Home » Persuasif » Siapa kita selepas Ramadhan?

Siapa kita selepas Ramadhan?

Ramadhan datang lagi di tahun 1436H ini. Hari ini sudah masuk hari ke-8. Apa yang kita harapkan dalam Ramadhan kali ini? Adakah masih berterusan pemahaman kita tentang puasa iaitu menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja? Adakah sekadar itu?

Adakah kita ada menanam cita-cita untuk menjadi seorang yang baharu di 1 Syawal nanti? Orang yang baharu yang bagaimana? Ya. Yang lebih baik daripada sebelum ini. Yang dahulu mungkin kurang sabar apabila menghadapi kesesakan jalan raya. Yang dahulu culas mencukupkan bilangan waktu solat sehari semalam. Yang dahulu menyakitkan hati orang lain dengan bicara yang kasar. Yang dahulu sering sakit hati dan memaki hamun apabila orang lain memintas barisan ketika memandu.

Adakah kita sudah berjaya mendidik diri kita setelah mengharungi Ramadhan selama sebulan? Atau kita masih orang yang sama? Kita tahu, perubahan bukan mudah untuk dilakukan. Mustahil seseorang itu boleh menjadi orang yang berbeza dalam masa yang singkat. Namun, sekurang-kurangnya kita berusaha untuk melakukan kebaikan dan mengubah menjadi diri kita menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya. Apakah sebenarnya amalan-amalan yang harus kita lihat untuk menjadikan diri kita orang yang lebih dari sebelum ini?

Di dalam bulan yang Allah datangkan pelbagai ganjaran ini, seharusnya kita menyelidik amalan yang kita lakukan sama ada sudah cukup sempurna atau sebaliknya selama ini. Yang paling khusus sudah tentulah ibadah puasa itu sendiri. Sayangnya, masih ada yang mengabaikan rukun Islam ketiga ini dengan alasan tidak mampu berpuasa, gastrik, tidak tahan dahaga dan sebagainya. Ini adalah hakikat dan oleh sebab itu kita tidak perlu berasa pelik sekiranya berlaku penangkapan oleh penguatkuasa agama ke atas golongan yang ponteng puasa dan makan pula di tempat awam. Ini merupakan realiti yang berlaku di Malaysia.

Buktinya, Kerajaan Negeri Terengganu sendiri menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras gejala ‘kaki ponteng puasa’ pada bulan Ramadan ketika ini. Pasukan khas tersebut diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan dan serbuan di kedai-kedai dan restoran yang beroperasi pada siang hari iaitu sebelum pukul dua petang yang sememangnya telah dilarang untuk berbuat demikian. Di samping membuat penangkapan terhadap orang Islam yang baligh tidak kira lelaki atau perempuan yang didapati makan pada siang hari di tempat awam.

Kalau dahulu, kita merasakan tempoh masa yang bergerak memakan masa yang lama. Orang kata, jenuh menunggu waktu berbuka puasa. Tetapi sekarang, masa berlalu pantas. Dalam kesibukan melakukan rutin harian, sedar-sedar waktu sudahpun menjengah petang. Usahalah untuk melengkapkan ibadah puasa dan tanamkan dalam diri yang kita mampu lakukan. Dengan izin Allah akan membantu memudahkan niat baik kita itu.

Selain itu, alasan kerana dibebani dengan masalah kesihatan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa. Pada hari ini, pelbagai inisiatif telah dilakukan supaya mana-mana pesakit yang tidak kronik boleh menunaikan ibadah puasa. Sebagai contoh, pesakit kencing manis yang terikat dengan pengambilan ubat-ubatan dan suntikan insulin, perlu mengurus waktu pengambilan ubat dengan baik supaya tidak mengalami simptom-simptom yang memudaratkan. Semasa persidangan perubatan-agama di Morocco pada tahun 1997 yang bertajuk “An Islamic View Of Certain Contemporary Medical Issues”, telah menyenaraikan jenis ubat-ubatan yang tidak membatalkan puasa. Antaranya adalah suntikan melalui kulit,otot,sendi atau salur darah kecuali makanan yang disalurkan melalui salur darah (total parenteral nutrition).

Ibadah kedua yang wajib kita lihat adalah solat. Apalah maknanya puasa yang kita buat sekiranya solat yang merupakan tiang agama tidak kita sempurnakan. Memang kita tahu, puasa tersebut sah tetapi nilai kepada puasanya itu berkurangan kerana tidak menyempurnakan solat yang merupakan amalan pertama yang akan dihitung oleh Allah SWT di akhirat kelak. Solatlah yang membezakan kita dengan penganut agama lain. Jika kita tetap juga tidak memahami makna di sebalik tiang agama itu, elok kalau kita dapat merenung sejenak. Mengenang dan melihat jasa dan pengorbanan ibu bapa kita. Jika kita sayang dan kasihkan mereka, tunaikanlah solat. Kerana dengan bersolat kita dapat memanjatkan pelbagai doa untuk kesejahteraan mereka. Malah terdapat satu rukun di dalam solat yang Allah kurniakan peluang untuk doa yang mustajab iaitu sewaktu sujud. Ketika inilah kita akan berasa dekat dengan Allah SWT. Ketika itulah, kita boleh merayu dan memohon sepenuh hati supaya ibu bapa kita yang telah banyak berkorban hati, perasaan, jiwa dan raga untuk anak-anak, diampunkan dan dicintai oleh Allah SWT.

Ironinya, umat Islam yang hanya berpuasa lebih rela menahan diri daripada kelaparan dan kehausan. Tetapi tidak mampu bangkit untuk menunaikan solat yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja. Untuk sekian kalinya, marilah kita perlahan-lahan didik diri kita sempena Ramadhan Kareem ini untuk taat dalam menunaikan solat kerana sesungguhnya solat itu penghalang daripada perkara-perkara mungkar dan penawar daripada segala keresahan.

Begitu dengan suruhan menutup aurat. Perbahasan tentang penjagaan aurat wanita khasnya, masih terus dibangkitkan supaya seluruh kaum wanita menghayati tuntutan Islam supaya menutup aurat. Elok benar kita mengambil peluang dalam bulan Ramadhan ini untuk memulakan langkah mengenakan pakaian yang patuh syariah. Tidak perlu terus berjilbab dan sebagainya. Cukup dengan memulakan dengan berpakaian longgar, tidak jarang dan tidak nipis.

Terbaharu, apabila timbulnya isu mengenai arahan supaya wanita yang berkunjung ke bazar Ramadhan menutup aurat, ini merupakan satu usaha untuk mendidik ummah. Hal ini tidak harus dipolemikkan dan sewajarnya diterima dengan hati terbuka.

Bukan kita sahaja berpuasa. Mereka yang mengunjungi bazar itu juga berpuasa mata dan telinga. Tidak bersalahkah kita kerana mengurangkan pahala puas mereka disebabkan oleh kita yang tidak menjaga aurat kita sendiri?

Sepatutnya tugas menutup aurat ini adalah tugas individu. Namun, disebabkan mereka yang diamanahkan untuk memegang urusan hal ehwal Islam negeri perlu menunaikan tugasan yang diamanahkan, mereka terpaksa menguatkuasakan undang-undang sebegitu.

Hidayah itu datang dengan usaha kita sendiri sebenarnya. Bukan hanya mengharap ia datang jatuh menyentuh hati begitu sahaja. Bukan dengan beralasan, bila datang seru, baharulah pakai tudung. Pakai sopan-sopan.Perlahan-lahanlah kita berubah kerana niat untuk berubah itu juga ibadah.

Belajar juga mengawal perasaan emosi marah. Didik diri untuk bersabar. Ada ketika kita tidak dapat mengelak daripada berasa marah. Kita marahkan jalan yang sesak. Kita marahkan mereka yang melanggar peraturan jalan raya. Islam mengajar umatnya supaya bersikap tenang dan perbanyakkan zikir ketika marah. Senang untuk menasihat tetapi susah untuk menterjemahkannya dalam perbuatan kita, bukan? Lebih-lebih lagi apabila dilanda amarah yang maha dahsyat.

Kita cuba mulakan dengan mengamalkan bacaan ayat-ayat ini. Bacaan Surah Al-Fatihah, ayat 1-7. Kemudian baca Surah al-Hasyr ayat 21. Diikuti Surah Taha ayat 1-5 dan akhir sekali doa melembutkan hati, “Allahumma laiyinli qalbahu, laiyinta li Daudal hadid.” Yang bermaksud “Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Kamu melembutkan Daud (akan) besi.”  Caranya dengan meletakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati dan baca doa-doa di atas. Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis dan lepaskan. Jadikan amalan seharian sama ada selesai solat ataupun ketika sedang berehat.

Bulan Ramadhan ini adalah bulan keampunan, bulan tarbiah, bulan ‘mega ganjaran’ dan bulan ibadah. Sangat elok kita perbaiki 3 perkara yang telah disebutkan iaitu wajib berpuasa, menunaikan solat dan menjaga aurat. Di samping itu, kita tambahbaik lagi amalan kita dengan amalan-amalan yang dapat mengakrabkan kita dengan Allah SWT.

Siapa kita selepas Ramadhan, kitalah yang menentukan. Bukan ibu bapa atau kawan-kawan. Mereka hanya boleh menjadi pendorong. Akhirnya, kita juga yang perlu mencorak diri kita.

Selamat meneruskan ibadah puasa. Pasang niat selalu untuk menjadi orang yang lebih baik setiap hari.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *