Home » Citra Yadim » Muktamar MAIM 2016 angkat 7 resolusi

Muktamar MAIM 2016 angkat 7 resolusi

Dr. Yusri Mohamad

KUALA LUMPUR, 26 Februari  – Muktamar Majlis Amal Islami (MAIM) 2016 yang menghimpunkan pimpinan dan pendukung utama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam seluruh negara yang berlangsung semalam telah mengangkat tujuh resolusi dalam menggerakkan usaha bersepadu ke arah perpaduan ummah.

Dalam usaha tersebut, umat Islam negara ini harus menginsafi bahawa:

  1. Perpaduan sesama umat Islam harus dibina berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
  2. Umat Islam perlu disedarkan dan dimatangkan bahawasanya usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi politik kepartian dan tertumpu kepada kerangka ummah yang bersandarkan kepada akidah dan amal makruf nahi mungkar.
  3. Umat Islam perlu mempunyai fokus yang amat tinggi dan bersungguh-sungguh dengan meletakkan prinsip aulawiyat (keutamaan) dalam menyatupadukan seluruh ummah.
  4. Kesatuan antara ulama dan umara perlu dipandang berat selain dalam masa yang sama melipatgandakan usaha mengislahkan umara dan ummah.
  5. Memastikan tiada ruang pencerobohan terhadap keluhuran perlembagaan termasuk ancaman ideologi radikal seperti liberalisme dan pluralisme.

Tujuh resolusi yang telah dibentangkan adalah:

  1. Memperkukuh perpaduan masyarakat Islam berasaskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui pendekatan berhemah, penuh beradab dan menjernihkan semula akidah umat Islam daripada sekularisme barat dan ajaran-ajaran yang menyeleweng melalui pendekatan holistik di semua peringkat.
  2. Melakukan inisiatif berterusan untuk membentuk pemuafakatan siasah demi menghasilkan perpaduan ummah dengan meletakkan keutamaan berjemaah berasaskan prinsip saling memahami (tafahum), saling bertanggungjawab (takaful), saling tolong-menolong (ta’awun) dan saling bertimbang rasa (tasamuh).
  3. Menangani masalah sosial negara melalui pendekatan agama yang bersifat komprehensif dengan mengutamakan kebajikan dan memperkasakan NGO/institusi rawatan pemulihan Islam yang aktif dalam membantu kerajaan masakini.
  4. Memperjuangkan pendirian berprinsip terhadap isu-isu hak asasi manusia dan undang-undang bersesuaian dengan kehendak perlembagaan dan konteks sosial politik Malaysia.
  5. Meletakkan pendidikan sebagai asas perpaduan dan bergerak secara proaktif serta responsif terhadap isu-isu pendidikan bagi mempastikan generasi muda terdidik dengan akidah, syariah, akhlak Islamiah, kepimpinan dan keutuhan jati diri.
  6. Menggerakkan Majlis Tindakan Dakwah Pengislaman (MTDP) untuk mewujudkan kolaborasi gerak kerja bersepadu program pengislaman dengan agensi-agensi yang mempunyai matlamat yang sama.
  7. Meninggikan kesedaran kepentingan agenda ekonomi dan kepenggunaan Islam dalam masyarakat serta memperkasakan institusi-institusi yang berperanan dalam perjuangan pembangunan ekonomi umat Islam.

Menurut Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad berkata, tema perpaduan ummah ini merupakan tema yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan MAIM untuk diangkat sebagai fokus perbincangan dalam muktamar kali ini.

“Kalau membincangkan tentang perpaduan dalam konteks Malaysia, ia sememangnya sesuatu yang kompleks namun sebagai umat Islam, kita tidak ada pilihan walaupun persoalan ini mencabar dan sukar untuk mencapai kesepakatan.

Namun, umat Islam harus terus memberi tumpuan untuk mencuba sedaya upaya untuk mencapai kesatuan hati dan kesepaduan tindakan yang terbaik untuk umat Islam di negara ini. Perpaduan sebagai suatu realiti yang ideal tidak mungkin dicapai tanpa langkah pertama. Ia dibincangkan sebagai satu idea dan fahaman kemudian diperjelaskan menjadi satu pegangan setelah itu disusuli pula dengan tindakan-tindakan.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B), melahirkan rasa gembira dengan kejayaan MAIM  menghimpunkan jumlah peserta yang besar dalam kerangka untuk membina hala tuju dan kesatuan fikrah seterusnya membentuk tindakan secara bersama.

Isu perpaduan ini telah dilihat sebagai isu global kerana ia bukan sahaja melibatkan negara ini malah meliputi negara-negara Islam lain yang masih menghadapi krisis yang berpanjangan.

Beliau juga menyambut baik pembentukan 7 kluster utama MAIM yang terdiri daripada Kluster Hak Asasi dan Undang-undang, Kluster Ekonomi dan Kepenggunaan, Kluster Perpaduan Ummah dan Siasah, Kluster Aqidah dan Syariah, Kluster Wanita dan Kekeluargaan, Kluster Sosial dan Kluster Pendidikan bagi menggerakkan fungsi dan gerak kerja MAIM.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *