Home » Analitis » Amalkan tabayyun elak muflis

Amalkan tabayyun elak muflis

KETIKA menulis artikel ini, penulis masih berada di Australia dalam rangka lawatan kerja bagi memenuhi undangan pelajar-pelajar Malaysia yang menganjurkan Seminar Pembangunan Insan. Seminar yang dianjurkan oleh Kelab Umno Luar Negara Australia Melbourne mendapat sambutan yang begitu hebat daripada pelajar pelbagai kaum dan agama.

Alang-alang sudah berada di sini, penulis mengambil kesempatan untuk turut mengadakan siri-siri perkongsian ilmu dengan pelajar bukan sahaja di Melbourne tetapi juga di Adelaide dan Sydney. Jadual yang amat padat daripada pagi hingga ke malam benar-benar dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar untuk menanyakan pelbagai isu yang ketika ini menjadi polemik hebat di tanah air.

Ternyata banyak isu yang dibangkitkan berlegar seputar maklumat yang hangat disebarkan dan dibahaskan di media-media sosial. Malah kebanyakan pandangan yang disuarakan hanya berpandukan andaian-andaian mahupun maklumat-maklumat separa masak yang belum tentu asas kebenarannya.

Mungkin benarlah telahan Nabi SAW bahawa umat kini berada pada zaman fitnah yang besar sehingga diwasiatkan berkali-kali dalam banyak hadis keperluan untuk umat tetap tegar berpegang prinsip al-Quran dan As-Sunnah.

Salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran buat pegangan orang beriman dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini ialah tabayyun. Tabayyun ialah prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat konklusi sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita tersebut.

Prinsip ini dipertegaskan ALLAH SWT dalam al-Quran melalui surah Al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.”

Tabayyun juga membawa pengertian agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.

Imam As-Syaukani rahimahullah berkata,  “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Fathul Qadir, 5:65).

Ia seiring dengan disiplin dan tradisi keilmuan Islam yang memerlukan seorang cendekiawan dan ulama memperhalusi satu-satu permasalahan ilmu dengan menggunakan metodologi kajian yang objektif, sistematik, relevan dan sah.

Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuklah juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas aib dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam surah Al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuh hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”.

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat yang begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.

Dalam senario masa kini tatkala begitu banyak lambakan maklumat hingga menjadikan kita keliru antara benar atau salah, adalah lebih baik kita kembali kepada prinsip Islam untuk tidak mudah menjatuhkan sebarang kesimpulan apatah lagi untuk menyebarkan maklumat yang boleh jadi fitnah yang memudaratkan.

Apa yang perlu lebih digeruni kiranya kita jatuh muflis di akhirat lantaran menjadi agen penyebar fitnah mahupun mudah membuat tuduhan dan tohmah tanpa tabayyun sebagaimana hadis Nabi SAW:

“Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat: “Adakah kamu semua mengetahui siapa itu orang yang muflis?” Para sahabat menjawab:

“Orang yang muflis disisi kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda”.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis  dari kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) solat, puasa, dan zakat, dan dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang, menuduh (memfitnah) orang, memakan harta orang (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah orang (bukan dengan jalan syarak), memukul orang (dan sebagainya). Maka diberikan pahala-pahalanya kepada orang sekian, dan pahala-pahalanya kepada orang sekian (kerana perbuatan buruknya terhadap orang lain) sebelum diselesaikan urusannya, akan diambil dosa-dosa mereka (iaitu orang-orang yang diperlakukan perbuatan buruk di dunia), kemudian dosa-dosa itu dilemparkan ke atas orang tadi, kemudian dia dihumbankan ke neraka”. (Hadis Riwayat Muslim).

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *