Home » Persuasif » Selamat Hari Malaysia

Selamat Hari Malaysia

sumber

Esok iaitu 16 September, dengan izin Allah seluruh rakyat Malaysia akan meraikan sambutan Hari Malaysia. Hari bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia 52 tahun lalu (16 September 1963). Hari penggabungan membentuk sebuah persekutuan antara Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.  Namun Singapura kemudiannya menarik diri pada tahun 1965 kerana terlalu banyak percanggahan dan pertikaian dalam pentadbiran yang tidak boleh diselesaikan.

Hari sambutan bagi Hari Malaysia ini telah diisytihar sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri di Malaysia pada tahun 2010. Perisytiharan ini adalah bagi memadam mentaliti yang melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.Hari inilah hari bagi mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Ketika ini Malaysia sedang diuji dengan keadaan jerebu sehingga membawa kepada penutupan sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada hari ini. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga mencecah 200 sememangnya membimbangkan terutama sekali kesannya kepada anak-anak.

Begitu juga dengan musibah yang menimpa jemaah Malaysia yang terlibat dalam kemalangan kren jatuh di tanah suci Mekah. Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi dalam keadaan suci dan bersih. Semoga segala amalan kebaikan mereka diterima oleh Allah SWT.

Sejak dua hingga tiga tahun ini, Malaysia sentiasa dilanda dengan jerebu ekoran pembakaran terbuka yang dilakukan oleh negara jiran. Walau bagaimanapun, ujian yang Allah SWT turunkan ketika sebahagian besar umat Islam menunaikan ibadah haji, hanya Allah yang Maha Mengetahui rahsia di sebaliknya.

Selain itu, kebelakangan ini banyak isu yang timbul seperti kes jenayah yang semakin berleluasa, kes rasuah yang meningkat dan tidak ditangani dengan baik, kebejatan masalah sosial yang membimbangkan, isu politik yang menggugah kredibiliti kepimpinan negara, memang menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat.

Harapan kita amat tinggi supaya semua isu dan permasalahan yang timbul ditangani dengan bijak dan berhikmah bagi mempertahankan kedaulatan Malaysia yang merdeka.

Penulis kira, dalam pelbagai isu yang timbul ini, wajar untuk kita meraikan Hari Malaysia ini dalam penuh rasa kesyukuran kerana negara kita masih dilindungi daripada peperangan dan kekejaman sebagaimana yang dihadapi oleh rakyat Palestin dan Syria mutakhir ini. Selain daripada itu, sebaiknya sebagai seorang muslim kita panjatkan doa supaya bumi Malaysia ini sentiasa dilindungi daripada ancaman luar dan dalam.

Bagi memperingati sejarah Malaysia, elok kalau kita selak sejarah  perisytiharan yang dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata. Penubuhan Persekutuan Malaysia sebenarnya ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia kerana mahu menubuhkan Indonesia Raya termasuk Sabah dan Sarawak lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan “Ganyang Malaysia” yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujah perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Ini adalah asas yang perlu diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia. Perjuangan pemimpin terdahulu bukan sesuatu yang mudah. Jangan kita mudah mempersoalkan kenapa dan mengapa sedang kita sendiri tidak menelusuri apa yang telah mereka lakukan.

Sejarah Malaysia merupakan sejarah yang panjang. Sejarah yang masih dibicarakan dan diperdebatkan. Cuma kalau ditanyakan kepada generasi X seperti penulis, generasi kami masih mahu mengambil tahu dan membaca tentang kisah yang tercatat di sebalik pembentukan negara bertuah ini.

Sayangnya, penulis kira generasi Y, ramai yang tidak mengendahkan tentang sejarah Malaysia. Ada yang langsung tidak suka membaca sejarah dengan alasan bosan dan mengantuk. Ada juga yang langsung tidak memgambil tahu. Mereka tidak minat membaca dan mendalaminya kerana sejarah itu pasti berputar mengikut  jalan cerita yang sama tetapi dengan pelaku dan watak yang berbeza.

Ambil peduli, sekurang-kurangnya apabila orang membicarakan tentang sejarah Malaysia yang kompleks, cubalah untuk mendengar jika tidak mahu membaca. Sejarah ini perlu ada pewarisnya. Tolaklah ke tepi alasan ‘bosan’, tidak faham’ dan ‘tidak peduli’.

Selamat Hari Malaysia!

Susunan editor.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *