Matlamat itu boleh dicapai me­lalui dua pindaan dalam rang undang-undang tersebut seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) ketika membentangkan rang undang-undang ahli persendirian dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam rang undang-undang ahli persendirian yang kali pertama dalam sejarah dibentangkan oleh wakil pembangkang itu, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mencadangkan supaya Seksyen 2 rang undang-undang berkenaan digantikan dengan seksyen baharu.

“Mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya seksyen baharu, Seksyen 2A dimasukkan selepas Seksyen 2.

“Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain daripada hukuman mati,” ujarnya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seterusnya meminta Abdul Hadi menyatakan sama ada beliau ingin menghuraikan pindaan-pindaan tersebut hari ini atau pada masa akan datang di bawah Peraturan Mesyuarat 15 (5).

Abdul Hadi memohon supaya usul tersebut ditangguhkan dan dibawa ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

Terdahulu, beberapa wakil pembangkang termasuk Anthony Loke (DAP-Seremban), Teresa Kok (DAP-Seputeh), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Khalid Abdul Samad (PAN-Shah Alam) dan Dr. Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) bangkit untuk mempertikaikan mengapa usul yang dibawa Abdul Hadi itu didahulukan sedang­kan ia berada di kedudukan ke-15 atau terakhir dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Pandikar Amin, beliau menggunakan budi bicara sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membenarkan sesuatu rang undang-undang untuk dibentangkan.

“Itupun ahli-ahli Yang Berhormat bantah, jadi di mana kedudukan saya?” katanya.

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) pula menempelak sikap wakil-wakil pembangkang yang membangkitkan persoalan tentang giliran rang undang-undang ahli persendirian yang dibentangkan Abdul Hadi.

Beliau berkata, wakil-wakil pembangkang sebelum ini sering mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mempercepatkan giliran pembentangan rang undang-undang ahli persendirian.

“Hari ini, rang undang-undang ahli persendirian dinaikkan oleh Marang, sepatutnya kita menyokong perkara ini,” jelasnya.-UTUSAN