Home » Ensiklopedia » Adab makan Rasulullah

Adab makan Rasulullah

sumber

Rasulullah SAW adalah suri tauladan umat dalam segala aspek kehidupan. Begitu juga dalam urusan kesihatan. Ajaran-ajaran baginda sudah banyak dibuktikan kebenaran manfaatnya melalui penyelidikan moden. Salah satu ajaran baginda adalah adab-adab makan yang berkesan untuk penjagaan kesihatan dan keberkatan sepanjang zaman.

Di antara adab-adab makan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW adalah :

  1. Tidak mencela makanan yang tidak disukai

Abu Hurairah ra. berkata : “Rasulullah SAW tidak pernah sedikit pun mencela makanan. Bila baginda berselera, baginda memakannya. Dan jika baginda tidak menyukainya, maka baginda meninggalkannya.” (HR. Bukhari Muslim)

Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada keluarganya (isterinya) tentang lauk pauk. Mereka menjawab : “Kami hanya ada cuka”. Lalu baginda memintanya lantas memakannya, seraya bersabda : “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka (al-khall), sebaik-baik lauk pauk adalah (yang mengandungi) cuka.” (HR. Muslim)

Penelitian Dr. Masaru Emoto dari Jepun dalam bukunya ‘The True Power of Water’ mendapati bahawa unsur air adalah hidup dan mampu bertindakbalas dengan perbuatan manusia sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Sekiranya perkataan yang baik diucapkan atau ditampalkan tulisan dengan ayat positif, maka air tersebut akan membentuk struktur kristal yang indah dan boleh memiliki daya sembuh untuk berbagai-bagai penyakit. Sebaliknya, jika diucapkan atau ditampalkan ayat-ayat umpatan, celaan atau negatif, maka air tersebut akan membentuk struktur kristal yang buruk dan boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan.

  1. Mencuci tangan sebelum dan sesudah makan

Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa yang tertidur sedang di kedua tangannya terdapat bekas makanan (kerana tidak dicuci) dan ketika bangun pagi ia menderita suatu penyakit, maka hendaklah dia tidak menyalahkan kecuali dirinya sendiri.”

  1. Membaca basmalah dan hamdalah

Rasulullah SAW bersabda : “Jika seseorang di antara kamu hendak makan, maka sebutlah nama Allah SWT. Dan jika ia lupa menyebut nama-Nya pada awalnya, maka bacalah, ’Bismillahi awwalahu wa akhirahu’ (Dengan menyebut nama Allah SWT pada awalnya dan pada akhirnya).” (HR. Abu Dawud)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW pernah tersenyum seraya menjelaskan sekiranya seorang muslim tidak membaca Basmalah sebelum makan, maka syaitan akan ikut makan dengannya. Namun, sekiranya muslim tersebut teringat dan menyebut nama Allah SWT, maka syaitan pun langsung memuntahkan makanan yang sudah dimakannya.

Rasulullah SAW juga bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT meredhai seorang hamba yang ketika makan suatu makanan lalu dia mengucapkan Alhamdulillah. Dan apabila dia minum suatu minuman maka dia pun mengucapkan Alhamdulillah.” (HR. Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

  1. Makan menggunakan tangan kanan

Abdullah bin Umar ra. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Jika salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah ia makan dengan tangan kanannya dan jika ia minum maka hendaklah minum dengan tangan kanannya. Sebab syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya.” (HR. Muslim)

Ini kerana kedua-dua tangan manusia mengeluarkan tiga jenis enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan lebih banyak daripada tangan kiri. Enzim tersebut sangat membantu dalam proses pencernaan makanan.

  1. Tidak bersandar ketika makan

Rasulullah SAW bersabda : “Aku tidak makan dengan posisi bersandar (muttaki-an).” (HR. Bukhari)

“Muttaki-an” ada yang mentafsirkan duduk bersilang kaki dan ada pula yang menafsirkan bersandar kepada sesuatu, sama ada bersandar di atas salah satu tangan atau bersandar pada bantal. Ada pula yang mentafsirkan bersandar pada sisi badan.

Rasulullah SAW jika makan, tidak makan dengan menggunakan alas duduk seperti bantal duduk sebagaimana orang-orang yang ingin makan dengan variasi menu makanan. Rasulullah SAW menjadikan amalan makannya sebagai ibadah kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, baginda duduk tanpa alas dan mengambil makanan secukupnya.

  1. Memakan makanan yang terdekat dahulu

Umar bin Abi Salamah ra. bercerita : “Ketika aku masih belia, aku pernah berada di kamar Rasulullah SAW dan kedua tanganku seringkali mengacak-acak piring-piring. Rasulullah SAW bersabda kepadaku, ’Nak, bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan baik yang terdekat.” (HR. Bukhari)

  1. Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang

Dari Mikdam bin Ma’dikarib ra. menyatakan pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Tiada memenuhi anak Adam suatu tempat yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak ada cara lain, maka sepertiga (dari perutnya) untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiganya lagi untuk bernafas.” (HR. Tirmidzi dan Hakim)

  1. Menjilat tangan ketika makan tanpa sudu atau garfu

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Jika salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah ia menjilati jari-jemarinya, sebab ia tidak mengetahui dari jemari mana munculnya keberkatan.” (HR. Muslim)

Dalam hadis riwayat Imam Muslim pula, Ka’ab bin Malik ra. memberikan kesaksian bahawa dia pernah melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jarinya dan beliau menjilatnya sebaik sahaja selesai makan.

Penemuan kesihatan moden menunjukkan bahwa ketika kita makan dengan jari dan menjilat jari untuk membersihkannya, maka jari tersebut mengeluarkan enzim yang sangat membantu untuk kelancaran pencernaan.

  1. Membuang kotoran dari makanan yang terjatuh lalu memakannya

Dari Anas bin Malik ra. berkata bahawa Rasulullah SAW sering makan dengan menjilat ketiga jarinya (ibu jari, telunjuk dan jari tengah), lalu bersabda : “Apabila ada makananmu yang terjatuh, maka buanglah kotorannya dan hendaklah ia memakannya serta tidak membiarkannya untuk syaitan.” Dan baginda juga memerintahkan kami untuk menjilat piring dan bersabda : “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada makanan yang mana adanya berkah itu.” (HR. Muslim)

Islam melarang hal-hal yang membazir, termasuk dalam hal makanan. Seringkali kita menyaksikan orang yang mengambil makanan berlebihan sehingga tidak habis dimakan. Makanan yang membazir itu akhirnya dibiarkan untuk syaitan, sedangkan boleh jadi pada makanan tersebut ada keberkatan. Oleh sebab itu, ketika mengambil makanan harus berkira-kira sama ada makanan tersebut boleh dihabiskan atau tidak.

  1. Makan dan minum sambil duduk

Rasulullah SAW suatu ketika melarang seorang lelaki minum sambil berdiri. Berkata Qatadah : “Bagaimana dengan makan?” Rasul menjawab : “Itu lebih buruk lagi.” (HR. Muslim)

  1. Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas

Dari Abu Al-Mutsni Al-Jahni ra berkata, aku pernah berada di rumah Marwan bin Hakam, tiba-tiba datang kepadanya Abu Sa’id ra. Marwan berkata kepadanya : “Apakah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW melarang bernafas di tempat minum?” Abu Sa’id menjawab : “Ya. Ada seseorang pernah berkata kepada Rasulullah SAW, “Aku tidak kenyang dengan air hanya satu kali nafas.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jauhkanlah tempat air (gelas) dari mulutmu, lalu bernafaslah!” Orang itu berkata lagi, “Sesungguhnya aku melihat ada kotoran pada tempat minum itu”. Lalu Rasulullah SAW bersabda, ”Kalau begitu, tumpahkanlah!” (HR. Abu Dawud)

Dan juga dari Ibnu Abbas ra. berkata : “Rasulullah SAW telah melarang untuk menghirup udara di dalam gelas (ketika minum) dan meniup di dalamnya.” (HR. Tirmizi)

Rasulullah SAW melarang bernafas ketika minum. Apabila minum sambil bernafas, tubuh kita mengeluarkan CO2 (karbondioksida), apabila bercampur dengan h2o (air) dapat menjadi h2co3 (cuka) sehingga menyebabkan minuman menjadi asid (asam). Hal ini boleh terjadi ketika meniup air panas. Makanan dan minuman panas sebaiknya tidak disejukkan dengan ditiup.

  1. Tidak berprasangka buruk jika makan ditemani orang yang berpenyakit

Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah memegang tangan orang yang majdzum (kusta), beliau meletakkan tangannya pada piring makan seraya bersabda : “Makanlah, yakinlah kepada Allah SWT dan bertawakkallah.” (HR. Abu Daud)

  1. Tidak duduk pada meja yang dihidangkan makanan haram

Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia tidak duduk pada meja makan yang padanya diedarkan minuman khamr.” (HR. Imam Tirmizi)

  1. Mendoakan orang yang mempelawa makan

Dari Anas bin Malik ra. bahwa Rasulullah SAW pernah datang ke Sa’ad bin Ubadah ra. yang menghidangkan roti dan mentega. Rasulullah SAW memakannya, lalu beliau bersabda, “Telah berbuka di sisimu orang-orang yang berpuasa. Hidanganmu telah dimakan oleh orang-orang soleh (baik) dan malaikat pun mendoakan kebaikan untukmu.” (HR. Ahmad dan Abu Daud)

  1. Menutup tempat makan dan minum

Dari Jabir ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Tutuplah tempat makanan dan tempat minuman!” (HR. Bukhari Muslim)

Menutup tempat makan dan minum sangat penting bagi menghindari makanan dari pencemaran udara, kotoran atau zat-zat berbahaya yang masuk ke dalam makanan atau minuman yang tidak ditutupi.

Sumber daripada www.islampos.com

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *