Home » Wacana » Vaping ikut trend

Vaping ikut trend

Vaping semakin menjadi petunjuk baharu dalam kalangan perokok di serata dunia apabila pengagumnya mula bercakap-cakap sehingga lewat pagi mengenai keseronokan yang mereka nikmati.

Sebelumnya, ketika rokok masih menjadi sesuatu yang dianggap berprestij, ada pihak mengiklankanya sebagai “sumber inspirasi”, nikmat merasainya kesejukan “high country”, dan gaya macho seorang lelaki matang, yang turut ditemani wanita cantik, seksi serta lepas laku.

Tidak hairanlah pada suatu ketika seorang lelaki yang berjawatan doktor turut mengambil peranan mengiklankan rokok. Semuanya sudah menjadi sejarah apabila iklan rokok diharamkan menerusi media massa walaupun pada suatu ketika syarikat pengeluar berlumba-lumba untuk menaja program TV, misalnya Dunhill dengan bolasepak, John Player Special dengan peralatan mewah Porsche Design, Marlboro dengan imej koboi, Salem dengan hiburan dan percutian musim sejuk, dan sebagainya.

Bagi mempengaruhi orang ramai merokok, syarikat dan pengilang rokok berlumba-lumba menaja pelbagai aktiviti yang disukai orang ramai, dari sukan bermotor, bola sepak hinggalah kepada lain-lain aktiviti seni (pertunjukan pentas, konsert dan gimik pelancaran). Tidak cukup dengan itu, pengeluar rokok mengeluarkan pelbagai edisi khas dalam pelbagai bentuk bungkusan dan tawaran terutama di musim perayaan.

Kini, keseronokan merokok semakin beralih arah kepada gaya apabila rokok elektronik diperkenalkan. Perokok elektronik boleh berkumpul sesama mereka bercerita mengenai alat yang mereka ada bersama-sama cecairnya yang dimasukkan pelbagai perisa.

Kepulan asap yang dikeluarkan menerusi aktiviti vaping ternyata berkali ganda banyaknya sedangkan merokok dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan tenggorok kekeringan. Sebab itulah vaping menjadi sesuatu yang menakjubkan bagi penggemarnya.

Untuk menggunakan rokok elektronik, seseorang itu perlu berbelanja lebih besar berbanding perokok disebabkan harga vape, cecair dan baterinya adalah tinggi. Bagi mereka itu tidak menjadi masalah, jangka masa panjang boleh menjimatkan wang berbanding rokok yang perlu dibeli setiap hari.

Alasan yang lain ialah kerajaan sudah banyak kali menaikkan cukai dan duti rokok sehingga menjadikan rokok seludup semakin popular dan mendapat sambutan memberangsangkan. Rokok seludup, walaupun berdasarkan laporan sentiasa dibanteras dan dirampas, aktiviti tersebut masih merupakan lubuk kekayaan baharu kepada penyeludupnya.

Rokok seludup masih boleh dibeli, walaupun penjualnya terpaksa berhati-hati. Ianya dijual kepada pelanggan tetap, dan ada ketikanya harga berbeza-beza antaranya kerana menurut penjual, harga yang diperoleh juga berbeza daripada pengedar.

Kerajaan juga telah menetapkan rokok tidak lagi boleh dijual secara eceran dan dalam kotak kurang dari 20 batang bagi mengelakkan pelajar sekolah membelinya. Tetapi, tindakan itu tidak juga mengurangkan perokok muda. Malah perokok muda bersedia berkongsi untuk membeli sebungkus rokok walaupun kini, harga sebatang sudah mencecah hampir seringgit (antara 0.775 , 0.85 sen dan RM 1.00).

Semahal mana sekalipun rokok terpaksa dibayar, perokok akan tetap membelinya. Begitu juga dengan fatwa, rokok adalah haram, ia tetap diambil oleh orang Islam kerana merokok telah membawa mereka kepada ketagihan. Bagi wanita muda pula, mereka berpegang kepada mitos, dengan merokok boleh membantu melangsingkan badan.

Vape pada mulanya dicipta untuk membantu mengurangkan ketagihan merokok. Kini, vape menjadi trend yang terlalu sukar untuk diharamkan setelah banyak pihak mengecam kenyataan dan pertimbangan yang pernah disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Bahkan, seorang lagi menteri seakan-akan “berperang” dan menyinsing lengan baju meminta agar ia diteliti kerana boleh mengancam pendapatan peniaga, terutama ramai penjualnya adalah bumiputera.

Isu ini menjadi reda sedikit apabila kabinet membuat keputusan tidak mengharamkan rokok elektronik. Kini, timbul pula dakwaan cecair vape boleh disalahgunakan dengan dimasukkan najis dadah. Aktiviti ini dilaporkan sukar dikesan kerana ia tidak mengeluarkan bau sebagaimana dadah bila dibakar untuk disedut asapnya.

Pihak polis telah melaksanakan tanggungjawabnya, merampas cecair vape kerana khuatir boleh dicampurkan dengan dadah. Peniaga vape membantah, kerana polis dianggap terlajak dalam tindakan tersebut, tanpa memberikan amaran.

Turut dikesan, bahkan diberitakan vape menjadi senjata baharu untuk menjadikan manusia semakin bergantung kepada ketagihan merokok kerana cecairnya mengandungi nikotin. Apabila Kementerian Kesihatan bercadang untuk menetapkan peraturan cecair vape tidak boleh dijual secara terbuka, hanya dijual menerusi farmasi dan pembeliannya direkodkan, ramai pihak melihat ia satu lagi “kekejaman” dan “kezaliman” beralaskan prinsip kebebasan individu.

Petunjuk ini memberikan kita satu tafsiran baharu, apa sahaja yang dilarang oleh undang-undang, dan jika tindakan ke atas aktiviti berkenaan dilaksanakan, kerajaan tetap dipersalahkan. Semakin ramai hilang pertimbangan, dari apa aspek sekalipun, tujuan sesuatu peraturan dibuat ialah untuk menjaga kesejahteraan.

Kesejahteraan sudah dipesongkan maknanya. Ia bukan lagi membawa makna sihat dan sejahtera. Sudah dimaklumkan, berasaskan pelbagai data dan kajian, merokok dan vaping memudaratkan kesihatan. Setiap tahun bilangan pesakit yang mengalami kronik berkaitan dengan aktiviti merokok bertambah. Kerajaan terpaksa membelanjakan wang besar untuk merawat mereka yang berhadapan dengan silap sendiri.

Pada masa ini, jika merokok di kawasan larangan boleh dikenakan tindakan. Kadangkala perokok mengeluh kerana dirinya sentiasa “diburu kesalahan”, ada pihak penguatkuasaan meneropong untuk mengeluarkan saman. Putrajaya sudah menggazetkan semua bangunan kerajaan sebagai kawasan larangan termasuk di dalam tandas. Kedai-kedai dilarang menjual rokok (secara tersembunyi boleh membelinya). Namun, aktiviti merokok tetap tidak berkurangan.

Vape masih belum diharamkan, sebab itulah ada di antara penggunanya bergaya seperti orang yang tidak bersalah dan mengeluarkan asap seperti serombong kapal. Bukan lagi berkepul-kepul dan membulat, ibarat asap kereta yang sampai masanya untuk di overhaul, masalah minyak pelincir.

Tiga kejadian bateri meletup setakat ini masih belum menggerunkan ramai penggemar vape, dua mendatangkan kecederaan dan satu lagi berlaku di atas pesawat Malindo. Bahkan, ada pihak yang berusaha memberikan pandangan, vape adalah selamat sekiranya tidak membeli yang berharga murah. Vape berharga murah tidak mempunyai cips keselamatan. Cips itu berfungsi menyekat “litar pintas” apabila bateri bermasalah.

Apa pun alasan dan kelebihan vape, saya tetap tidak berhasrat menukarkan ketagihan merokok. Seperti tulis Johardy Ibrahim, vape ibarat kereta berteknologi hybrid. Bila kerajaan tidak lagi memberikan potongan insentif cukai, ramai penggemar kereta mula kembali untuk membeli kereta konvensional yang dijanakan oleh petrol atau diesel.

Kereta hybrid bukannya murah. Bahkan untuk penyelenggaraannya adalah lebih mahal. Ia juga tidak menjimatkan minyak, kerana kuasa bateri itu hanya berguna ketika dalam kesesakan, terutama di bandar. Jangka hayat bateri memang ada, dan untuk menukarkannya, ia boleh mengempiskan perut beberapa hari, bukan ratusan ringgit, beribu ringgit.

Saya teringat ketika harga minyak mahal, ramai berhasrat menggunakan LPG. Bila subsidi LPG distrukturkan semula, dan merasakan boleh bertahan dengan harga minyak, petrol tetap menjadi pilihan. Untuk mengisi LPG, tidak semua tempat dan stesen minyak ada kemudahannya.

Vape boleh didapati di mana-mana, termasuk juga pasar malam. Bila penguatkuasaan benar-benar dilaksanakan, cecairnya boleh dibeli di farmasi, maka trend perokok elektronik akan berkurangan. Tentunya ramai yang akan kembali kepada tabiat asal merokok, kalaupun tidak berjaya berhenti.

Malah sudah ada kecenderungan perokok elektronik menayang jenama vape mereka. Yang lebih bergaya ialah selalu bertukar-tukar design dan kecanggihan teknologi, umpama kegilaan sesetengah orang kepada telefon pintar. Bila edisi terbaharu dikeluarkan, mereka sanggup berbelanja besar semata-mata mahu terkedepan atas alasan state of the art.

Trendy itu benar-benar menggila. Trendy itu benar-benar merugikan. Ia adalah satu bentuk kapitalisma dan eksploitasi pasaran. Ia adalah sesuatu yang merosakkan mental dan nurani, kerana kita membangunkan kesombongan diri.

monosin sobri

Sumber daripada www.wasatiyyah.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *