Home » Citra Yadim » Hasilkan penulisan yang betul dan bertanggungjawab

Hasilkan penulisan yang betul dan bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 30 April – Syarikat penerbitan dan penulis buku diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan karya berlandaskan fakta bagi mengelakkan pembaca ter­jerumus dalam ideologi yang ne­gatif.

Timbalan Menteri di Jabatan Per­dana Menteri, Dato’ Razali Ibrahim berkata, semua agensi kerajaan yang terbabit juga digesa menyalurkan segala kepakaran dan bidang kuasa yang dimiliki bagi menapis lambakan buku tidak berkualiti di pasaran.

“Perlu ada budaya menulis yang betul dalam kalangan penulis dan rasa bertanggungjawab supaya karya yang dihasilkan memberi manfaat kepada pembaca.

“Saya menyarankan lebih banyak agensi kerajaan, universiti dan penerbit buku tampil membantu golongan penulis, sekali gus memantau sesebuah karya sebelum diedarkan di pasaran agar pembaca mendapat bahan bacaan yang bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Antologi Sayembara Penulisan Dakwah ‘Biru Langit Itu’ dan ‘Jurnal Umran’ terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hadir sama, Yang Dipertua Yadim, Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Dr Yusri Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Yadim, Encik Abd Wahab Ibrahim, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan dan Encik Ishak Hamzah, Presiden MABOPA.

Buku yang dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2015 itu merupakan gabungan 25 buah cerpen yang terpilih daripada Pertandingan Penulisan Cerpen bertemakan dakwah dan kasih sayang yang diadakan pada September hingga November tahun lalu.

Razali turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Antologi Sayembara Penulisan Dakwah yang diungguli oleh Muhammad Ghazali Mohd. Ros, 25, dengan cerpen yang bertajuk ‘Cinta dalam Lipatan Dakwah Kita’. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan 3 buah naskhah antologi cerpen ‘Biru Langit Itu’.

Penulis cerpen bertajuk ‘Biru Langit Itu’ iaitu Siti Nazurah Mohd. Kamel, 29 memperolehi tempat kedua dan melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM700. Tempat ketiga pula menjadi milik Siti Rahmah Mokhtaruddin, 30, dengan cerpen berjudul ‘Hadiah’ menerima hadiah wang tunai RM500. Kedua-duanya turut menerima sijil penghargaan dan 3 buah naskhah antologi cerpen ‘Biru Langit Itu’.

Sementara itu, Razali berkata, kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 juta pada tahun lalu bagi membantu golongan penulis dan persatuannya dalam usaha menerbitkan karya bermutu dan menyumbang ke arah pemikiran pembaca yang positif.

Sebagai contoh katanya, jika sesebuah cerpen atau novel menampilkan plot perebutan harta pusaka dalam keluarga, penulisnya boleh mengetengahkan penyelesaian melalui hukum faraid yang adil sekali gus mendidik pembaca.

“Penulis bukan sahaja perlu menyediakan bahan bacaan yang dipertanggungjawabkan dari segi fakta yang dipaparkan, tetapi turut menyuntik ideologi murni yang boleh menghalang pemikiran negatif,” ujarnya.

Majlis turut meraikan penulis-penulis yang telah berjaya menempatkan karya mereka di dalam buku ‘Biru Langit Itu’ yang merupakan terbitan julung-julung kali oleh Yadim dalam bentuk penulisan kreatif.

Sumber daripada www.utusan.com.my.

datorazaliibahim

drasyrafwajdi

pelancaranbukupwtc30.4.15

Pemenang hadiah pertama, Muhammad Ghazali Mohd Ros
Pemenang hadiah pertama, Muhammad Ghazali Mohd Ros
Pemenang hadiah kedua, Siti Nazurah Mohd Kamel
Pemenang hadiah kedua, Siti Nazurah Mohd Kamel
Pemenang hadiah ketiga, Siti Rahmah Mokhtaruddin
Pemenang hadiah ketiga, Siti Rahmah Mokhtaruddin

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *