Tokoh ulama sunni India, Sheikh Aboobacker Ahmed ber­kata, malah perbuatan ganas yang dilakukan oleh kumpulan itu sehingga sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua jelas bertentangan dengan konsep wasatiyyah yang selama ini menjadi teras kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, dalam manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah para pengikutnya tidak pernah di­ajar untuk melakukan perbuatan secara ekstrem, melampau dan segala bentuk kekerasan.

“Oleh itu golongan yang menamakan diri mereka sebagai Islam secara umum mahu pun mereka menamakan ahli sunnah secara khusus yang kemudiannya melakukan keganasan, kekerasan dan pembunuhan sebenarnya terkeluar daripada manhaj ini (Ahli Sunnah Wal Jamaah),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena penganjuran Muktamar Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Muktamar yang bertemakan “Mengenal Hakikat Ahli Sunnah Wal Jamaah” anjuran Yayasan Perdana Ummah yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 25 ulama dari 15 negara. Sepuluh kertas kerja akan dibentangkan bagi memperkemas pegangan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan umat Islam.

Sheikh Aboobacker yang juga Setiausaha Agung Persatuan Sunni India berkata, beliau juga menolak tanggapan bahawa mereka yang berjuang atas kumpulan IS itu berjihad kerana terbukti kumpulan itu telah melakukan kezaliman dengan membunuh golongan yang lemah.

“Ini bukan jihad dalam Islam. Ajaran Islam mengajar kita membawa manhaj wasatiyyah dan inilah manhaj yang selamat,” ujarnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beliau berkata, berdasarkan sejarah Islam dan sejarah Rasulullah SAW, setiap peperangan yang berlaku sebagai contoh pe­perangan Badar adalah bertujuan mempertahankan diri dan bukan untuk memerangi golongan lain atas nama jihad.
Sementara itu, Ketua Rabitah Islamiyah dari Yemen, Habib Abu Bakar al-Adni berkata, perjua­ngan atas nama jihad yang tidak mengikut syarak akan mengubah makna jihad tersebut.
“Lebih malang lagi ekoran perbuatan itu musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan, peluang dan keuntungan yang bertujuan menghancurkan agama Islam dan orang Islam sendiri,” katanya.