Home » Persuasif » Isu LGBT semakin meresahkan Indonesia

Isu LGBT semakin meresahkan Indonesia

sumber

“APA pun dia, apa pun kerjanya, dia (LGBT) masih warga negara Indonesia dan punya hak untuk dilindungi. Saya tidak setuju jika ada orang yang dibunuh dan diusir hanya kerana mereka menjadi kaum LGBT, sebab mereka juga tidak mahu menjadi seperti itu.”

Itu kenyataan Menteri Koordinator Bidang Politik Hukum dan Keamanan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan berhubung kewujudan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara itu yang kini semakin berani bersuara menuntut hak mereka.

Menteri kanan itu tidak bersetuju jika golongan tersebut menjadi mangsa diskriminasi masyarakat kerana kedudukan mereka sama sahaja dengan golongan lain di negara itu dari segi undang-undang dan Pancasila.

Penegasan bekas Ketua Staf Kabinet Presiden Joko Widodo itu bagaikan membawa ‘angin segar’ kepada golongan yang mempunyai nafsu menyimpang daripada norma kehidupan itu bahawa kegiatan mereka kini sudah mendapat perhatian kerajaan.

Suatu ketika dahulu, aktiviti mereka dianggap sesuatu yang memalukan dan cuba disembunyikan dari mata masyarakat, namun kini anggapan sedemikian semakin terhakis sejajar dengan perkembangan zaman yang menjunjung tinggi hak asasi manusia.

Para aktivis LGBT dan hak asasi manusia berpendapat kehidupan dan hubungan sejenis adalah hak individu yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan tidak menjejaskan orang lain. Mereka menganggap hubungan sejenis suka sama suka bukan suatu pelanggaran undang-undang tetapi pilihan asas hidup seseorang.

Sehubungan itu, aktivis dan masyarakat LGBT di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia ini semakin berani menampilkan diri di tengah-tengah masyarakat. Malah mereka juga memperlihatkan kemegahan menjadi golongan sesat nafsu itu.

Isu LGBT kembali menjadi perbincangan hangat pelbagai pihak sejak kebelakangan ini ekoran penubuhan sebuah lembaga kaunseling yang menjadi pusat sumber dan sokongan untuk kajian seks di Universiti Indonesia (UI).

Penubuhan lembaga kaunseling yang dinamakan Support Group and Resource Center On Sexuality Studies (SGRC) di universiti itu benar-benar mendedahkan bahawa terdapat pertubuhan atau komuniti bagi golongan LGBT dalam kalangan mahasiswa dan para pensyarah.

Penubuhannya mendapat reaksi segera Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi, Mohamad Nasir yang mempersoalkan kewujudan kumpulan sokongan itu. Kementeriannya melarang mahasiswa yang mengisytiharkan diri sebagai golongan LGBT daripada mempamerkan ‘kemesraan’ di kampus.

“Takkan kampus untuk itu semua. Ada standard nilai dan standard susila yang perlu dijaga. Kampus adalah penjaga moral, jadi tidak diperkenankan adanya aktiviti yang melanggar tata susila seperti pamer kemesraan atau making love di kampus,’’ katanya.

Seperti dijangkakan, kenyataan Nasir mendapat kecaman dan kritikan pelbagai pihak termasuk pemerhati sosial, ahli-ahli akademik dan tentunya aktivis pembela hak-hak LGBT. Mereka menyifatkan menteri itu terlalu gopoh dalam mengeluarkan komentar.

Pergerakan gay dan lesbian di Indonesia dikatakan antara yang tertua dan terbesar di Asia Tenggara. Kumpulan hak asasi gay diwujudkan pada awal 1980-an, manakala pertubuhan lain yang sejenis dengannya muncul pada akhir 1980-an dan awal 1990-an. Antara pertubuhan LGBT utama di Indonesia ialah Gaya Nusantara dan Arus Pelangi.

Di sebalik tentangan masyarakat terhadap golongan itu, dua tahun lepas, pertubuhan LGBT di Indonesia mendapat semangat baru apabila Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menyalurkan dana sebanyak AS$8 juta untuk mengadakan pelbagai projek bagi mendukung aktiviti mereka.

Menurut laman rasmi pertubuhan antarabangsa itu, dana yang dikongsi dengan tiga lagi negara Asia itu antara lain bertujuan memajukan kesejahteraan golongan LGBT dan mengurangkan jurang ketidakseimbangan atas dasar orientasi seksual mereka.

Apa yang lebih penting pelaksanaan projek yang melibatkan masyarakat awam ini tidak lain tidak bukan bertujuan meminimumkan sebarang halangan supaya kaum LGBT ini dapat diterima baik oleh masyarakat. Inilah tujuan sebenarnya.

Dengan adanya bantuan UNDP ini, pertubuhan LGBT di Indonesia mampu berkembang dan mendapat lebih kekuatan. Bahkan golongan tersebut juga akan mendapat akses dengan mudah dari segi perundangan untuk membuat laporan pelanggaran hak asasi mereka.

Dalam laporan ringkas UNDP mengenai LGBT di Indonesia, pertubuhan itu mendapati undang-undang di republik itu tidak menyokong hak-hak kaum tersebut. Bahkan laporan itu menyebut, tidak ada undang-undang khas antidiskriminasi berkaitan orientasi seks atau identiti jantina.

Walaupun belum ada data terkini mengenai jumlah golongan ini di Indonesia, menurut catatan Kementerian Kesihatan pada 2012, terdapat lebih sejuta golongan LGBT di seluruh republik ini.

Angka tersebut bukan kecil dan boleh didiamkan begitu sahaja. Seorang aktivis hak-hak LGBT Indonesia, Dede Oetama baru-baru ini mendakwa sekurang-kurangnya tiga peratus daripada penduduk Indonesia adalah pengikut LGBT.

Perkembangan ini menimbulkan keresahan sehingga menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat Indonesia yang lebih 90 peratus beragama Islam. Apatah lagi tersebar berita mengenai kewujudan pertubuhan yang menyokong LGBT di kampus UI.

Sebagai bangsa yang beragama, rakyat Indonesia perlu mempertahankan jati diri bangsa sebagaimana terkandung dalam Pancasila iaitu bukan sahaja menghormati nilai-nilai-nilai agama tetapi juga komited untuk melaksanakan ajaran agama secara sewajarnya.

LGBT ternyata bukan sahaja bertentangan dengan agama bahkan penyakit sosial yang harus dicegah. Pengamalnya perlu dipulihkan agar kembali ke jalan yang lurus. Menyediakan bantuan besar untuk menjaga kebajikan golongan yang dimurkai Tuhan ini hanya akan merosakkan lagi kemanusiaan.

Sumber daripada https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *