan, tetapi berbuat jahat, maka hendaklah dikenakan dengan hukuman berat. Tetapi untuk membolehkan hukuman berat itu dilaksanakan, ia memerlukan beban pembuktian yang ketat. Hukum hudud adalah ibarat menggantung rotan tinggi-tinggi, supaya anak kita nampak. Tetapi rotan itu tidak pernah diturunkan, sebab anak kita sudah takut dengan rotan. Islam adalah agama yang mementingkan disiplin, berlainan dengan sistem Barat yang hanya menekankan kebebasan. Apabila manusia terlalu bebas, mereka tidak mempunyai disiplin.

Masyarakat yang melihat Islam melalui kaca mata Barat, akan mengatakan undang-undang hudud kolot apabila hendak dikongkong dengan disiplin. Contohnya, hukuman bagi kesalahan zina, hukum hudud memerlukan empat saksi yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dan jujur. Saksi juga perlu melihat persetubuhan itu seperti melihat benang memasuki lubang jarum (perlu benar-benar perbuatan itu dengan jelas). Bukan mengendap. Oleh itu, adalah agak mustahil untuk menghukum seseorang yang didakwa berzina. Malah, ketika zaman Rasulullah SAW, hanya ada satu kes saja hukuman hudud dikenakan kepada penzina. Itu pun, beliau sendiri bertemu Rasulullah SAW dan mengaku perbuatannya. Tetapi Baginda SAW bertanyakan pelbagai soalan untuk memastikan perbuatan itu benar-benar dilakukan dan memahami maksud perzinaan.

 

S: Bolehkan Prof jelaskan mengenai hukum hudud yang boleh dilaksanakan?

J: Kesalahan yang boleh dikenakan hudud membabitkan murtad, zina, mencuri, merompak, qazaf dan minum arak. Proses hudud adalah sangat berat dan tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada kekeliruan. Dalam kes mencuri, ia perlu mencukupi nisab (jumlah) sebelum seseorang itu dipotong tangannya dan jika dia mencuri barang yang diletakkan di tempat yang tidak sesuai, perkara itu tidak akan dilaksanakan. Banyak syarat yang perlu dipenuhi. Jika ada sikit pun kekeliruan kes itu akan dibuang.

 

S: Bagaimana jika terdapat kekeliruan dan ketiadaan bukti, adakah pesalah akan terlepas?

J: Objektif utama hudud adalah untuk mendidik. Hudud adalah umpama benda yang ditayang, jika kesalahan yang dilakukan itu memenuhi syarat-syarat yang boleh dikenakan hukuman hudud maka seseorang pesalah itu akan dihukum. Jika syarat yang digariskan bagi membolehkan pesalah itu dihukum mengikut hudud tidak dipenuhi, maka ia akan jatuh kepada hukuman takzir. Kalau hendak dibandingkan dengan hukuman Barat, pakar psikologi jenayah mendapati bahawa seseorang pesalah yang menjalani hukuman penjara lebih daripada tiga bulan akan mengalami masalah dari segi mental. Islam tidak menggalakkan sangat hukuman sebegini. Jika kita lihat berapa banyak peruntukan yang dibelanjakan untuk penjara, ini adalah hukuman alternatif.

 

S: Bagaimana pula dengan ketiadaan saksi, bolehkan mana-mana kes disabitkan dengan pembuktian lain? Adakah hukuman hudud itu boleh bersesuaian dengan peredaran zaman?

J: Hukuman hudud ini sudah dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW. Semuanya sudah lengkap. Bagaimanapun, dengan peredaran zaman, ia boleh disesuaikan mengikut ijtihad baharu oleh ulama. Contohnya, dalam kes rogol yang tidak mempunyai saksi. Dalam hal ini, teknologi moden boleh digunakan untuk pembuktian kes seperti pemeriksaan doktor. Cuma hal ini perlu ada perbincangan yang lebih mendalam di kalangan ulama dan ahli akademi bagi mewujudkan garis panduan yang boleh digunakan pakai. Contoh zaman dulu, wanita tidak dibenarkan keluar sendirian kerana bimbang ramai orang jahat di jalanan, tetapi fatwa Sheikh Yusuf Qardawi membenarkan wanita bermusafir dengan kumpulan wanita yang dipercayai sesuai dengan zaman yang berubah.

 

S: Adakah mana-mana negara dunia yang berjaya melaksanakan sistem hudud?

J: Bagi saya, Sudan dan Somalia dilihat gagal tetapi tidak boleh salahkan mereka kerana ia disebabkan sabotaj. Di Brunei pula ia baru dan lihatlah Barat sudah mula tidak senang dan turut mensabotaj negara itu. Arab Saudi dilihat sebagai negara yang boleh dianggap berjaya dalam melaksanakan hudud yang dibantu oleh kuasa Rajanya. Ia mungkin pernah gagal di beberapa negara tetapi saya percaya orang Melayu boleh melaksanakannya. Contoh dari segi perbankan Islam, kita lebih baik dari negara lain. Saya rasa Brunei boleh berjaya kerana negara itu diperintah Sultan yang tidak berubah sistem politik, tidak seperti di Malaysia yang diperintah oleh parti politik yang boleh berubah-ubah. Selain itu, sistem sokong perlu dimantapkan melalui sistem Mahkamah Syariah yang lebih berwibawa, dengan hakim efisyen dan pelaksanaan hukuman.  Di negara ini, saya melihat perkara ini tidak mustahil. Ini kerana bangsa Melayu yang cukup sederhana dan sentiasa mengambil kira perkara penting untuk jangka panjang dan tidak ekstrem. Tetapi kerajaan perlu menghapuskan perkara yang boleh menyumbang kepada keburukan, termasuk kebebasan media.

S: Bolehkah Kelantan melaksana sistem hudud ini?

J: Kerajaan Kelantan perlu banyak memberi pemahaman kepada masyarakat apa itu hudud terlebih dulu. Untuk mengemukakan perlu dengan cara bijak dan berhati-hati. Undang-undang itu sama seperti sastera kerana mahu mengutamakan masyarakat. Perlu ada ijtihad baru yang mampu menyesuaikan dengan konteks semasa. Sekarang ini, asas ada tetapi isunya penganjur perlu benar-benar menjiwai syariat Islam semasa. Selepas ini, perlu ada sistem sokongan serta mencari pengalaman. Dalam mengemukakan undang-undang ini, kita perlu berhati-hati, tidak boleh ‘simple minded’ (ambil mudah).

Sumber daripada www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *