Home » Analitis » Harapan jadikan Yadim sahabat kepada semua

Harapan jadikan Yadim sahabat kepada semua

Pendedahan dalam dunia kesukarelawan sejak di institut pengajian tinggi dan pembabitan secara langsung melalui pertubuhan bukan kerajaan yang disertai memberi kelebihan kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad, 43, menerajui organisasi berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Yadim dilantik sebagai yang Dipertua pada 1 Oktober lalu menggantikan Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Justeru, Yadim bukanlah asing baginya dalam meneruskan legasi yang ditinggalkan kepimpinan terdahulu, beliau akan meneruskan usaha meningkatkan kefahaman dakwah dalam masyarakat serta menyelaras kesatuan NGO Islam yang menganjurkan kegiatan dakwah.

“Ketika bergiat aktif dalam NGO saya memang berurusan dengan Yadim yang dipimpin tokoh hebat seperti Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd Tahir, Datuk Seri Jamil Khir dan Dr Asyraf.

“Pembabitan saya secara langsung apabila dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua Yadim pada 15 Januari 2014. Alhamdulillah saya mewarisi Yadim dalam keadaan yang terbaik dan menjadi harapan saya untuk meneruskan usaha menjadikan Yadim sebagai pemangkin dalam penyebaran dakwah,” katanya.

Maklum balas positif terhadap pelantikan

Dr Yusri menjelaskan, kebanyakan sahabat NGO memberi maklum balas positif terhadap pelantikan itu kerana berpandangan beliau daripada latar belakang sama dan itu memberi perasaan lebih dekat serta keselesaan untuk berurusan.

Kebanyakan mereka sudah menyuarakan harapan umum dan Yadim sentiasa meraikan cadangan dan pandangan NGO yang disampaikan berdasarkan bidang kekuatan masing-masing termasuk dari Sabah serta Sarawak yang melahirkan harapan supaya usaha dakwah saudara baru diperkukuhkan.

Perkara lain yang turut menjadi perhatian ialah isu akidah dan sosial serta isu yang dijuarai pelbagai NGO yang diharapkan mendapat sentuhan daripada Yadim dalam usaha mengekalkan citra penghayatan Islam di negara ini berasaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamah melalui pendekatan wasatiyyah.

Dr Yusri yang juga antara pengasas dan bekas pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), tidak menafikan wujud perbezaan berada dalam NGO Islam dan menerajui Yadim yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kerajaan.

Namun, atas semangat meraikan kepelbagaian dalam kebersamaan itu, beliau yakin Yadim dapat bekerjasama menggerakkan usaha dakwah dengan NGO Islam lain termasuk menjalankan aktiviti bersama.

Cuma katanya, dalam menangani pelbagai isu yang timbul membabitkan umat Islam, Yadim mempunyai pilihan untuk menyuarakan pandangan secara terus kepada barisan kepimpinan.

“Jadi, agak janggal jika Yadim berpiket atau berdemonstrasi untuk melahirkan pandangan kerana kita faham turutan keutamaan serta keterbatasan berbanding dengan NGO Islam lain. Kita faham cabaran dihadapi kerajaan dalam hendak melaksanakan tuntutan agama,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu NGO tidak boleh terlalu idealistik untuk mencapai tahap yang dimahukan daripada kerajaan, tetapi dengan ciri kemandirian dalam perjuangan, mereka boleh dikatakan masih ada cara tersendiri untuk menyuarakan pendapat masing-masing.

Begitu juga Yadim sebagai penyelaras untuk menyatukan semua NGO Islam, sasaran tidak boleh diletak terlalu tinggi. Sebaliknya kehadiran Yadim lebih sebagai jambatan dan saluran komunikasi antara NGO dan kerajaan.

Yadim akan menyampaikan hasrat mereka kepada kerajaan dan pada masa sama berkongsi aspirasi kerajaan dengan NGO dari masa ke semasa supaya apa yang dilakukan benar-benar dapat memenuhi hasil diharapkan semua pihak.

“Perkara ini sentiasa berlaku kerana hubungan Yadim dan NGO sangat baik. Kehadiran mereka dalam program kita anjurkan sangat memberangsangkan, malah ada juga aktiviti dianjurkan bersama.

Memang ada ruang untuk penambahan serta peningkatan dan itu akan kita berikan perhatian,” katanya.

Tambah beliau, selain hubungan dengan gabungan NGO besar dan kecil, Yadim juga menyelaras gabungan Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) yang menjadi landasan pertemuan kira-kira 100 NGO Islam yang aktif di negara ini.

Penganjuran Muktamar Kebangsaan MAIM setiap tahun yang mempertemukan pimpinan NGO Islam bersama kepimpinan negara bertujuan menguatkan usaha memperkukuh serta memelihara kepentingan agama Islam.

Menjurus kepada perjuangan Yadim pula, Dr Yusri berkata, fungsi teras untuk memurnikan dan meningkatkan kefahaman adalah pendekatan terbaik dalam memperjuangkan Islam melalui program berbentuk tarbiah, pendidikan, kempen, diskusi dan dialog.

Program perlu diubah suai sesuai realiti negara

Beliau berkata, program perlu sesuai dengan realiti negara dan susulan daripada peningkatan fahaman itu pendekatan dakwah bilhal dilaksanakan seperti menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana, fakir miskin serta golongan memerlukan secara berterusan.

Katanya, Yadim turut menyantuni generasi muda melalui Sahabat Yadim yang kini sudah berada di 26 institut pengajian tinggi seluruh negara dengan memberi kefahaman dan penghayatan mengenai agenda besar perjuangan Islam serta peranan ummah bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Generasi muda kini menjadi rebutan dan jika tidak bersama mereka, ramai yang terkeliru dengan pelbagai fahaman serta ideologi di luar sana. Melalui usaha ini Yadim mendekati dan memimpin mereka ke arah perjuangan membangunkan sahsiah dan agama,” katanya.

Berkongsi harapan sebagai pemimpin Yadim yang baharu, beliau ingin menjadikan Yadim sahabat kepada semua dan berusaha mencari titik persamaan dalam menyebarkan kasih sayang serta rahmat kepada sekalian alam yang menjadi inti perjuangan dakwah.

Sumber daripada bharian.

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *