Home » Ensiklopedia » Kenapa mesti minum dalam keadaan duduk?

Kenapa mesti minum dalam keadaan duduk?

sumber

Minum sambil berdiri seakan sudah menjadi amalan biasa dalam hidup kita. Di mana-mana baik di pasar malam, di pusat membeli belah atau di tepi jalan raya, kita boleh melihat ramai orang yang melakukannya. Tidak perlu melihat kepada orang lain, kadang-kadang diri sendiri juga melakukan hal yang sama.

Kita pernah sahaja, bukan? Ketika sedang berjalan-jalan di pasar malam, tiba-tiba kita merasa haus lalu apabila ternampak dengan orang yang menjual air yang bermacam warna dan perisa, kita pun cepat-cepat membelinya. Setelah membeli, di situ juga kita melegakan tekak yang dahaga.

Begitu juga ketika mengambil minuman di dalam peti ais di rumah. Jarang di antara kita yang mahu pergi mencari tempat duduk terlebih dahulu tetapi lebih memilih menikmati air minuman di hadapan peti ais itu juga dalam keadaan berdiri. Ia sudah menjadi amalan sebati. Oleh itu, lebih baik kita mula mengubah mind set untuk mempraktikkan ajaran Islam yang mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Menurut adab dan ajaran Islam, cara minum yang sebetulnya adalah dalam keadaan duduk. Anas berkata:  “Rasulullah SAW telah melarang minum sambil berdiri”. (HR Muslim)

Namun, jika tidak ada tempat untuk duduk kita diharuskan untuk minum sambil berdiri. Dikisahkan, Rasulullah SAW pernah sekali minum sambil berdiri, disebabkan keadaan yang terlampau sesak sehingga menghalang Baginda SAW untuk duduk. Situasi ini merujuk kepada keadaan darurat.

Dari Ibnu Abbas beliau mengatakan, “Aku memberikan air zam-zam kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW lantas minum dalam keadaan berdiri.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)

Kalau dilihat dari sudut perubatan, seseorang yang berada dalam posisi berdiri, otot-otot dan saraf akan menegang disebabkan tubuh sedang berusaha untuk menjaga keseimbangan agar kita dapat berdiri dengan sempurna. Sedangkan ketika kita duduk, tubuh kita secara automatik akan menjadi lebih rehat dan organ-organ pencernaan tubuh kita mampu menerima makanan dan minuman dendan sebaiknya.

Selain itu, ketika dalam keadaan duduk, makanan dan minuman akan dapat masuk ke saluran pencernaan kita dengan perlahan dan lembut. Berbeza ketika kita dalam keadaan berdiri, makanan dan minuman akan masuk ke dalam saluran pencernaan dengan keras.

Menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani, “Sesungguhnya makan dan minum duduk lebih baik dr segi kesihatan, lebih selamat dan lebih puas, di mana makanan dan minuman lalu di dinding perut dengan tenang. Berbanding dalam keadaan minum berdiri, cecair akan jatuh ke dasar perut dengan keras dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini selalu berlaku dan lama ia akan menyebabkan perut menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkan kesukaran penghadaman. Begitu juga dengan makanan.”

Jadi cantik dan indahnya cara Islam dalam penjagaan kesihatan sudah kita ketahui. Minum sambil berdiri boleh mengundang penyakit dan membawa kemudaratan kepada organ pencernaan. Kita umat Nabi Muhammad SAW yang cintakan baginda dan menjadikan baginda sebagai idola. Justeru, bukankah sangat baik kalau kita mampu mengikuti semua sunnah baginda yang secara jelas membawa kemaslahatan kepada ummah?

Susunan editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *